Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Rabu, 23 April 2014

Jarum dan mesin jahit


Jarum telah dicipta pada abad ke-14.

Pada tahun 1755, imigran Jerman yang tinggal di England, Charles Weisenthal mematenkan jarumnya yang dirancang untuk sebuah mesin.

Kemudian pada 1790, seorang pembuat almari, Thomas Saint turut berhasil mendapatkan paten untuk rancangan mesin jahitnya.

Namun, kedua-dua rekaan individu ini termasuk rekaan Bathasar Krems pada tahun 1810 tidak dapat berfungsi.

Seorang penjahit dari Austria, Josef Madersperger juga pernah berusaha membuat mesin untuk menjahit dan mendapatkan paten pada tahun 1814, tetapi mesin jahit buatannya itu juga dianggap gagal.

Mesin jahit yang pertama dapat berfungsi dengan baik adalah mesin jahit yang diciptakan oleh seorang penjahit Perancis, Barthelemy Thimonnier pada tahun 1830.

Mesin itu hanya menggunakan satu benang dan sebuah jarum kait seperti jarum bordir atau sulam.

Namun ciptaan itu tidak mendapat sambutan baik daripada masyarakat, malah Barthelemy hampir terbunuh apabila sejumlah tukang jahit membakar kilang pakaian miliknya.

Tindakan itu dikatakan sebagai protes kepada Barthelemy kerana mewujudkan persaingan dalam dunia jahitan selain mencetuskan pengangguran akibat kebergantungan kepada mesin.

Pada tahun 1834, Walter Hunt berjaya menghasilkan sebuah mesin jahit yang dianggap terbaik pada zaman itu, namun dia memilih untuk tidak mempatenkan kerana takut bakal menyebabkan pengangguran.

Akhirnya pada tahun 1860 pereka kelahiran New York, Isaac Singer berhasil membuat mesin jahit dengan jarum jahit yang mampu digerakkan menggunakan kayuhan pedal kaki.

Mesin jahit itu kemudian dipasarkan secara besar-besaran dan menjadi perintis kepada mesin jahit moden yang digunakan hari ini.

Sumber: Artikel Baiki mesin jahit dalam masa satu jam oleh Mustapha Lakawa, Kosmo! 22 Julai 2013

Selasa, 22 April 2014

Mesir


Mesir merupakan sebuah negara yang terletak di Afrika Utara.

Ia bersempadan dengan Libya, Sudan, Semenanjung Gaza dan Israel serta Laut Mediterranean dan Laut Merah.

Mesir mempunyai populasi penduduk seramai 77,498,000 (2013).

Mesir memperoleh kemerdekaan daripada United Kingdom pada 28 Februari 1922.

Diisytiharkan sebagai sebuah republik pada 18 Jun 1953.

Kawasan di Mesir merupakan tapak tamadun awal Mesir Purba.

Monumen-monumen Mesir Purba seperti Piramid Giza, Sphinx, Kuil Luxor dan sebagainya menjadi tarikan berjuta-juta pelancong luar negara setiap tahun.

Mesir dianggap sebagai jantung umat Islam kerana ia merupakan antara negara Arab terpenting di Asia Barat.

- Kosmo!

Isnin, 21 April 2014

Projek Lynas


Projek nadir bumi oleh Lynas adalah hasil pelaburan syarikat perlombongan dan pemprosesan kimia dari Sydney, Lynas Corporation Ltd.

Lynas menyumbang pelaburan langsung asing berjumlah RM2.3 bilion dan mampu memberi lebih 1,000 peluang pekerjaan.

Kilang memproses nadir bumi yang beroperasi di Gebeng, Kuantan, Pahang itu diberi lesen untuk beroperasi pada 2008 di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Lynas juga mendapat pengesahan daripada enam badan bebas iaitu Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), panel pakar akademik, jawatankuasa bebas, pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk beroperasi dan menerima lesen pengendalian sementara (TOL).

Isu kilang Lynas Advanced Material Plant (Lynas) yang dibina di Kawasan Perindustrian Gebeng bermula ekoran berita dalam akhbar New York Times pada 8 Mac 2011.

Pada 10 Mac berita ini dikutip dan disiarkan kembali sepenuhnya oleh akhbar tempatan, The Star selepas sehari berlaku kebocoran reaktor nuklear di Fukushima, Jepun, akibat gempa bumi sebelum disusuli tsunami.

Sejak itulah, isu ini dibangkitkan dan disuarakan secara lantang oleh pembangkang pada sidang Dewan Rakyat 2011.

Pihak pembangkang membantah kewujudan kilang itu dengan mendakwa kononnya penduduk sekitar bakal diancam bahaya radiasi nuklear dari kilang berkenaan.

Lynas tiada kaitan langsung dengan reaktor nuklear ataupun makmal uranium.

Ia menghasilkan nadir bumi iaitu produk kimia daripada bahan mentah yang digunakan sebagai pemangkin bagi pengeluaran mentol jimat tenaga dan tahan bateri sel kering.

sumber: Artikel Lynas Kuantan bukan Fukushima oleh Luqman Hakim Ab. Rahim, Kosmo! 28 April 2013.


Selasa, 15 April 2014

Rozel


Spesies Hibiscus sabdariffa dikenali juga sebagai pokok Rozel.

Di Australia dan Indonesia ia dikenali sebagai Rosella.

Pokok Rozel dikatakan berasal dari India.

Ia banyak digunakan dalam rawatan perubatan secara tradisi sebagai julap semula jadi bagi mencuci perut.

Ia juga dikatakan dapat menyembuh penyakit berkaitan jantung, saraf, tekanan darah tinggi (hypertension) dan kanser.

Pokok Rozel hanya boleh hidup sehingga enam bulan sahaja sebelum layu dan mati.

Pokoknya boleh tumbuh sehingga lapan kaki manakala daunnya mempunyai tiga hingga lima lekuk, tumbuh tersusun berselang seli di tangkai daunnya.

Kelopak bunganya pula berwarna merah muda dan berbentuk seperti kelopak bunga raya dan bendi kerana kedua-duanya juga dari tumbuhan yang sama iaitu Malvaceae.

Ladang rozel di Terengganu

Pokok Rozel mula diperkenalkan di Malaysia pada awal 1990-an dan mula ditanam secara komersial di ladang pada 1993.

Pada mulanya Terengganu merupakan satu-satunya negeri pengeluar utama Rozel di Malaysia namun kini negeri lain juga sudah mula menanam Rozel secara komersial.

Dua spesies yang popular ditanam di Malaysia ialah jenis Terengganu atau UMKL-1 dan Arab.

Jenis Arab dikatakan mengeluar hasil yangn lebih berbanding Terengganu.

Minuman jus rozel

Kaliks buahnya diproses untuk dijadikan minuman yang mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi.

Ia juga boleh diproses menjadi jem, jeruk, jeli pewarna makanan dan sebagainya.

sumber: Artikel Rozel, Roselle, Rosella, tumbuhan herba cantik untuk hiasan laman oleh Abubakr As-Siddiq, BH, 28 April 2013.

Isnin, 14 April 2014

Malindo Air


Malindo Airways (Malindo Air) adalah penerbangan usaha sama antara Malaysia National Aerospace and Defence Industries (NADI) dan Lion Air dari Indonesia.

Nama Malindo adalah cantuman dua nama Malaysia dan Indonesia.

Sebagai permulaan, Malindo Air yang berpangkalan di Malaysia memulakan penerbangan sulung antara Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak dengan penerbangan perdana pada 22 Mac 2013.

Setakat ini, Malindo Air menggunakan pesawat jenis Boeing 737-900ERs.

Dengan slogan Not Just Low Cost (bukan sekadar kos rendah), Malindo Air turut memperkenalkan dua segmen kelas penerbangan iaitu kelas perniagaan dan kelas ekonomi.

Bagi kelas perniagaan, sebanyak 12 tempat duduk ditawarkan manakala sebanyak 168 tempat duduk bagi kelas ekonomi.

Selain menawarkan program hiburan menarik di dalam pesawat, krew kabin Malindo Air turut menggayakan kebaya putih sebagai pakaian rasmi mereka.

Selepas Kuching dan Kota Kinabalu, Malindo Air turut mengadakan penerbangan ke Miri, Bintulu, Sibu, Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Langkawi, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Bagi penerbangan antarabangsa pula Malindo Air turut terbang ke Dhaka dan Chittagong di Bangladesh, Ahmedabad, Kochi, Delhi, Mumbai dan Trichy di India, Bali, Denpasar, Batam dan Jakarta di Indonesia serta Bangkok dan Hat Yai di Thailand.

Untuk keterangan lanjut, layari www.malindoair.com.

- BH.

Jumaat, 11 April 2014

Ulat bulu The Saddleback


Ulat bulu The Saddleback mempunyai bentuk dan warna yang cantik tetapi perlu berhati-hati kerana racunnya boleh menyebabkan kesan bengkak, rasa mual dan ruam yang mengambil masa yang lama untuk pulih.

Ulat ini dikategorikan sebagai kuat makan kerana makan segala jenis tanaman.

- BH

Rabu, 9 April 2014

Kuih cincin


Kuih cincin dibuat secara tradisional di Papar, Sabah dan terkenal dengan rasa enak, rangup, asli dan berkualiti.

Kuih yang rasanya lemak manis dan rangup ini diadun bersama-sama resipi tradisional 'gula apong' yang berkualiti tinggi.

Rasanya dapat menarik perhatian pelancong dan juga penduduk setempat.

- BH.

Selasa, 8 April 2014

Toy Museum


Muzium Mainan Pulau Pinang atau Penang Toy Museum terletak di Jalan Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Terdapat lebih 100,000 watak kartun yang dipamerkan di sini.

Patung mainan yang terdapat dalam muzium ini

Bukan sahaja kanak-kanak, malah golongan dewasa yang minat mengumpul koleksi animasi juga pasti menyukainya.

- BH.

Isnin, 7 April 2014

Kes-kes keganasan pilihan raya di dunia


Empat anggota polis Kenya dibunuh oleh sekumpulan penyerang sehari sebelum pilihan raya Presiden negara itu pada Mac 2013.

Tujuh orang terbunuh apabila keganasan dicetuskan oleh penyokong parti pembangkang yang tidak berpuas hati apabila kalah dalam pilihan raya Presiden di Venezuela yang menyaksikan Nicolas Maduro berjaya mengalahkan pemimpin pembangkang Henrique Capriles pada tahun 2013.

Sepuluh orang terbunuh dalam kejadian keganasan pasca pilihan raya di Armenia pada tahun 2008.

Dua lelaki mati ditikam ketika meraikan kemenangan Parti Bharatiya Janata dalam pilihan raya di India pada 2002.

Lapan orang mati dalam satu protes menentang keputusan pilihan raya di Iran pada tahun 2009. Pihak berkuasa Iran menyalahkan reformis yang juga bekas Perdana Menteri Iran, Mirhossein Mousavi yang menjadi dalang dalam kejadian itu.

- Kosmo!

Jumaat, 4 April 2014

Rambut


Secara purata manusia mempunyai 100,000 hingga 150,000 helai rambut pada kulit kepala.

Rambut manusia sebenarnya berwarna putih dan pigmen yang dipanggil melanin memberi warna rambut.

Pembentukan melanin sudah bermula sebelum manusia dilahirkan.

Rambut manusia sangat kuat dan setiap helai rambut boleh menampung berat sehingga 100 gram.

Rambut tumbuh sendiri tanpa kawalan dan setiap helai rambut mempunyai kitaran hayatnya sendiri.

Rambut mempunyai kadar mitosis iaitu pembahagian sel yang paling cepat.

Secara purata rambut tumbuh 0.3 milimeter sehari atau satu sentimeter sebulan.

Oleh kerana rambut mempunyai kitaran tersendiri, ia akan gugur pada waktu berbeza apabila sampai waktunya.

- Harian Metro

Khamis, 3 April 2014

Teguh Samudera


Teguh Samudera ialah nama kapal latihan angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia dilancarkan pada 27 Februari 2013 oleh isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Siti Hasmah Mohd Ali.

Teguh Samudera mempunyai spesifikasi 75.9 meter panjang dan turut dilengkapi dengan tempat pendaratan helikopter yang mempunyai keberatan 1,366 tan metrik.

Teguh Samudera mampu beroperasi sejauh 2,500 batu nautika atau bersamaan 21 hari tanpa henti sebelum ulang bekal dilaksanakan.

Kapal berkenaan bakal menempatkan 47 orang krew dan mampu menampung seramai 60 pelatih pada setiap kali pelayaran termasuklah 12 penempatan untuk pelatih wanita.

Teguh Samudera dilengkapi sistem kombat, radar, peralatan navigasi dan komunikasi serta senjata jarak dekat.

Meskipun digunakan untuk latihan, ia juga mampu melaksanakan tugas operasi secara terhad sekiranya diperlukan.

Teguh Samudera dibina oleh syarikat tempatan iaitu NGV Tech Sdn. Bhd.

Ia dinamakan Teguh Samudera untuk meneruskan kesinambungan nama kapal latihan sedia ada iaitu KLD Tunas Samudera dan Gagah Samudera.

sumber: Artikel Teguh Samudera perkuat TLDM oleh Syukri Shaari, Kosmo! 6 Mac 2013

Rabu, 2 April 2014

Venezuela


Venezuela terletak di bahagian utara pesisiran pantai Amerika Selatan.

Ia merangkumi kawasan seluas 916,445 kilometer persegi dan beberapa buah pulau kecil di Lautan Caribbean.

Ia berjiran dengan Guyana di sebelah timur, berkongsi sempadan dengan Brazil di sebelah selatan, Colombia di barat dan Lautan Atlantik di sebelah utara.

Populasi penduduknya mencecah 27,730,435 orang setakat Julai 2007.

Venezuela mendapat namanya daripada ahli kartografi, Amerigo Vespucci.

Semasa meneruskan ekspedisinya ke bahagaian barat laut pesisiran Teluk Venezuela pada tahun 1499, beliau bertembung dengan sebuah perkampungan yang dibina di atas air.

Pemandangan ini mengingatkan dirinya kepada Venice, Itali lalu menamakan tempat itu Venezuola iaitu mini Venice.

Venezuela merupakan antara negara yang pesat membangun.

Sektor petroleum dilihat sebagai penyumbang terbesar kepada sumber ekonomi dan rakyatnya menikmati harga petrol yang rendah berikutan pemberian subsidi yang tinggi.

Sejak 1999, negara ini dikenali sebagai Republik Bolivar Venezuela.

Oleh kerana kedudukannya adalah berdekatan dengan garisan Khatulistiwa di Hemisfera Utara, Venezuela mengalami iklim Tropikal.

Kebanyakan hutan di negara itu dijadikan hutan simpan atau taman negara sekali gus menjadi habitat semula jadi bagi alam biodiversiti.

- Kosmo!

Selasa, 1 April 2014

Planetarium Negara


Planetarium Negara terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Planetarium Negara telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 7 Februari 1994.

Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia tentang program-program sains angkasa.

Mengambil masa tiga tahun untuk dibina, Kompleks Planetarium Negara menempatkan sebuah teater berbentuk kubah di tengah-tengahnya.

Keunikan reka bentuk teater tersebut telah memberi cabaran yang cukup hebat kepada jurubina projek, jurutera dan kontraktor bangunan.

Ketelitian dan ketepatan yang diperlukan bagi projektor bintang dan filem berformat besar juga memberi cabaran yang tidak kurang hebatnya.

Hakikatnya, Planetarium Negara memainkan peranan penting dalam menyuntik kesedaran tentang kepentingan bidang sains angkasa dalam kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama, ia mengorak langkah pertama dalam usaha mendekatkan rakyat Malaysia dalam bidang berkenaan.

Sumber: Artikel 19 tahun Planetarium Negara oleh Khadijah Mohamad Nor, Kosmo! 20 Februari 2013.