Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 16 April 2012

Masjid Kampung Kling


Masjid Kampung Kling terletak di Jalan Tukang Emas atau lebih dikenali sebagai Jalan Harmoni di Melaka.

Masjid itu dibina oleh pedagang-pedagang India Muslim semasa era pemerintahan Belanda pada tahun 1748.

Tapak masjid tersebut merupakan tapak asal bagi para pedagang India Muslim menunaikan solat sejurus tiba di Melaka sekitar kurun ke-14 dan ke-15 dahulu.

Pada asalnya, masjid itu dibina menggunakan kayu. Ia kemudiannya telah diruntuhkan dan digantikan semula dengan bahan binaan daripada batu-bata pada tahun 1872.

Kerja-kerja pengubahsuaian bumbungnya turut dilakukan pada tahun 1908 dan binaan itu terus kekal sehingga hari ini.

Masjid Kampung Kling direka bentuk mengikut seni bina masjid-masjid di kepulauan Sumatera, Indonesia yang banyak dipengaruhi dengan seni bina Hindu. Namun demikian, terdapat juga pengaruh budaya Cina pada bentuk menaranya yang seakan-akan struktur pagoda yang bertingkat-tingkat.

Pada tahun 1868, kawasan masjid itu dipagari tembok batu tinggi bagi melindunginya daripada dicerobohi dan pada masa yang sama menutup pandangan jalan di luarnya yang sibuk.

Pada tahun 1999, Jabatan Muzium dan Antikuiti telah menjalankan kerja-kerja pemuliharaan dan mengiktirafnya sebagai salah satu bangunan bersejarah di Melaka.

sumber: Kosmo!

Tiada ulasan: