Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 7 September 2012

Machu Picchu

Pada tahun 1911, seorang pengembara iaitu Profesor Hiram Bingham telah membuat pengembaraan untuk menjejaki kota Inca yang hilang iaitu Vilcabamba dan juga emas yang terdapat di kota tersebut.

Setelah beberapa hari menerokai hutan Amazon yang tebal, menyeberang sungai Urubamba yang deras dan merbahaya dan mendaki kawasan pergunungan, beliau akhirnya menemui runtuhan tamadun Inca yang dikenali sebagai Machu Picchu.

Nama Machu Picchu datang dari perkataan Quechua yang bermaksud 'puncak yang tua'. Machu Picchu terletak 8,000 kaki dari paras laut di pergunungan Andes.

Ia merupakan sebuah kota purba yang tersembunyi sehingga hanya beberapa orang penduduk tempatan sahaja yang mengetahuinya.

Teori daripada para cendikiawan mengatakan bahawa Machu Picchu telah dibina sekitar tahun 1450 dan didiami oleh masyarakat Inca ataupun pembesar-pembesar daripada Cuzco, ibu kota masyarakat Inca.

Ia juga mungkin sebuah kuil ataupun tempat ibadat di mana anak-anak gadis yang telah dipilih dikorbankan untuk suatu upacara suci.

Ahli arkeologi dan sejarawan lain pula mengatakan bahawa Machu Picchu telah dibina dan digunakan oleh Inka Pachakuteq, seorang raja yang memerintah sejak tahun 1438 hingga 1471.

Mumia yang ditemui oleh Hiram Bingham menunjukkan bahawa 80% daripada populasi Machu Picchu adalah wanita.

Ini telah memperkukuhkan teori bahawa kawasan tersebut dijadikan sebagai Aqllawasi ataupun tempat untuk wanita terpilih.

Wanita yang dipilih adalah wanita yang paling cantik dan paling suci yang dianggap sebagai isteri-isteri Tuhan Matahari.

Suatu hari, Machu Picchu telah ditinggalkan. Tiada siapa yang tahu mengapa ia ditinggalkan.

Ada yang mengatakan bahawa terdapat epidemik yang merbahaya telah merebak di kawasan tersebut dan menyebabkan orang ramai meninggalkan tempat itu.

Ada juga yang berpendapat bahawa penduduk di situ meninggalkan tempat tersebut telah raja yang memerintah di situ mangkat.

Ada juga yang mengemukakan teori bahawa masyarakat di situ telah dibunuh oleh tentera musuh yang datang menakluk kawasan tersebut.

Kota Inca telah dilupakan sehingga awal abad ke-20.

Kini, Machu Picchu telah dijadikan Monumen Bersejarah Kebangsaan. Ia diletakkan di bawah perlindungan kerajaan negara Peru dan kerja-kerja pemuliharaan telah dilakukan untuk memelihara kawasan sekitarnya seperti flora dan fauna, formasi geologi dan tinggalan arkeologi.

Machu Picchu telah dianugerahkan sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1983 dan menjadi salah satu tempat yang paling ramai pengunjung di Amerika Selatan.

Anda boleh membaca dan mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Mavhu Picchu dan Empayar Inca di laman web www.machupichumystery.com

- New Straits Times

Tiada ulasan: