Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 31 Mei 2013

Jagung

Nama saintifik bagi jagung ialah zea mays.

Jagung adalah tanaman makanan penting di dunia dan di Malaysia, namun ia masih menjadi tanaman sampingan sahaja.

Seperti padi, jagung termasuk dalam keluarga rumput.

Kegunaan jagung ialah sebagai makanan ternakan, makanan manusia dan bahan mentah untuk pengeluaran industri seperti gula, kanji dan minyak.

Jagung juga menjadi bahan utama dalam pembuatan resin plastik mesra alam dan bahan bakar mesra alam.

Jagung mempunyai nilai kanji yang tinggi berbanding dengan protein dan gula. Ia berupa tongkol yang mengandungi bijian berbeza dari segi bentuk, saiz, warna dan jenisnya.

Komposisi nutrien mengandungi protin, lemak, karbohidrat, gentian, kalsium, natrium, karotin, retino equivalent, vitamin B1, B2, C dan niasin.

Pokok jagung mempunyai batang yang lurus, buku yang tebal di bahagian bawah dengan ketinggian sehingga 4.5 meter.

Bentuk daunnya lamina panjang dan hujungnya bentuk akut.

Daun berbulu halus di permukaan dan tersusun secara berselang pada batang.

- Harian Metro

Khamis, 30 Mei 2013

Seramik China

Seramik merupakan satu produk seni yang dimonopoli oleh masyarakat China yang terkenal sejak zaman berzaman.

Seramik China pernah mencapai zaman kegemilangan di dalam beberapa dinasti China seperti Han (100 - 200 Masihi) dan Tang (618 - 906 Masihi).


Selepas kedatangan Islam pada abad ke-7 Masihi, beberapa dinasti yang mempunyai rekaan seramik yang menarik ialah Song dan Yuan (960 - 1368 Masihi) serta Ming (1368 - 1644 Masihi).

Setiap dinasti mempunyai pusat pengeluaran seramik diraja dan juga ciri-ciri istimewa yang berlainan.

Dinasti Ming mempunyai satu jenis produk seramik putih yang dikenali dengan nama Perancis iaitu Blanc de Chine. Kumpulan seramik ini mempunyai warna putih gading atau putih susu dan kosong tanpa hiasan.

Famille rose merupakan salah satu seramik keluaran China yang mempunyai ciri-ciri istimewa terutamanya dari segi penggunaan warna. Kumpulan seramik ini dikatakan menggunakan hiasan warna bunga ros seperti merah jambu dan merah kesumba di atas glis legap.

Pilihan warna ini pada mulanya dikenali sebagai fencai yang bermaksud warna lembut dan kemudian dikenali sebagai yangcai yang bermaksud warna-warna asing. Ia dikatakan asing kerana diperkenalkan oleh orang asing yang datang ke China di akhir abad ke-17 Masihi sekitat tahun 1680-an.

Warna-warna ini mula digunakan sebagai hiasan di atas barangan logam seperti enamel dan cloisonné.

Jingdezhen merupakan tempat yang menjadi pusat pengeluaran seramik famille rose di bawah beberapa pemerintah Dinasti Qing seperti Tang Ying (1682 - 1756 Masihi), Qianlong (1735 - 1796 Masihi) dan Yongzheng (1722 - 1735 Masihi).

Selain famille rose terdapat beberapa kumpulan seramik yang dikenali dengan ciri warna seperti famille verte yang berasal daripada seramik lima warna yang menggunakan warna merah dan hijau, famille noire yang mengenakan latar berwarna hitam dan famille jaune yang menggunakan latar berwarna kuning.

sumber asal: Artikel Seramik China bermotif Islam disediakan oleh Ros Mahwati Ahmad Zakaria, MegaAgama, Utusan Malaysia 15 Februari 2013

Rabu, 29 Mei 2013

Vietnam


Vietnam adalah sebuah negara di Asia Tenggara yang berjiran dengan China, Laos dan Kemboja.

Bahasa rasmi Vietnam ialah Vietnamese.

Vietnam juga merupakan persimpangan pengangkutan dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik.

Terdapat 54 kumpulan etnik yang berbeza di Vietnam, di mana etnik Kinh membentuk hampir 90 peratus daripada keseluruhan penduduk dan 53 kumpulan etnik yang lain mewakili lebih 10 peratus penduduk.

Setiap kumpulan etnik mempunyai budayanya sendiri termasuk pelbagai karya-karya seni seperti ukiran, seramik dan lukisan.

Bandaraya Ho Chi Minh merupakan bandaraya terbesar di Vietnam yang pernah dikenali sebagai Prey Nokor. Bandar itu merupakan pelabuhan utama Kemboja sebelum dikuasai oleh Vietnam pada abad ke-17.

Penderitaan rakyat Vietnam sewaktu meletusnya Perang Vietnam 1954 - 1975

Semasa dikenali sebagai Saigon, Prey Nokor menjadi ibu kota Cochinchina Perancis dan kemudian dikenali sebagai Vietnam Selatan bermula dari 1954 hingga 1975 dalam Perang Vietnam sebelum dinamakan semula dengan bandaraya Ho Chi Minh.

Pusat bandar itu terletak di tebing Sungai Saigon dan berdekatan dengan Delta Sungai Mekong dan terletak 1.760 kilometer di selatan ibu negara, Hanoi.

Bandar itu merupakan kawasan perbandaran terbesar di Indochina serta kedua paling penting di Vietnam selepas Hanoi.

Nama Saigon masih digunakan dengan meluas dalam kalangan penduduk tempatan dan ia menjadi pusat perniagaan, kewangan, budaya dan pelancongan di Vietnam.

Pelabuhan Saigon yang ditubuhkan pada tahun 1862 boleh diakses oleh kapal-kapal seberat sehingga 30,000 tan, satu kelebihan yang jarang berlaku bagi pelabuhan sungai.

Selepas lebih daripada 300 tahun, bandaraya Ho Chi Minh menampilkan banyak pembinaan seni bina purba yang mengenengahkan nilai-nilai tradisional di sebalik ciri-ciri budaya barat.

Terowong Cu Chi ialah salah satu jaringan bawah tanah yang mengagumkan dibina oleh pahlawan Vietnam semasa zaman menuntut kemerdekaan. Ia dibina sepanjang 200 kilometer.

Terowong tersebut terdiri daripada hospital, penginapan dan sekolah, yang digunakan sebagai tapak ketenteraan Vietcong semasa perang menentang Amerika Syarikat.

Disebabkan masalah seperti kemudahan tandas dan pengudaraan yang tidak baik, ramai askar Vietnam yang menggunakan terowong mati.

sumber asal: Artikel Warna-warni Vietnam ditulis oleh Aqma Mohd. Noor, Kosmo! 7 April 2013

Selasa, 28 Mei 2013

Palestin


Palestin merupakan nama yang digunakan dengan meluas sejak era pemerintahan Rom bagi merujuk kawasan di Asia Barat di antara Laut Mediterranean, Terusan Suez dan Sungai Jordan.

Pembubaran Empayar Turki Uthmaniyyah pada 1922 selepas Perang Dunia Pertama, Liga Bangsa telah membahagikan tanah jajahan empayar tersebut antara Tentera Bersekutu.

Bahagian yang dikenali sebagai Israel, Jordan, Tebing Barat dan Jalur Gaza hari ini diserahkan kepada pihak British sebagai Mandat British Palestin.

Pada 1948, Israel diisytiharkan merdeka dan menduduki tanah di bekas Mandat British yang dibahagikan kepada negara Yahudi di bawah Rancangan Pemecahan Bahagian PBB 1947 (tidak termasuk Tebing Barat).

Cetusan Perang Arab-Israel 1948 mengubah lagi sempadan di tanah suci itu.

Berikutan perang itu, Jaluran Gaza ditadbir Mesir manakala Tebing Barat oleh Jordan.

Perjanjian Gencatan Senjata 1949 yang dimeterai oleh Israel dan negara-negara Arab menentukan sempadan antara Israel, Jaluran Gaza dan Tebing Barat.

Perang Enam Hari 1967 melihatkan Israel menceroboh Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan, Syria dalam satu operasi ketenteraan.

Sehingga kini, Israel telah menjajah kebanyakan kawasan di Tebing Barat. Banyak petempatan Yahudi juga telah dibina.

Mahmoud Abbas

Menjelang tahun 1993, lebih 80 peratus tanah yang dimiliki oleh orang Arab Palestin yang tinggal di Israel telah dirampas dan diletakkan pada pelupusan eksklusif rakyat Yahudi.

Populasi penduduk Palestin dianggarkan seramai 3,935,249 pada Julai 2009.

Presiden Palestin ialah Mahmoud Abbas dan Salam Fayyad sebagai Perdana Menteri.

-Kosmo!

Isnin, 27 Mei 2013

Segalanya tentang dinosaur

Spinosaurus

Dinosaur ialah makhluk yang sangat besar pernah hidup di Bumi.

Dinosaur dianggarkan hidup di Bumi kira-kira 165 juta tahun yang lepas dan hilang kira-kira 65 juta tahun lalu.

Ahli paleontologi masih mengesan dan mencari fosil (rangka) dinosaur ini untuk mengkajinya. Fosil makhluk-makhluk rasaksa ini masih kekal hingga ke hari ini dan ditemui pada setiap benua kecuali Antartika. Setiap fosil yang ditemui akan memberikan informasi tentang dinosaur yang pernah wujud ini.

Ahli paleontologi menganggarkan saiz dan berat seekor dinosaur dengan mengkaji kesan tapak kakinya dan juga tulang rangkanya. Dalam sesetengah kes, ada ahli paleontologi yang terpaksa mengkaji tengkorak ataupun cebisan tulang dinosaur sahaja kerana hanya bahagian itu yang berjaya ditemui.

Tyrannosaurus Rex

Menurut ahli paleontologi, Spinosaurus adalah dua tan lebih berat daripada Tyrannosaurus Rex atau lebih dikenali sebagai T-Rex.

Spinosaurus mendapat namanya kerana duri-duri bergerigi di belakang badan mereka.

Spinosaurus mampu membesar sehingga 17 meter panjang dan mempunyai lengan yang berotot serta kuku setajam pisau yang digunakan untuk meragut mangsa mereka.

Di dalam filem Jurassic Park III yang dikeluarkan pada tahun 2001, Spinosaurus telah membunuh T-Rex dalam satu pertarungan. Bagaimanapun, menurut ahli paleontologi, perkara ini adalah mustahil kerana Spinosaurus dan T-Rex hidup di kawasan yang berlainan sewaktu zaman pra-sejarah.

Deinonychus

Dinosaur bernama Deinonychus yang bersaiz lima kaki tinggi dan sepuluh kaki panjang juga bukan tandingan Spinosaurus. Bagaimanapun, ia juga adalah makhluk yang merbahaya dan mampu membunuh serta bergerak sepantas kilat dengan dua kaki seperti burung. Rongga otaknya yang besar juga menunjukkan bahawa ia adalah sejenis makhluk yang pintar dan mampu memperdaya mangsa-mangsanya.

5 jenis dinosaur terbesar:
  1. Sauropod terbesar: Argentinosaurus sepanjang 36 meter dan seberat 89 tan metrik.
  2. Karnivor terbesar: Spinosaurus sepanjang 16.5 meter dan seberat 7 tan metrik.
  3. Pliosaur terbesar: Liopleurodon sepanjang 15 meter dan seberat 27 tan metrik.
  4. Hadrosaur terbesar: Shantungosaurus sepanjang 15 meter dan seberat 44.5 tan metrik.
  5. Raptor terbesar: Utahraptor sepanjang 6 meter dan seberat 0.9 tan metrik.

Sehingga ke hari ini, orang ramai masih menganggap bahawa dinosaur berwarna kelabu ataupun keperang-perangan.

Fosil Sinosaurepteryx

Sepasukan ahli paleontologi yang diketuai oleh Michael Benton telah membuat penyelidikan tentang warna dinosaur daripada fosil Sinosaurepteryx, sejenis dinosaur yang hidup 125 juta tahun yang lalu.

Fosil yang ditemui di negeri China ini didapati mengandungi beberapa helai bulu pelepah yang membuktikan terdapat kaitan antara dinosaur dan burung.

Dengan meneliti ekor dinosaur tersebut yang dipenuhi bulu pelepah, Benton dan pasukannya mendapati terdapat jalur berwarna putih dan rona warna lain yang telah pudar ditelan masa. Setelah meletakkannya di bawah sejenis mikroskop yang berkuasa tinggi, mereka melihat terdapat sejenis kapsul kecil yang dipanggil melanosome pada fosil tersebut.

Melanosome mengandungi sejenis pigmen yang mewarnakan bulu pelepah tersebut. Melanosome dengan bentuk yang berlainan akan berpadanan dengan warna yang berlainan.

Melanosome yang berbentuk seperti sosej akan menghasilkan warna coklat gelap. Melanosome yang berbentuk bola pula menghasilkan warna jingga. Michael Benton hanya menemui melanosome yang berbentuk jingga dan oleh itu mereka mengetahui bahawa bulu pelepah tersebut berwarna jingga.

Dengan terungkainya misteri warna bulu pelepah Sinosaurepteryx ini, maka ahli paleontologi dan para saintis akan dapat menentukan warna dinosaur yang pernah hidup di Bumi berjuta-juta tahun yang lalu.


sumber: Majalah Time 2011

Khamis, 23 Mei 2013

Aiskrim


Aiskrim dihasilkan sejak abad keempat Sebelum Masehi di Rom. Ia menjadi pencuci mulut yang mewah khususnya kepada golongan aristokrat.

Sehingga tahun 1700-an aiskrim menjadi pencuci mulut yang ditawarkan hanya kepada mereka yang tertentu sahaja.

Kedai aiskrim pertama dibuka di bandar raya New York pada 1776.

Nama aiskrim berasal daripada frasa krim yang berais.

Amerika merupakan negara yang rakyatnya paling banyak makan aiskrim dengan purata 15 hingga 20 liter aiskrim setahun.

-Kosmo!

Rabu, 22 Mei 2013

Sos Tabasco


Sos Tabasco dikeluarkan oleh McIlhenny Company yang diasaskan oleh Edmund McIlhenny pada tahun 1868 di Avery Island, Louisiana, Amerika Syarikat.

Edmund McIlhenny telah memperolehi benih lada jenis capsicum frutescens dari Mexico untuk ditanam.

Selepas menyedari rasa pedas yang terhasil daripada lada tersebut, Edmund mendapat ilham untuk mencipta sos pedas bagi menghidupkan rasa hambar dalam diet wilayah selatan Amerika Syarikat.

Nama Tabasco dipilih Edmund kerana suka dengan bunyi nama tersebut. Ia diambil sempena nama sebuah negeri di tenggaara Mexico, Tabasco yang mempunyai tanah rata dan berpaya. Selain itu, terdapat juga sebatang sungai yang dinamakan Rio Tabasco di selatan Mexico.

sumber asal: artikel Paul Tulang Belakang Sos Tabasco susunan Khadijah Mohamad Nor, Kosmo! 15 Mac 2013.

Jumaat, 17 Mei 2013

Hospital Kuala Lumpur


Hospital Kuala Lumpur bermula sebagai sebuah hospital daerah pada tahun 1870 dengan kapasiti tiga wad iaitu wad 'Tai Wah', wad 'Choudhry' dan wad 'Malay'.

Hospital Kuala Lumpur berusia 143 tahun pada tahun 2013.

Berkeluasan 60 hektar Hospital Kuala Lumpur merupakan hospital terbesar di Asia Tenggara.

Dilengkapi 2,209 buah katil dengan 83 wad dan 9,446 warga kerja daripada pelbagai kategori.

Seramai 1.1 juta pesakit luar dan 118,286 pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dalam masa setahun.

Sehingga Februari 2013 sebanyak 1,119 pembedahan transplan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur.

-Kosmo!

Khamis, 16 Mei 2013

Colosseum


Colosseum ialah sebuah bangunan bersejarah yang terdapat di bandar Rome, Itali.

Nama asal Colosseum ialah Spektakuler. Bangunan dibina oleh anak Raja Vespasian bernama Titus.

Nama Colosseum diambil sempena nama Colossus iaitu patung tembaga setinggi 40 meter yang didirikan di tapak yang sama.


Bangunan yang dapat memuatkan 50,000 orang penonton yang kebanyakannya golongan bangsawan ini turut memiliki jolokan sebagai Gelanggan Flavian.

Tempat ini menyimpan kisah yang kejam kerana ribuan manusia dan haiwan terbunuh demi menghiburkan penonton. Mayat mereka dilonggokkan begitu sahaja di ruang bawah tanah.
Jadi tidak menghairankan jika pelancong yang berkunjung ke bangunan setinggi 48 meter ini mendakwa sering melihat sosok lelaki berpakaian pahlawan Rom purba.

Di dalam gelanggang ini, tempat duduk dikhaskan untuk raja dan bangsawan sahaja. Mereka boleh membawa kerusi sendiri selain tempat duduk mereka ditanda dengan ukiran nama masing-masing. Rakyat biasa pula hanya menonton dalam keadaan berdiri.

Colosseum kini merupakan antara tujuh keajaiban dunia. Ia turut dikatakan antara 10 lokasi paling berhantu dunia.

-Kosmo!

Rabu, 15 Mei 2013

Perkhidmatan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERLSB)

KLIA Ekspres

Mula beroperasi pada 14 April 2002.

Perkhidmatan rel harian berkelajuan tinggi yang menghubungkan KLIA dan Terminal Udara Bandar Kuala Lumpur di KL Sentral.

Jarak laluan rel dari KL Sentral - KLIA ialah sejauh 57 kilometer.

Masa perjalanan 28 minit dengan frekuensi perkhidmatan setiap 15 minit semasa waktu puncak dan 20 minit pada bukan waktu puncak.

Jarak laluan rel dari KLIA - KLIA2 ialah sejauh 2.14 kilometer.

Bakal menyediakan perkhidmatan KL Sentral - KLIA2 yang mengambil masa 33 minit.



KLIA Transit

Mula beroperasi pada 1 Jun 2002.

Berkongsi landasan dengan perkhidmatan KLIA Ekspres dan menghubungkan KLIA dengan KL Sentral.

Menyediakan perkhidmatan komuter yang berhenti di tiga stesen hubungan iaitu Bandar Tasik Selatan, Putrajaya/Cyberjaya dan Salak Tinggi.

Tempoh perjalanan ialah selama 35 minit pada kadar frekuensi 30 minit.

-Kosmo!

Selasa, 14 Mei 2013

Ikan terbang berevolusi untuk selamatkan diri

Potanichthys xingyiensis

Sekumpulan penyelidik menyatakan bahawa ikan terbang pertama mungkin telah berevolusi untuk melarikan diri daripada pemangsa reptilia marin prasejarah.

Ikan terbang moden atau masa kini mampu meluncur di udara setinggi 400 meter dalam tempoh 30 saat dengan kelajuan maksimum mencecah kira-kira 72 kilometer sejam.

Ia mungkin terbang untuk melarikan diri daripada pemangsa seperti ikan lumba-lumba, sotong dan spesies ikan lain.

Ikan terbang moden hidup di perairan tropika dan subtropika.

Kini penyelidik menemui bukti bahawa evolusi terbang berkembang pada masa lain dalam sejarah ikan tersebut.

Ini adalah antara contoh terawal meluncur di atas air yang dilihat dalam kalangan amfibia.

Saintis menganalisis fosil yang mereka temui ketika melakukan aktiviti penggalian di barat daya China pada tahun 2009.

Tulang purba itu berasal daripada ikan marin bernama Potanichthys xingyiensis merujuk kepada bandar Xingyi yang terletak berhampiran tempat fosil itu ditemui.

-Kosmo!

Isnin, 13 Mei 2013

Gallus Domesticus


Gallus Domesticus ialah nama saintifik bagi ayam kampung yang merupakan sejenis haiwan yang hidup liar dan bebas.

Ayam kampung yang terdapat di Malaysia merupakan kacukan ayam asli dengan ayam yang dibawa oleh pedagang asing seperti China dan Eropah.

Ia mudah dijaga kerana boleh dilepas tanpa reban dan ketahanan yang tinggi berbanding ayam daging. Walaupun begitu, ternakan komersial ayam kampung memerlukan perbelanjaan tinggi untuk membeli makanan dan dedak yang memberi mineral mencukupi kepada ayam.

Seekor ayam jantan boleh memberi benih kepada 10 ekor ayam betina. Seekor ayam betina boleh mengeram sehingga 15 biji telur yang mengambil masa 21 hari untuk menetas.

-Kosmo!

Jumaat, 10 Mei 2013

RazakSAT


RazakSAT ialah satelit yang dinamakan sempena Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Merupakan satelit Malaysia yang membawa kamera resolusi tinggi.

Dilancarkan ke orbit Bumi rendah oleh sebuah roket 1 Falcon pada 14 Julai 2009.

Diletakkan ke orbit berhampiran khatulistiwa yang membentangkan peluang pengimejan yang banyak untuk kawasan khatulistiwa.

Mempunyai berat lebih tiga kali berbanding TiungSAT-1.

-Kosmo!

Khamis, 9 Mei 2013

Keluang


Keluang merupakan spesies mamalia dalam keluarga kelawar yang dikenali secara saintifiknya sebagai Pteropodidae vampyrus, berdarah panas, membiak dan beranak.

Lazimnya ia memiliki saiz yang berbeza dengan yang paling kecil sebesar enam sentimeter dan paling panjang pula mencecah sehingga 40 sentimeter dan mampu mengembangkan sayap sehingga 1.7 meter.

Keluang mempunyai mata yang besar bagi membolehkannya melihat dalam keadaan yang gelap di kawasan gua dan hutan.

Haiwan mamalia itu turut memiliki deria bau yang cukup unik dan ia gemar memakan buah-buahan serta madu bunga-bungaan.

Terdapat lebih 175 spesies keluang di seluruh dunia dan sebanyak 20 spesies pula direkodkan di Malaysia.

-Kosmo!

Rabu, 8 Mei 2013

Jimmy Choo

Nama penuhnya ialah Jimmy Choo Yeang Keat.

Dilahirkan pada 15 November 1959, anak kelahiran Lebuh Hutton, George Town, Pulau Pinang.

Mula mereka kasut pertamanya ketika berusia 11 tahun dan pernah bekerja sebagai penolong pereka fesyen di sebuah kilang di Hackney, London pada tahun 1983.

Mendapat gelaran pereka kasut antarabangsa selepas kasut rekaannya mendapat liputan majalah fesyen Vogue pada tahun 1998.

Pada tahun 1996 dia membuka butik pertama Jimmy Choo Ptd. di London.

Mendiang Princess of Wales, Puteri Diana pernah menggayakan kasut jenama Jimmy Choo pada tahun 1990.

-Kosmo!

Selasa, 7 Mei 2013

DC Avanti


DC Avanti ialah supercar yang pertama buatan India.

Ia dicipta oleh pereka India Dilip Chhabria dan dikeluarkan oleh firma reka bentuk India, DC Design.

DC Avanti dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 2.0 liter empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 240 kuasa kuda.

Enjin daripada Ford Ecoboost yang ditala khas untuk menjana lebih kuasa tersebut dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.

Dipasang dengan rim aloi bersaiz 19 inci, kelajuan maksimum yang dihadkan secara mampu dicapai oleh DC Avanti ialah 250 kilometer sejam (km/j).

Kereta itu dijual pada harga kira-kira AS$70,000 (RM220,219).

-Kosmo!

Jumaat, 3 Mei 2013

Masjid Kapitan Keling


Masjid Kapitan Keling terletak di bandar raya George Town, Pulau Pinang.

Ia dinamakan Masjid Kapitan Keling bersempena nama tokoh yang telah terlibat dalam usaha pembinaan dan pembangunan masjid tersebut iaitu Kapitan Keling atau nama sebenarnya Caudeer Mohudeen.

Caudeer Mohudeen dan adik lelakinya Muhammad Nordin Merican belayar dari India ke Pulau Pinang bersama ibu mereka, Fatimah semasa berumur 11 tahun.

Masjid ini telah diubahsuai dan diperbaiki pada tahun 1930-an.

Ia mempunyai rekabentuk berkonsepkan seni bina Moghul.

-Kosmo!, IslamGRID