Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Khamis, 16 Februari 2012

Muzium Louvre


Muzium Louvre ialah sebuah muzium yang terdapat di Paris, Perancis. Bangunan muzium tersebut merupakan bekas Istana Diraja yang terletak di tengah-tengah Paris di antara Sungai Seine dan Rue de Rivoli.

Bangunan itu bermula sebagai sebuah kubu yang dibina lewat abad ke-12 di bawah Philippe II. Seterusnya ia telah mengalami pengubahsuaian sehingga membentuk istana pada abad ke-14.

Pada tahun 1672, Raja Louis XIV memilih Istana Versailles sebagai istana rasmi dan menjadikan Louvre sebagai tempat untuk menyimpan pelbagai koleksi diraja.

Sewaktu Revolusi Perancis, Louvre telah dijadikan sebagai sebuah muzium yang mempamerkan karya agung negara tersebut. Pada 1973, sebahagian daripada bangunan itu akhirnya telah dibuka kepada orang awam.

Bermula dengan hanya 537 buah lukisan dan 184 buah arca dan artifak, koleksi berharga di muzium itu terus bertambah melalui sumbangan, hadiah termasuk yang diperolehi melalui tentera Perancis melalui kempen penjajahannya ketika itu.

Kini, Louvre menyimpan kira-kira 380,000 artifak termasuk 35,000 karya seni masyarakat Perancis dari zaman raja-raja Capetian, kemudian ke Empayar Napoleon Bonaparte sehinggalah ke hari ini.

Salah satu karya seni paling berharga dipamerkan di Muzium Louvre ialah potret Mona Lisa yang merupakan karya agung seniman Leonardo da Vinci.

Di samping itu, Louvre turut menyimpan karya artis terkenal seperti Fragonard, Rembrandt, Rubens, Titian dan Poussin. Turut dipamerkan beberapa arca seperti Winged Victory of Samothrace dan Venus de Milo.

Antara yang menarik yang dipamerkan di sini ialah sebuah meja milik Raja Louis XIV dikenali sebagai Bureau du Roi yang kini telah dipulangkan semula ke Istana Versailles.

Setiap bahan pameran dibahagikan kepada lapan kurator berbeza antaranya Mesir Purba, Asia Barat, Greek, Rom, Kesenian Islam, seni hiasan, seni lukis, cetakan dan lukisan.

Pada awal 80-an, Presiden Perancis, Francois Mitterand mencadangkan pembinaan Grand Louvre yang menyaksikan proses pengubahsuaian dan pembesaran secara besar-besaran dilakukan di Louvre.

Arkitek Amerika Syarikat, Ieoh Ming Pei telah dilantik untuk mereka sebuah piramid kaca di tengah-tengah halaman utama yang berfungsi sebagai pintu masuk ke muzium.

Siap pada tahun 1988, binaan kaca yang pada mulanya dilihat tidak segandingan dengan seni bina silam bangunan itu, akhirnya diterima dan telah menarik lebih ramai pengunjung ke muzium tersebut.

Dengan keluasan lebih kurang 60,600 meter persegi, Louvre kini diiktiraf antara muzium terbesar di dunia.

Pada tahun 2011 Muzium Louvre telah dikunjungi lebih 8.8 juta pelawat dari seluruh dunia. Populariti muzium itu juga turut menarik penerbit filem Da Vinci Code untuk menjadikannya lokasi penggambaran.

Muzium Louvre mempunyai kakitangan hampir 2,000 orang.

Bangunan muzium terbahagi kepada tiga sayap utama iaitu Sayap Sully Wing di timur, Sayap Richelieu (utara) dan Sayap Denon (selatan).

Setiap hari Louvre dikunjungi hampir 15,000 pelawat. 60 peratus pelawat muzium ini merupakan pelancong asing.

Sumber: Kosmo!

Tiada ulasan: