Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Khamis, 6 September 2012

Bola sepak

Tahukah anda, bola sepak yang terdapat hari ini telah menjalani proses evolusi selama ribuan tahun?

Tamadun kuno seperti tamadun Cina, Aztec dan kaum Maya telah bermain sejenis permainan seperti bola sepak bagaimanapun menggunakan bola yang berbeza seperti yang ada sekarang.

Contohnya, masyarakat Cina kuno menggunakan bola yang diperbuat daripada kulit binatang.

Hanya pada Zaman Pertengahan baharulah sejenis bola yang diisi angin dicipta dan digunakan.

Bola sepak telah diiktiraf sebagai sukan popular pada Zaman Pertengahan. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bola bagi permainan bola sepak di Eropah pada zaman tersebut adalah pundi-pundi haiwan seperti pundi-pundi babi yang digunakan oleh masyarakat Itali sekitar 1600-an.

Bolasepak zaman pertengahan

Bagaimanapun, pundi-pundi haiwan senang rosak dan bentuknya yang agak sukar untuk dikawal. Untuk menyelesaikan masalah ini, bola yang diperbuat daripada pundi-pundi haiwan dibalut dengan kulit yang menjadikan ia lebih kuat dan berbentuk bulat.

Pada tahun 1800-an, bermula era bola sepak profesional dan lebih perhatian telah diberikan untuk meningkatkan kualiti bola yang digunakan.

Pada tahun 1855, seorang lelaki bernama Charles Goodyear telah mencipta sejenis bola yang bulat daripada getah. Sebelum ini getah tidak pernah digunakan untuk membuat bola kerana ia agak melekit dan boleh berubah bentuk apabila cuaca panas.

Goodyear telah menyelesaikan masalah ini dengan memcipta sejenis kaedah merawat getah agar menjadi padat dan kuat, tanpa menjejaskan lantunannya. Kaedah tersebut dipanggil pemvulkanan (vulcanization).

Sehingga pertengahan tahun 1800-an, tiada sebarang peraturan tentang saiz dan bentuk bola sepak dibuat. Pada tahun 1872, Persatuan Bola Sepak Inggeris (English FA) telah ditubuhkan dan menetapkan bahawa bola yang digunakan mestilah berbentuk bulat dan bersaiz di antara 27 dan 28 inci. Saiz dan bentuk bola ini kekal digunakan sehingga kini.

Satelit Telstar
Apabila Piala Dunia yang pertama diperkenalkan pada tahun 1930, mereka masih menggunakan bola yang diperbuat daripada pundi-pundi haiwan yang dibalut dengan kulit. Pada tahun 1950-an, bola tersebut diubahsuai menjadi kalis air dan dicat berwarna hitam atau jingga.

Bola yang berwarna hitam putih seperti yang terdapat kini diperkenalkan oleh Adidas pada tahun 1970. Bola yang diperbuat khas untuk Piala Dunia itu mempunyai 32 petak yang diwarnakan hitam dan putih secara berselang-seli (20 petak berwarna putih dan 12 petak berwarna hitam).

Bola tersebut dinamakan Telstar bersempena sejenis satelit yang menyerupainya. Bola tersebut diwarnakan hitam dan putih agar lebih mudah dilihat di dalam televisyen yang mana pada waktu itu masih lagi disiarkan dalam siaran hitam putih.

Telstar digunakan sekali lagi pada Piala Dunia 1974 dan kemudian ia telah diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai bola rasmi Piala Dunia 1974.

Bola itu tersu digunakan sehinggalah Piala Dunia 2006 apabila Adidas memperkenalkan bola dengan 14 petak dinamakan Teamgeist iaitu bahasa Jerman yang bermaksud 'Semangat Berpasukan'.

Kurangnya petak menjadikan bola tersebut lebih licin. Petak-petak tersebut dilekatkan pada permukaan bola untuk menjadikan permukaannya lebih rata.

Pada Piala Dunia 2010, Adidas telah memperkenalkan bola dengan lapan petak yang dipanggil Jabulani, bahasa Afrika yang bermaksud 'meraikan'. Jumlah petak yang sedikit dan penggunaan bahan polyurethane telah menjadikan bola tersebut lebih mudah dikawal dan digunakan.

Pada zaman sekarang, bola sepak telah dibuat menggunakan teknologi tinggi. Sejenis bola dipanggil CTRUS tidak lagi memerlukan udara dipam ke dalamnya kerana ia tidak akan kempis dan akan bertukar warna apabila ia terkeluar daripada garisan. Ia juga dilengkapi kamera dan GPRS.

-New Straits Times

Tiada ulasan: