Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Rabu, 27 Februari 2013

Gunung Rinjani


Ketinggian Gunung Rinjani ialah 3.726 meter atau 12,221 kaki dari paras laut.

Gunung Rinjani terletak di Pulau Lombok, Indonesia dan berada dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik.

Ia merupakan gunung berapi jenis strato iaitu berbentuk kon dan terbentuk daripada lapisan lava yang diikat.

Gunung Rinjani merupakan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia.

Terdapat lima laluan ke puncak iaitu dari desa Sembalun, Senaru, Torean, Timbanuh dan Benang Stokel.

Letusan pada 1944 telah melahirkan Gunung Barujari yang aktif dan semakin membesar di dalam kawah Gunung Rinjari.

Gunung Barujari kali terakhir meletus pada 2 Mei 2009 dan mengorbankan 31 orang.

-Utusan Malaysia

Selasa, 26 Februari 2013

Rungus

Kaum Rungus (imej dari orangsabahbha.blogspot.com)

Rungus ialah salah satu suku kaum di Sabah dan antara kumpulan Orang Asli kepulauan Borneo.

Lazimnya mereka dikenali sebagai Dayak Dusun, Dayak Laut, Momogun, Momogun Rungus, Momogun Laut, Dusun Laut atau Rungus.

Nama Rungus dipercayai berasal daripada Rungusud iaitu nenek moyang kaum tersebut. Namun sumber lisan menyatakan ia berasal daripada perkataan ungus dalam bahasa Bajau dan bahasa Suluk dan membawa maksud pasir dalam bahasa Melayu.

Bilangan kaum Rungus hanya terdapat di daerah Kudat.

Pakaian tradisi mereka bermotifkan manusia, cicak atau biawak kecil, katak, geometri dan objek bercangkuk.

Empat jenis pakaian tradisi mereka ialah sukolob, badu, masab, banat tapi dan mogah.

Rumah panjang mereka digelar vinatang (rumah panjang dalam bahasa Rungus).

Vinatang kebiasaannya mempunyai kepanjangan 300 kaki dengan ruang bawah rumah dijadikan tempat penternakan haiwan dan sebagai tugu pertahanan.

Tarian tradisi mereka bernama Sumundai-Mongigol dan ditarikan seorang lelaki dan beberapa orang wanita.

Gong merupakan barangan suci dan menjadi warisan daripada generasi ke generasi.

Gong dijadikan penutup tempayan yang berisi mayat sebelum dikebumikan, dipalu untuk mencari orang hilang, sebagai amaran, gerhana bulan dan upacara keraian serta kematian.

-Kosmo!

Jumaat, 22 Februari 2013

Fenomena Laut Merah


Selain pencemaran yang dilakukan oleh manusia, kelangsungan hidup kima gergasi, terumbu karang dan hidupan marin juga boleh terjejas ekoran fenomena laut merah beracun atau red tide.

Red tide melanda laut Sabah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

Berdasarkan maklumat di dalam laman web Jabatan Perikanan Sabah, fenomena laut merah pertama kali dikesan pada tahun 1976 dan sejak itu ia seolah-olah menjadi acara tahunan.

"Fenomena tersebut biasa melanda perairan laut Pulau Gaya, Teluk Sepanggar, persisiran Pantai Likas, Yayasan Sabah dan lokasi-lokasi berhampiran. Jika ia berlaku, kami akan mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak memakan semua jenis kerang seperti tiram, dalus, remis dan lain-lain.

"Spesies ikan juga dilarang dimakan seperti tamban dan basung kerana bimbang ia beracun atau dicemari benda asing. Namun, hidupan laut dalam seperti udang, ketam dan sotong selamat dimakan tetapi mesti dibuang atau dicuci insang dan organ dalamannya," menurut satu kenyataan daripada laman web tersebut.

Fenomena laut merah berlaku pada musim kemarau selepas hujan lebat dan kesan daripada suhu rendah berpanjangan sepanjang musim hujan.

Semasa fenomena, air laut kelihatan berwarna merah kecoklatan akibat ledakan pertumbuhan sejenis plankton bakteria bertoksik kerana adanya pertambahan nutrien di dalam air laut.

Apabila bekteria tersebut berkumpul pada permukaan air laut dengan pekatan yang tinggi, warna air bertukar menjadi keruh dan warna.

Bagaimanapun, tidak semua tindakan bakteria itu akan menyebabkan air akan menjadi merah. Kadangkala warnanya seakan-akan ungu, merah jambu, hijau atau merah.

Pihak Jabatan Perikanan Sabah sentiasa menjalankan penyelidikan dan mengawasi fenomena tersebut untuk mengenal pasti jenis toksik atau bakteria yang menjadi penyebab berlakunya kejadian itu.

Sampel air akan diambil untuk dianalisis di makmal untuk menentukan jenis dan kandungannya.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka akan menggunakan tikus untuk menguji kehadiran benda asing atau toksik daripada sampel yang diambil.

Namun, fenomena itu lazimnya berlaku dalam tempoh antara 24 atau 48 jam dan ia akan beransur-ansur hilang.

-Kosmo!

Khamis, 21 Februari 2013

Pulau Gaya


Radius di antara bandar Kota Kinabalu dengan Pulau Gaya hanya 1.5 kilometer dan kira-kira 10 minit perjalanan menaiki bot dari Jeti Jesselton Point.

Pulau Gaya ialah pulau terbesar di dalam Taman Tunku Abdul Rahman dengan keluasan 1,479 hektar.

Nama Gaya diambil sempena perkataan Bajau, Gayo yang bermaksud besar.

Ia merupakan sebuah pulau yang dilindungi daripada aktiviti nelayan, pembalakan haram, cari gali petroleum dan pelbagai sumber pencemaran.

Pulau ini diliputi hutan dara tebal dan dijadikan sebagai hutan simpan sejak tahun 1923.

Struktur permukaan bumi berbukit-bukau dengan ketinggian puncak bukit mencecah 180 meter dengan puncak tertinggi 300 meter.

Terdapat beberapa kampung di pulau itu seperti Kampung Pulau Gaya, Kampung Pasir Putih, Pondo dan Lok Urai dengan lebih 6,000 penduduk.

Penduduk menggunakan laluan air sebagai jalan utama untuk melakukan pelbagai aktiviti luar.

Syarikat British North Borneo pernah menjadikan pulau ini sebagai tapak perlindungan daripada serangan lanun, mengambil air minuman dan menghadapi pemberontakan pahlawan Sabah, Mat Salleh pada tahun 1881.

-Kosmo!

Rabu, 20 Februari 2013

Beruk Kentoi

Nama saintifik bagi beruk kentoi ialah Macaca arctoides, sejenis beruk yang boleh didapati di kawasan timur laut India dan selatan China sehingga ke barat laut Semenanjung Malaysia.

Beruk kentoi turut ditemui di Myanmar, Thailand, Vietnam dan timur jauh Bangladesh.

Beruk kentoi mempunyai beberapa ciri berbeza daripada beruk lain termasuk berwarna putih ketika dilahirkan sebelum menjadi kelam sewaktu membesar.

Beruk kentoi berbulu coklat tua yang panjang dan tebal di badan tetapi ekor dan muka tidak berbulu.

Ekor berukuran antara 3.2 dan 69 milimeter, muka berwarna merah jambu atau merah dan menjadi coklat atau hampir hitam apabila semakin tua atau terdedah lama kepada cahaya matahari.

Beruk jantan dan betina akan menjadi botak bermula daripada dahi ke belakang kepala apabila tua.

Beruk jantan lebih besar berbanding betina dengan ukuran 517 hingga 650 milimeter dengan berat antara 9.9 dan 10.2 kilogram.

Tinggi beruk betina antara 485 dan 585 milimeter dan berat antara 7.5 dan 9.1 kilogram.

Beruk kentoi tidak tahu berenang dan jangka hidup sehingga 30 tahun.

-Kosmo!

Selasa, 19 Februari 2013

Voyager kapal angkasa tertua dunia


Kapal angkasa Voyager I dan II milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) masih menuju ke bintang dalam sistem suria selepas 35 tahun ia berlepas dari Bumi.

Pada 5 September 2012, Voyager I menyambut ulang tahun pelancarannya yang ke-35 ke planet Musytari dan Zuhal.

Kedua-dua kapal angkasa itu kini berada berbilion-bilion kilometer dari Bumi.

Voyager II meraikan ulang tahun pelancarannya pada 20 Ogos 2012.

Setiap kapal angkasa itu mempunyai memori komputer 68 kilobit.

Kedua-dua misi kapal angkasa itu melibatkan kos sebanyak AS$3.7 bilion (RM11.51 bilion).

Ia mempunyai bahan bakar yang mencukupi untuk digunakan sehingga tahun 2020.

Ketika itu, para saintis berharap Voyager akan berada di antara bintang-bintang.

-Kosmo!, AP

Isnin, 18 Februari 2013

Fenomena blue moon

Fenomena blue moon di Cincinnati, Amerika Syarikat, imej dari www.myukhuwwah.com
Pada 31 Ogos 2012, seluruh dunia dapat menyaksikan fenomena blue moon atau bulan biru.

Fenomena itu merujuk kepada bulan penuh yang berlaku dua kali dalam tempoh sebulan iaitu pada bulan Ogos.

Kejadian itu berlaku kerana perbezaan jumlah hari dalam sesebuah bulan kalendar Masihi dan kalendar Hijrah.

Secara saintifik, bulan mengelilingi bumi selama 29.5 hari.

Dalam kalendar Masihi, 11 bulan akan mempunyai jumlah hari yang sama iaitu antara 30 atau 31 hari (kecuali Februari).

Oleh itu, apabila tarikh kalendar Hijrah dan Masihi ditindihkan, kita akan dapati waktu fasa bulan akan beranjak semakin awal selama lebih kurang 11 hari, setiap tahun.

Fenomena itu berlaku setiap dua tahun setengah.

Bagaimanapun, tidak akan ada sebarang perubahan bentuk fizikal terhadap bulan ketika itu.

Di Malaysia, fasa bulan penuh atau blue moon berlaku tepat pukul 9.57 malam pada 31 Ogos 2012.

-Kosmo!

Rabu, 13 Februari 2013

Kepulauan Kuril


Kepulauan Kuril terletak di Laut Pasifik dengan populasi kira-kira 19,000 penduduk.

Ia telah disahkan sebagai hak milik Rusia bagaimanapun kembali dituntut oleh Jepun.

Pulau Etofuru, Kunashiri, Shikotan dan Habomai yang membentuk Kuril dipunyai oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1945.

Berdasarkan tuntutan Soviet, kesemua pulau perlu diserahkan kepada mereka menerusi Perjanjian Pasca Perang Dunia Kedua Yalta dan Potsdam dan kerajaan Rusia telah pun menetapkan polisi tersebut.

Jepun kekal dengan pendirian mereka dengan mengatakan bahagian utara kepulauan itu ialah sebahagian integral negara mereka yang diambil secara haram oleh Kesatuan Soviet.

Jepun menutup empat pulau iaitu Iturup, Kunashir, Shikotan dan Habomai.

sumber: Perebutan Kepulauan Asia Timur susunan Alif Abu Bakar, Kosmo! 13 Julai 2012

Jumaat, 8 Februari 2013

Pulau Yeonpyeong

Serangan yang dilakukan ke atas Pulau Yeonpyeong oleh pihak Korea Utara pada tahun 2010

Pulau Yeonpyeong terletak di Laut Kuning.

Ia berkeluasan 7 kilometer persegi dan mempunyai populasi kira-kira 1,300 penduduk.

Konfrontasi antara Korea Utara dan Korea Selatan memuncak apabila melibatkan perebutan Pulau Yeonpyeong.

Pulau yang terletak di Garisan Terbatas Utara (NLL) Laut Kuning itu, kini bertindak sebagai sempadan maritim dua buah negara tersebut.

Korea Utara bagaimanapun menolak NLL yang direka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana ia dianggap berat sebelah.

Ia menyebabkan Korea Utara melakukan serangan ke atas Korea Selatan pada tahun 2010.

sumber: Perebutan Kepulauan Asia Timur susunan Alif Abu Bakar, Kosmo! 13 Julai 2012.

Khamis, 7 Februari 2013

Kepulauan Spratly





Kepulauan Spratly terdiri daripada 190 pulau kecil di kawasan berkeluasan kira-kira lima kilometer persegi di Laut China Selatan.


Ia dikhabarkan mempunyai sumber minyak dan gas yang amat menguntungkan.

Kepulauan Spratly menjadi rebutan antara negara China, Filipina, Vietnam, Malaysia, Taiwan dan Brunei.

China menuntut keseluruhan kawasan kepulauan yang didakwa adalah milik mereka sejak tahun 200 Sebelum Masihi.

Negara-negara lain pula hanya mahukan beberapa bahagian pulau tersebut.

Krisis pergelutan keenam-enam perkara itu terjadi selepas Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Spratly pada Perang Dunia Kedua.

Filipina dan Vietnam mengambil alih beberapa pulau di gugusan itu bermula tahun 1960-an diikuti China dan Malaysia lewat tahun 1970-an.

Kesemua enam negara Asia itu bersetuju dengan Deklarasi Manila bagi mengelakkan konflik di kawasan tersebut pada tahun 1992 dan perjanjian itu dipanjangkan sehingga tahun 2002.

Pada tahun 2005, China dan Filipina menandatangani persetujuan bagi melindungi minyak dan gas di kawasan itu tetapi selepas beberapa tahun, konflik itu kembali timbul disebabkan permusuhan ketenteraan laut.

Filipina dan Vietnam menuduh China cuba menjalankan sabotaj ke atas eksplorasi minyak di kawasan persekitaran.

Perkembangan terbaharu menyaksikan anggota negara Asia mahu konvensyen maritim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi asas penyelesaian pertikaian di Laut China Selatan.

Bagaimanapun, dikhabarkan China tidak berminat untuk merujuk kepada PBB.

sumber: Perebutan Kepulauan Asia Timur susunan Alif Abu Bakar, Kosmo! 13 Julai 2012.

Rabu, 6 Februari 2013

Kepulauan Takeshima/Dokdo


Kepulauan Takeshima/Dokdo terletak di Laut Jepun.

Ia berkeluasan 0.2 kilometer persegi.

Penduduk tetap kepulauan ini adalah sepasang suami isteri.

Kepulauan Takeshima/Dokdo sehingga kini menjadi pertikaian antara Jepun dan Korea Selatan.

Tuntutan yang dilakukan oleh Jepun pada tahun 1905 itu sejajar dengan rampasan Semenanjung Korea ketika itu.

Bagaimanapun, Korea Selatan mendakwa kepulauan itu adalah sebahagian daripada wilayah mereka selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1945.

sumber: Perebutan Kepulauan Asia Timur susunan Alif Abu Bakar, Kosmo! 13 Julai 2012

Selasa, 5 Februari 2013

Kepulauan Senkaku

Kepulauan Senkaku dikenali sebagai Dioayu oleh China dan Tiao yu Tai di Taiwan.

Ia terletak di Laut China Timur kira-kira 400 kilometer dari barat Okinawa, Jepun dan 170 kilometer dari timur laut Taiwan.

Kepulauan Senkaku berkeluasan 7 kilometer persegi.

Kepulauan ini menjadi perebutan antara Jepun, China dan Taiwan.

Kepulauan Senkaku berada di bawah pentadbiran Jepun.

Rundingan San Francisco yang dimeterai pada tahun 1951 menyaksikan Kepulauan Nansei Shoto yang sebelum itu dipegang oleh Amerika Syarikat dipulangkan semula kepada Jepun pada tahun 1971.

Pengurusan Kepulauan Senkaku yang terletak di timur laut China diserahkan kepada Jepun pada 14 Februari 1985 yang kemudiannya dijadikan sebahagian daripada Kepulauan Nansei Shoto atau Ryukyu yang kini dikenali sebagai Okinawa.

Tiada bantahan disuarakan China dan Taiwan ketika itu sehinggalah penemuan sumber minyak dan gas asli disahkan di kepulauan berkenaan.

Difahamkan sumber minyak di Senkaku boleh mencecah 100 bilion tong.

Hasil bumi tersebut dianggarkan bernilai AS$6 trilion (RM19 trilion) dan dikatakan melebihi daripada keluaran negara kasar (KNK) tahunan Amerika Syarikat.

Sebagai tambahan, sebanyak 200 bilion meter kubik gas asli juga bersemadi di kawasan sekitar.

China menyatakan Kepulauan Senkaku atau dikenali sebagai Diaoyu oleh mereka adalah sebahagian daripada China sejak zaman purba lagi.

Ia menjadi lokasi sumber hasil laut yang penting ketika Taiwan masih berada di bawah pemerintahan China.

Bagaimanapun, pihak Jepun mendakwa bahawa Kepulauan Senkaku terletak dalam wilayah Jepun dengan mengambil kira pandangan sejarah dan dari segi undang-undang antarabangsa.

China tetap berkeras untuk mendapatkan Kepulauan Senkaku malah memperkuatkan ketenteraan mereka di sekitar perairan tersebut.

sumber: Perebutan Kepulauan Asia Timur susunan Alif Abu Bakar, Kosmo! 13 Julai 2012

Isnin, 4 Februari 2013

Ancaman berbahaya polonium

Bahan kimia polonium mula menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar apabila ia digunakan untuk membunuh ejen perisikan Rusia (KGB), Alexander Litvinenko di London pada tahun 2006.

Balu bekas Presiden Yasser Arafat menggesa agar jenazah pemimpin Palestin itu digali semula dari kuburnya selepas saintis di Switzerland mendapati terdapat kesan radioaktif polonium 210 yang tinggi pada pakaian yang dipakai sebelum kematiannya pada tahun 2004.

Polonium 201 merupakan salah satu daripada unsur-unsur yang jarang ditemui di dunia.

Bahan tersebut telah dikesan pada tahun 1898 oleh saintis Marie dan Pierre Curie.

Ia dinamakan polonium sebagai penghargaan kepada negara asal saintis tersebut iaitu Poland.

Polonium terhasil secara semula jadi dalam kepekatan yang sangat rendah di dalam kerak bumi.

Ia juga menghasilkan bahan tiruan dalam reaktor nuklear.

Dalam jumlah yang kecil, polonium sah digunakan dalam industri terutama alat-alat untuk menyingkirkan elektrik statik.

Bagaimanapun, bahan kimia ini amat berbahaya.

Jika ditelan ia boleh membawa maut walaupun dalam dos yang sangat kecil iaitu kurang daripada satu gram.

Satu kajian yang dilakukan pada tahun 2007 oleh pakar-pakar radiasi dari Agensi Perlindungan Kesihatan Britain membuat kesimpulan bahawa apabila polonium 210 disuntik ke dalam aliran darah, mustahil untuk menghentikan ancamannya.

Ini akan menyebabkan mangsa keracunan dan mengalami kegagalan organ berganda akibat radiasi zarah alfa yang merosakkan hati, buah pinggang dan sumsum tulang dari dalam.

-Kosmo!

Jumaat, 1 Februari 2013

Mohamed Morsi

Mohamed Morsi lahir atau nama penuhnya Mohamed Morsi Isa El-Ayyat di wilayah Sharqiya, di Delta Nil pada 20 Ogos 1951. Bapa beliau adalah seorang petani manakala ibunya pula seorang suri rumah. Meskipun berasal daripada keluarga yang sederhana tetapi kaya dengan ajaran Islam.

Beliau adalah Graduan Sarjana bidang Kejuruteraan Logam di Universiti Kaherah pada 1978.

Beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya dan memperoleh Sarjana Kedoktoran di Universiti California Selatan.

Morsi kemudian dilantik menjadi pensyarah dan pembantu profesor di beberapa universiti di Amerika Syarikat.

Beliau juga pernah menduduki jawatan penting dalam NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas) apabila membantu membangunkan enjin kapal angkasa.

Sekembalinya ke Mesir, Morsi ditawar sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material Universiti Zaqaziq.

Morsi memilih untuk kembali ke Mesir dan mengajar di universiti tempatan dalam bidang logam.

Beliau merupakan anggota pertubuhan anti-Israel, Jawatankuasa Penentang Zionisme tetapi lebih fokus kepada Ikhwanul Muslimin. Kali pertama dicalonkan untuk pilihan raya Parlimen pada 2000.

Mohamed Morsi pernah dipenjarakan selama tujuh bulan pada 2005 kerana terlibat dalam satu tunjuk perasaan.

Beliau dilantik sebagai jurucakap Ikhwanul Muslimin menjelang pilihan raya 2010.

Beliau juga dipilih sebagai calon pilihan raya Presiden selepas calon pertama Ikhwanul Muslimin hilang kelayakan.

Mohamed Morsi mengatasi bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq pada pusingan penentu pilihan raya berkenaan dengan 51.73 peratus undi.

Morsi sudah berkahwin dengan lima anak dan tiga orang cucu.

Mohamed Morsi dilantik sebagai Presiden Mesir pada 30 Jun 2012.

Mohamed Morsi merupakan pemimpin negara kedua dalam dunia moden kini yang dikatakan menghafal 30 juzuk al-Quran selepas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyah.

Pada 30 Jun 2013, satu demonstrasi bantahan secara besar-besaran telah meletus di seluruh Mesir menuntut perletakan jawatan Presiden Mohamed Morsi.

Ini diikuti dengan ancaman daripada pihak tentera bahawa jika tuntutan penunjuk perasaan tidak dipenuhi sehingga 3 Julai 2013, pihak tentera akan campur tangan.

Mohamed Morsi digulingkan pada 3 Julai 2013.


-Kosmo!, wikipedia.