Jambatan Millau dikenali sebagai Viaduc de Millau, terletak di Perancis dan merupakan jambatan tertinggi di dunia dengan puncak menaranya setinggi 343 meter.
Jambatan yang lebih tinggi berbanding Menara Eiffel dan hanya kira-kira 40 meter lebih rendah berbanding Bangunan Empire State di New York, Amerika Syarikat itu dirasmikan pada 14 Disember 2004 dan dibuka untuk lalu lintas dua hari kemudian.
Jambatan itu dibina dengan kos sebanyak AS$524 juta (RM1.68 bilion) dan menyeberangi lembah Sungai Tarn, Millau yang terletak di selatan Perancis. Jambatan itu juga menghubungkan Paris dan Barcelona di Sepanyol.
Projek pembinaan jambatan ini direka oleh seorang juruteknik jambatan Perancis, Michel Virlogeux dengan kerjasama arkitek Britain, Lord Foster.
Ia memakan masa tiga tahun untuk disiapkan.
Projek Jambatan Millau dibuat untuk menyambut 100 tahun kejuruteraan dan seni bina Perancis selepas kejayaan Menara Eiffel oleh Gustav Eiffel.
Ia juga dibina untuk memendekkan perjalanan melintasi Sepanyol, Perancis dan Jerman tanpa melalui ibu kota Paris.
Menurut jurutera projek, jangka hayat jambatan tersebut boleh bertahan selama 120 tahun.
Jambatan Millau telah memecahkan beberapa rekod selain jambatan yang tertinggi di dunia, antaranya ialah dek jambatan yang tertinggi di Eropah setinggi 270 meter di atas Sungai Tarn.
Ia juga hampir dua kali ganda ketinggian Jambatan Europabrucke di Austria iaitu 267 meter di atas New River.
-Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan