Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Rabu, 28 Mei 2014

Al-Quran Braille di Malaysia


Tidak diketahui bilakah orang Islam mula menggunakan al-Quran Braille.

Namun menurut kajian, dipercayai sekitar awal 1950-an.

Antara negara Islam yang terawal menghasil dan menggunakan al-Quran Braille adalah Jordan (sekitar 1952), Mesir (awal 1960-an), Tunisia (1976) dan diikuti banyak negara lain termasuk Arab Saudi, Indonesia, Maghribi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Uzbekistan, Nigeria, Pakistan dan Iran.

Di Masjidil Haram, al-Quran Braille disediakan kepada jemaah haji yang cacat penglihatan sejak 2004 lagi.

Kini, al-Quran Braille juga terdapat di banyak negara, khususnya di masjid dan madrasah di negara-negara bukan Islam termasuk Amerika Syarikat dan Britain, yang disedekahkan oleh pihak yang prihatin.

Al-Quran Braille pertama di Malaysia ialah pada 1952.

Ia dibawa masuk dari Jordan, mempunyai 30 juzuk dan dibahagi kepada 6 jilid.

Usaha pertama dibuat oleh seorang guru di Sekolah Princess Elizabeth, Johor Bahru yang mempelajari al-Quran Braille walaupun dia tidak buta.

Akhirnya, guru itu, Ustaz Sulaiman Shafie, menguasai kod dalam al-Quran Braille dan mampu mengajar pelajarnya sehingga tahun 1991.

Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia (MAB) telah melancarkan Projek Quran Braille pada 1979 dengan dibiayai oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Projek ini mengambil masa 5 tahun antara tahun 1980 dan 1985.

Akhirnya, dua salinan master telah dihasilkan, satu dalam Bahasa Arab dan satu lagi terjemahan dalam Bahasa Melayu.

Pada 1983, Kementerian Pelajaran menubuhkan Jawatankuasa Kod Braille al-Quran al-Karim, dianggotai lebih 20 pakar pelbagai bidang berkaitan, bertujuan mencadangkan kepada kerajaan satu kod yang selaras dan sistematik bagi menghasil dan mempelajari al-Quran Braille di Malaysia.

Jawatankuasa ini mengambil masa 15 tahun untuk menyempurnakan tugasnya.

Akhirnya, Kod Braille Wasilah Bacaan al-Quran terhasil dan dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1998.

Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), NGO Islam yang aktif menghasil dan mengajar al-Quran Braille kepada umat Islam, selain ahli-ahlinya sekitar 1,000 orang.

- BH

Isnin, 26 Mei 2014

Mitos mengenai mutiara


Tamadun awal China percaya mutiara hitam adalah simbol kebebasan dan ia boleh didapati di dalam otak naga.

Masyarakat lama Mesir menghargai mutiara. Apabila meninggal mutiara akan dikebumikan bersama-sama.

Masyarakat Greece percaya mutiara terbentuk apabila hujan menimpa tiram dan mutiara juga adalah lambang kasih sayang dan perkahwinan.

Dengan memakai perhiasan mutiara, mereka boleh mengetahui status individu dan akan melindungi wanita yang baru berkahwin daripada sebarang kejadian yang boleh menyebabkan mereka menitiskan air mata.

- BH

Jumaat, 23 Mei 2014

Dua kaedah pembenihan awan


Kaedah semburan air garam

Proses pembenihan awan melalui kaedah bancuhan air garam yang disembur di ruang udara ataupun awan mengambil masa lima hingga 30 minit bagi menghasilkan hujan.

1,000 liter air akan dibancuh dengan 150 kilogram garam dan akan diterbangkan menggunakan pesawat ke ruang udara dan disembur ke dalam awan Kumulus bagi menghasilkan hujan.

Larutan garam digunakan kerana sifatnya yang mampu menarik molekul air dalam udara yang kemudian jatuh ke bumi sebagai hujan.


Kaedah flare

Ketulan garam berbentuk silinder mempunyai sumbu seperti lilin dipasang pada sayap pesawat.

Sejurus sebelum pesawat berlepas, sumbu pada silinder garam itu dibakar dan pesawat terus menuju ke ruang udara yang terbabit dengan operasi pembenihan awan, manakala serbuk garam dari silinder itu akan dibebaskan ke udara.

Proses pembenihan awan secara flare biasanya dilakukan menggunakan pesawat ringan di kawasan terjejas dan di ruang udara di bawah paras awan.

sumber: Artikel Dua kaedah hasilkan hujan di empat negeri oleh Haspaizi Mohd Zain, BH, 27 Jun 2013.

Jumaat, 16 Mei 2014

Sistem dan polisi di Sweden


Sweden dikatakan antara kerajaan pemurah di dunia apabila melaksanakan sistem cuti untuk ibu bapa yang diberikan sehingga 480 hari untuk kelahiran setiap anak.

Ibu bapa yang mengambil cuti menerima bayaran gaji atau elaun sebanyak 80 peratus atau dibayar sebanyak 910 SEK (atau kira-kira RM400 sehari).

Majikan tidak terbabit dalam membayar kos cuti tetapi diuruskan oleh Pentadbiran Insuran Sosial Sweden atau Social Sweden Insurance Administration yang akan mengeluarkan bayaran.

Cuti ini boleh diambil mengikut bulan, minggu, hari malahan mengikut kiraan jam.

Cuti 390 hari, ibu bapa menerima maksimum elaun: SEK 946 (lebih kurang RM480) sehari, mulai 2013.

Untuk 90 yang lain hari, elaun harian ialah SEK 180 (RM100) sehari.

Tambahan 20 hari bagi kelahiran kembar.

Kementerian Keselamatan Sosial Sweden mengambil berat mengenai masyarakat dan mempertahankan keperluan penduduk dengan memperkenalkan pelbagai jenis polisi terbaik dalam tempoh 100 tahun.

Antara polisi yang dikendalikan:
  • National Pension Insurance 1913
  • Insurance Against Accidents at Work 1918
  • Officially Approved Unemployment Insurance Funds 1937
  • Child Allowances 1947
  • National Sickness Insurance 1955
  • Parental Insurance 1973
  • Retirement Age Lowered to 65 in 1976
  • Sickness Insurance Reform 2008
  • Social Insurance Centenary 2013

- BH

Rabu, 14 Mei 2014

Kepala air


Kepala air ialah gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar, mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama.

Biasanya berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai.

Aliran air ini apabila hujan sangat besar dan deras dan boleh membawa segala macam kelodak, batu dan kayu balak.

Ia akan merempuh apa sahaja halangan di hadapannya.

- Kosmo!

Isnin, 12 Mei 2014

Bunga sebagai agen penyembuh


Beberapa kajian menunjukkan bunga-bunga pernah digunakan sebagai agen penyembuh dan magis.

Ketua Bahagian Psikologi Tumbuhan di sebuah institut botani di Rusia, Prof. Ivan Isidogovich Gunar menyimpulkan, dalam sekuntum bunga terdapat beratus-ratus ekspresi.

Ia dibuktikan melalui kewujudan impuls elektrik yang berfungsi sama seperti saraf manusia.

Beliau yang mempunyai kemahiran berhubung tumbuhan mengakui bunga mempunyai pelbagai sikap seperti berharap, bertindak balas dan menunjukkan ekspresi termasuk kesakitan.

Pembantu Gunar, Leonid A. Panishkin memberitahu bunga-bungaan juga mempunyai memori ingatan yang pendek.

Ada kepercayaan mendakwa jika anda menanam bunga pada waktu petang bulan baharu, ia membawa tuah.

Kepercayaan Mesir pula mempercayai amalan memberikan bunga kepada seseorang turut membawa tuah tetapi jika bunga dialih dari kubur dan dibuang, lokasi yang dibuang itu akan dihantui selama-lamanya.

Kaum India antara pengguna bunga segar yang paling banyak dan paling kerap menggunakan bunga dalam hampir semua upacara.

Peranan bunga segar dalam adat dan upacara Hindu tidak boleh dipisahkan.

Daripada kelahiran seorang bayi, akil baligh, berkahwin, majlis melenggang perut sewaktu hamil, masuk rumah baharu, sambutan perayaan hingga kematian semuanya memerlukan bunga segar.

Sama seperti kaum Melayu yang menggunakan bunga segar untuk mandi bunga bagi menaikkan seri wajah, kaum India turut mempercayai adat itu tetapi kurang diamalkan.

Ia hanya dilakukan apabila seorang anak perempuan mencapai akil baligh dan bunga akan digunakan sebagai aksesori hiasan diri.

Bunga melur misalnya, mempunyai bau wangi yang kuat meningkatkan ciri-ciri kewanitaan.

Atas sebab itulah ramai dalam kalangan wanita India menggunakan melur selain mawar sebagai aksesori hiasan kepala.

sumber: Artikel Potensi bisnes bunga segar oleh Nizha Periaswamy, Kosmo! 17 Julai 2013