Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Selasa, 31 Julai 2012

Kejutan elektrik tingkat keupayaan belajar

Kajian mendapati dengan memberikan kejutan elektrik sebanyak 9 volt pada bahagian tertentu otak boleh mempercepat proses pembelajaran menyusun susunan menekan butang seperti bermain piano.

Saintis dari Universiti Oxford, Prof. Johansen-Berg berkata, ia disasarkan kepada bahagian yang spesifik seperti fungsi motor dan tidak mustahil dengan teknologi yang sama boleh menjadikan kanak-kanak di sekolah menjadi lebih baik.

Namun, ia menyebabkan isu etika diperdebat manakala tahap kesedaran moral orang ramai bakal dipersoalkan.

Tambah Johansen-Berg, pada masa hadapan, penemuan tersebut akan digunakan secara meluas seperti melatih ahli sukan dalam bidang tenis dan berdayung supaya menjadi lebih cekap.

"Kajian awal yang dilakukan oleh Oxford menemui jika ia disasarkan kepada korteks prietal boleh memberi kesan kepada keupayaan matematik.

"Ia jelas membuktikan bahawa kita boleh meningkatkan keupayaan seseorang belajar matematik dengan cara yang sama," jelasnya lagi.

-Kosmo!

Isnin, 30 Julai 2012

Berburu hilangkan bulu manusia

Jika meneliti buku-buku teori sains, pasti akan terpandang gambar-gambar manusia purba yang kebanyakan dipenuhi bulu. Ia sangat berbeza dengan keadaan fizikal manusia zaman sekarang.

Dr. David Wilkinson dari Universiti John Moores, Liverpool dan Prof. Graeme Ruxton dari Universiti Glasgow membentangkan sebuah teori mengatakan manusia purba kehilangan bulu pada badan mereka kerana mahukan kelajuan ketika berlari.

Badan yang berbulu menjadi halangan ketika manusia purba mencari makanan. Kedua-dua saintis itu menggunakan perisian komputer yang dapat mengira suhu termal manusia. Ia jelas menunjukkan bahawa badan yang berbulu menjadi halangan kepada manusia purba untuk mencari makanan.

Bulu-bulu badan didapati mengganggu kecekapan manusia purba untuk berpeluh supaya proses penyejukan badan boleh berlaku. Jadi, mereka mula menjadi manusia kurang berbulu. Bagaimanapun, amat sukar untuk mengetahui sejak bilakah manusia mula kehilangan bulu.

Tetapi, Dr. Wilkinson menganggarkan ia mungkin berlaku lebih kurang tiga juta tahun dahulu apabila kutu dikatakan muncul di muka bumi.

-Kosmo!

Jumaat, 27 Julai 2012

Gula Melaka

Gula Melaka yang dikenali juga sebagai gula kabung atau gula nipah sememangnya sinonim dengan masakan tradisional masyarakat Melayu namun, ia juga boleh digunakan untuk tujuan lain.

Selain menjadi bahan utama digunakan untuk memasak pengat, sirap cendol, ais kacang dan inti kuih, gula Melaka boleh juga digunakan untuk tujuan perubatan.

Masyarakat Melayu menggunakannya untuk meredakan batuk iaitu mencampurkan gula Melaka dengan air asam jawa untuk diminum.

Bahan itu juga digunakan masyarakat dahulu untuk menurunkan suhu badan dengan meminum air yang direndam dengan gula Melaka.

Proses membuat gula Melaka memerlukan ketelitian dan masa yang panjang.

Ia dimulakan dengan memotong bahagian hujung mayang pokok kelapa untuk mendapatkan air nira.

Air nira yang berwarna putih bersih ini akan ditadah dengan tabung yang diperbuat daripada buluh dan diikat pada pokok berkenaan.

Air nira yang telah dikumpulkan hendaklah dimasak segera kerana jika terdedah pada suhu panas terlalu lama, nira akan mudah rosak dan rasanya bertukar masam.

Nira itu dimasak sehingga pekat dan proses itu memakan masa antara lima hingga enam jam.

Suhu api hendaklah sentiasa dikawal supaya nira yang dimasak itu tidak hangus.

Nira kelapa yang telah pekat akan berubah warna kepada coklat gelap dan mempunyai rasa lemak manis secara semula jadi.

Pada tahap inilah terhasilnya gula Melaka yang akan dituang ke dalam acuan buluh untuk dibentuk dan dibiarkan sehingga keras.

Gula Melaka yang telah siap dimasak hanya mengambil masa selama lima minit sahaja untuk keras.

Gula Melaka boleh dicairkan dengan memasaknya semula.

sumber: Kosmo!, Ideris Zainuddin

Khamis, 26 Julai 2012

Pulau tahi burung di Lima

Penduduk di Pulau Ballestas yang terletak di selatan Lima, Peru menjadikan tahi burung sebagai salah satu punca rezeki mereka.

Sama seperti 21 buah pulau yang lain di Peru, Pulau Ballestas menjadi rumah kepada hampir empat juta burung hijrah seperti burung guanay cormorant, boobies dan burung undan.

Tahi daripada burung-burung itu kemudian menjadi antara baja semula jadi terbaik di dunia.

Turut dikenali sebagai guano, tahi burung itu mulai popular sejak kurun ke-19 dan dieksport ke Amerika Syarikat, England serta Perancis.

Menurut laporan Program Pembangunan Pertanian Luar Bandar Peru, kerajaan kini berharap pengeluaran tahunan tahi burung yang mencecah 20,000 tan itu mampu memberi manfaat kepada para pekebun kecil menerusi peningkatan program pertanian organik.

-Kosmo!, Reuters

Selasa, 24 Julai 2012

Ayutthaya

Kerajaan Ayutthaya merupakan sebuah kota pentadbiran kerajaan awal di Thaland dan dipercayai wujud sekitar 650 tahun dahulu.

Ia dibuka oleh Raja Ramathibodi. Ia dinamakan Ayutthaya sempena epik Sri Rama atau Ramayana.

Ayutthaya terletak di lembah Sungai Chao Phraya kira-kira 80 kilometer ke utara Bangkok.

Kerajaan Ayutthaya mengamalkan sistem terbuka dan banyak mengamalkan sikap berkawan dengan semua pedagang-pedagang asing yang berniaga di Siam seperti pedagang dari China, Vietnam, India, Jepun dan Parsi.

Kerajaan Ayutthaya juga mengamalkan dasar buka pintu dengan berdagang dengan pedagang dari Portugis, Sepanyol, Belanda dan Perancis dengan membenarkan mereka membuka penempatan di luar kawasan kerajaan Ayutthaya.

Pada kurun ke-16, pedagang Barat menyifatkan kota ini adalah antara kota terbesar dan terkaya di Timur. Pemerintahnya ketika itu, Raja Narai (1656 - 1688) juga mempunyai pengaruh kuat dengan Raja Perancis ketika itu iaitu Raja Louis ke-14.

Memandangkan kekuatan pengaruh dan tentera yang ramai, kerajaan Ayutthaya memulakan program penaklukan ke atas beberapa wilayah berhampiran.

Ayutthaya pernah beberapa kali terlibat dalam peperangan dengan kerajaan Burma sebelum ini.

Wilayah itu pernah diserang oleh tentera Burma yang dikuasai Dinasti Toungoo pada 1548.

Pada tahun 1564, Raja Ayutthaya menyerah diri sebelum menakluk kota itu kembali.

Pada tahun 1765, dengan kekuatan 40,000 tentera, tentera Burma menyerang utara dan barat Ayutthaya serta beberapa kota di kawasan ini diserahkan kepada Burma.

Selepas 14 bulan dikepung, akhirnya Ayutthaya berjaya ditawan. Keseluruhan kota itu juga hampir musnah apabila dibakar tentera Burma pada tahun 1767.

Akibatnya semua peninggalan sejarah dan peninggalan arkib di perpustakaan kota Ayutthaya turut musnah.

Sehingga kini, nama Ayutthaya masih diingati bukan kerana sejarah silamnya tetapi binaan kuil-kuil purba yang unik.

Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 95 buah kuil purba di Ayutthaya yang sebahagian besarnya terletak di Ayutthaya Historical Park.

Terdapat enam kuil purba yang popular antaranya ialah Wat Phra Si Sanphet. Kuil tersebut dibina pada tahun 1350. Ia merupakan imej paling popular dalam brosur pelancongan Thailand.

Wat Chaiwatthanaram dibina pada tahun 1630 dan memiliki menara mengikut seni bina diraja Kemboja dan Wat Phra Mahathat dibina pada tahun 1374.

Kota purba ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1981.

Pada bulan Oktober 2011, kota purba tersebut berada dalam bahaya akibat banjir besar yang melanda Thailand pada ketika itu.

-Kosmo!

Isnin, 23 Julai 2012

Bot pukat tunda

Mengikut Akta Perikanan 1985, adalah menjadi satu kesalahan jika bot pukat tunda atau pukat jerut ikan beroperasi di dalam kawasan nelayan tradisional.

Ia mendapat tentangan banyak pihak kerana didapati mengganggu populasi hidupan laut.

Pada masa kini lebih 20 buah negara termasuk Australia, Kanada, Chile, China, Colombia, Ecuador, Kesatuan Eropah (EU), Perancis, Jepun, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Russia, Korea Selatan, Ukraine dan Amerika Syarikat telah mengharamkan pukat tunda.

-Kosmo!

Jumaat, 20 Julai 2012

Susu santan sawit

Susu santan sawit amat rendah lemak dan tanpa kolesterol.

Ia mempunyai jangka hayat tiga bulan tanpa pengawet.

Susu santan sawit perlu disimpan pada suhu di bawah 5 darjah Celsius dan jangan dibekukan.

Makanan yang menggunakan susu santan sawit lebih tahan lama.

Penggunaannya 50 peratus daripada biasa.

Ia berkhasiat tinggi dan menghasilkan makanan dan minuman yang lebih lazat.

Bagi pengguna yang mahu mencuba resipi masakan daripada santan sawit boleh melayari laman web santan sawit Khalis di www.khalissantan.com.

-Kosmo!

Khamis, 19 Julai 2012

Ubat anti-penolakan

Ubat anti-penolakan digunakan untuk mencegah tubuh daripada menolak organ dipindahkan.

Ia mengurangkan risiko penolakan, melindungi organ baharu dan mengekalkan fungsinya.

Ia bertindak dengan menyekat sistem imunisasi penerima supaya ia kurang cenderung untuk bertindakbalas terhadap organ yang dipindahkan.

-Kosmo!, www.surgeryencyclopedia.com/immunosuppresant

Selasa, 17 Julai 2012

Spesies baharu burung ditemui

Ahli-ahli Ornitologi menemui spesies burung terbaharu dalam tempoh empat dekad di Amerika Syarikat iaitu burung Puffinus bryani.

Pakar Ornitologi dari Institut Populasi Burung Amerika Syarikat, Peter Pyle mengesahkan penemuan spesies terbaharu itu walaupun pada mulanya dia mengatakan ia sejenis burung Boyd's shearwater dengan ekor dan sayap yang pendek.

Namun, selepas analisis genetik dijalankan menunjukkan tiada identifikasi yang sama dengan burung-burung lain sekali gus mengesahkan penemuan terbaharu itu.

Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dikaji terhadap burung tersebut tambahan pula, spesimen yang ada sudah mati dan kini dipamerkan di muzium burung.

Spesimen burung tersebut telah dijumpai di Midway Atoll, Hawaii pada tahun 1963 dan pada peringkat awal dilabel sebagai Little Shearwater.

Penemuan terbaharu itu telah diterbitkan dalam jurnal akademik, The Condor.

-Kosmo!

Isnin, 16 Julai 2012

Ilusi perjalanan pulang

Setiap kali memandu, kebanyakan pemandu dan penumpang pasti akan merasa perjalanan balik lebih singkat berbanding pergi walaupun menggunakan jalan pada jarak yang sama.

Sebelum ini, ramai berpendapat bahawa ia adalah efek perjalanan pulang yang disebabkan oleh laluan yang digunakan sudah biasa. Sekumpulan saintis mendakwa itu bukan penyebab utama.

Ketua penyelidik dari Universiti Tillburg, Belanda, Niels Van De Ven mendakwa, ia berlaku kerana orang ramai menjangkakan perjalanan balik pasti mengambil masa yang lama seperti perjalanan pergi.

"Berdasarkan perasaan itu, pengembara pasti akan merasa perjalanan pulang menjadi lebih singkat. Keyakinan yang tinggi itu mencipta ilusi perjalanan balik menjadi lebih dekat," kata De Ven.

Penemuan itu dilakukan selepas uji kaji yang dilakukan ke atas 350 orang responden yang membuat perjalanan dengan menggunakan sama ada bas, basikal atau melihat rakaman video orang mengayuh basikal.

Apabila anggaran durasi masa dibandingkan, ramai responden berpendapat perjalanan pulang lebih cepat sebanyak 22 peratus.

- Kosmo!

Jumaat, 13 Julai 2012

Alcatraz

Alcatraz merupakan ikon bandar raya San Francisco, Amerika Syarikat.

Ia terletak kira-kira 2.4 kilometer dari San Francisco Bay.

Pada asalnya rumah api dibina di pulau berkenaan dan kemudiannya digunakan sebagai penjara sehingga tahun 1963.

Pada tahun 1969, pulau berkenaan didiami oleh sekumpulan aktivis India Amerika dari San Francisco.

Namun selepas tahun 1972, Alcatraz menjadi kawasan rekreasi dan diiktiraf sebagai warisan negara pada tahun 1986.

Kini Alcatraz menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Untuk melawat Alcatraz pengunjung perlu menaiki feri dari Fisherman Wharf.

Alcatraz banyak ditonjolkan dalam dokumentari dan filem terbitan Amerika Syarikat.

Namun, ada juga cerita-cerita seram kononnya Alcatraz berhantu.

-Kosmo!

Rabu, 11 Julai 2012

Jambatan Golden Gate

Jambatan Golden Gate merupakan identiti bandar raya San Francisco, Amerika Syarikat.

Ia dikatakan antara jambatan yang tercantik di dunia.

Keunikan jambatan ini adalah tiang menara berwarna merah yang tersergam indah serta kabel yang disusun dengan gaya tersendiri.

Jambatan berkenaan merentasi Selat Golden Gate yang menghubungkan San Francisco dengan lautan Pasifik.

Ia menghubungkan bandar raya San Francisco dengan daerah Marin di California, Amerika Syarikat.

Pada waktu malam, lampu-lampu yang menghiasi jambatan berkenaan menjadikan jambatan tersebut begitu indah.

Jambatan berkenaan mula dibina pada tahun 1933 dan siap pada tahun 1937.

Panjang jambatan tersebut adalah lebih 2.7 kilometer dengan enam lorong untuk kenderaan bergerak di kedua-dua hala.

Jambatan Golden Gate biasanya sibuk ketika musim panas.

Sejak dulu lagi keindahan jambatan berkenaan sering dipaparkan dalam filem-filem Hollywood dan program televisyen terbitan Amerika Syarikat.

Dipercayai beribu-ribu orang membunuh diri dengan terjun dari jambatan ini. Ia dikatakan lokasi bunuh diri yang utama di Amerika Syarikat dan di dunia.

-Kosmo!

Isnin, 9 Julai 2012

Basikal gunung

Basikal gunung merupakan salah satu evolusi basikal diperkenalkan pada tahun 70-an.

Ia mula dipopularkan di Amerika Syarikat sebelum berkembang ke seluruh dunia.

Dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu fully rigid, hardtail, softtail, dual atau full suspension.

Antara sukan basikal gunung popular ialah cross country, freeride, downhill dan dirt jumping.

Kini ia diresapi teknologi permotoran seperti cakera brek, hidraulik, sistem suspensi dan binaan karbon.

Antara jenama popular ialah Kona, Schwinn, Giant, Kuota dan Marin.

Harganya bermula dari ratusan hingga mencecah puluhan ribu ringgit.

-Kosmo!

Jumaat, 6 Julai 2012

Keajaiban epal liar Switzerland

Mitologi Greek dan Roman sering merujuk buah epal sebagai simbol kecantikan, kasih sayang dan kesihatan. Bahkan, pepatah juga ada mengatakan, sebiji epal sehari mampu menjauhkan kita daripada doktor.

Kandungan antioksidan yang tinggi, pektin, asid malik, beta karoten, potasium dan zat besi membuatkan epal dilabel sebagai buah yang cukup sempurna.

Hari ini, epal diketahui mempunyai satu lagi kelebihan iaitu melambatkan proses penuaan dan membantu mengatasi masalah kulit muka.

Ekstrak sel stem daripada spesies epal yang jarang ditemui di Switzerland itu dianggap sebagai pencapaian yang mengujakan dunia.

Dikenali sebagai Uttwiler Spatlauber, khasiat epal itu cukup luar biasa jika dibandingkan dengan buah epal biasa.

Penyelidikan oleh sebuah syarikat Switzerland, Mibelle Biochemistry sejak tiga tahun lalu mendapati ekstrak sel stem epal atau nama saintifiknya PhytoCellTec Malus Domestica memberi kesan yang luar biasa terhadap sel-sel kulit dan rambut.

Ia berfungsi merangsang sel stem kulit dengan mengaktif serta meningkatkan kemampuan kulit untuk melindung dan memperbaiki sel-sel kulit dari dalam.

Pokok epal yang ditanam pada pertengahan abad ke-18 itu menarik perhatian saintis untuk mengkajinya kerana ciri-ciri istimewanya.

"Buahnya masih kekal segar dan langsung tidak rosak dalam tempoh antara enam hingga lapan bulan selepas dipetik walaupun disimpan pada suhu bilik.

"Namun, epal ini tidak boleh dimakan seperti buah epal komersial lain kerana rasanya yang terlalu masam," kata saintis dan Pengurus Unit Perniagaan, Mibelle AG Cosmetics, Dr. Fred Zulli.

Seperti manusia, tumbuh-tumbuhan juga mempunyai sel stem dikenali sebagai plasenta tumbuhan iaitu sel utama yang mengekalkan sedikit tabungan sel stem untuk membekal secara berterusan dan mengekalkan pertumbuhan atau menggantikan tisu baharu.

Bagi membolehkan sel-sel itu membiak di dalam makmal, satu teknologi yang dikenali sebagai PhytoCellTec digunakan.

Ekstrak sel stem ini kaya dengan faktor epigenetik dan metabolik yang penting untuk membekalkan nutrien agar sel-sel stem kulit dapat melindungi, menghasilkan semula dan menumbuhkan sel-sel kulit yang baru.

-Kosmo!

Khamis, 5 Julai 2012

Laut Mati

Laut Mati terletak 423 meter di atas paras laut dan diiktiraf yang terendah di dunia. Lokasinya di sempadan Jordan dan Tebing Barat.

Ia mempunyai kedalaman sehingga 377 meter.

Laut Mati diiktiraf air termasin di dunia selain daripada Tasik Assal, Djibouti; Teluk Garabogazkol, Turkmenistan dan McMurdo Dry Valleys, Antartika.

Ia mempunyai kandungan garam sehingga 33.7 peratus, iaitu lapan kali ganda air laut biasa.

Kandungan garam yang tinggi menyebabkan tiada hidupan laut di dalamnya.

Ketumpatan garam yang tinggi juga menyebabkan sesiapa sahaja akan terapung jika berenang di dalamnya.

Pada tahun 2009, dianggarkan 1.2 pelancong telah melawat Laut Mati.

-Kosmo!

Rabu, 4 Julai 2012

Tujuh Keajaiban Alam Sekitar Dunia

1. Hutan Hujan Amazon

Berkeluasan tujuh juta kilometer persegi meliputi sembilan buah negara dengan sebahagian hutan berada dalam negara Brazil. Negara-negara lain antaranya ialah Peru, Colombia, Venezuela dan Equador.


2. Terusan Halong

Terletak di Vietnam, terusan ini mempunyai kepanjangan 120 kilometer. Ia turut meliputi bukit-bukit dan gua selain menyimpan sebanyak 200 spesies ikan.


3. Air Terjun Iguazu

Terletak di sempadan negeri Parana di Brazil dan wilayah Misiones di Argentina.


4. Pulau Jeju

Pulau gunung berapi ini terletak 130 kilometer dari laut Korea Selatan. Ia mempunyai kawasan permukaan seluas 1,846 kilometer persegi manakala pusatnya ialah Hallasan, gunung tertinggi di Korea Selatan iaitu 1,950 meter di atas paras laut.


5. Pulau Komodo

Terkenal dengan spesies biawak komodo, pulau ini terletak di Kepulauan Nusa Tenggara, Indonesia. Di pulau ini, biawak komodo hidup dan membiak dengan baik. Statistik tahun 2009 menunjukkan sebanyak 1,300 ekor komodo berada di sini.


6. Sungai bawah tanah Puerto Princesa

Taman Negara Sungai bawah tanah Puerto Princesa terletak kira-kira 50 kilometer dari utara kota Puerto Princesa, Palawan, Filipina. Ia mempunyai sungai bawah tanah sepanjang 8.2 kilometer.


7. Gunung Table

Gunung yang menjadi ikon Afrika Selatan ini merupakan gunung berpuncak rata berketinggian kira-kira 1,086 meter dan bertahan daripada hakisan selama enam juta tahun serta mempunyai lebih 1,470 spesies flora.

-Kosmo!

Selasa, 3 Julai 2012

Burung kelicap kunyit

Terdapat pelbagai jenis burung kelicap antaranya sepah raja kesumba, kelicap bukit, kelicap pipi merah dan kelicap kunyit.

Burung kelicap kunyit dikenali dengan nama saintifiknya Aegithina tiphia.

Ia bertubuh kecil, bersuara nyaring dan mempunyai warna bulu yang pelbagai dan terang.

Sering menjadi pilihan peminat burung untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Burung dewasa berukuran 23 sentimeter hingga 27 sentimeter.

-Kosmo!

Isnin, 2 Julai 2012

Pulau Gaya

Pulau terbesar di bawah Taman Tunku Abdul Rahman berkeluasan 1,479 hektar.

Pulau terhampir dengan Kota Kinabalu. Radius di antara Kota Kinabalu dengan Pulau Gaya hanya 1.5 kilometer dan tujuh minit perjalanan menaiki bot.

Nama Gaya diambil sempena perkataan Bajau, 'Gayo' bermaksud besar.

Ia diliputi hutan dara tebal dan dijadikan sebagai hutan simpan sejak 1923.

Struktur permukaan bumi berbukit-bukau dengan ketinggian puncak bukit mencecah 180 meter dengan puncak tertinggi 300 meter.

Terdapat 6,000 penduduk mendiami rumah air di sepanjang pesisiran pantai.

Etnik yang mendiami pulau itu terdiri daripada Bajau, Ubian dan rakyat Filipina.

Kampung Kasuapan sebenarnya merupakan salah satu antara tujuh buah kampung air yang terdapat di Pulau Gaya. Kampung-kampung lain adalah Kampung Lok Malum, Kampung Lobong, Kampung Pondo, Kampung Lok Urai dan Kampung Lok Baru.

-Kosmo!