Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 30 Mac 2012

Kereta api Bukit Bendera


Bukit Bendera di Pulau Pinang pernah dikenali sebagai Penang Hill. Ia mempunyai ketinggian 830 meter dari aras laut.

Bukit Bendera telah dibangunkan oleh Francis Light dengan menggunakan buruh yang terdiri daripada banduan dari India dan penduduk tempatan.

Ia bermula pada tahun 1897 apabila permohonan rasmi untuk menjalankan perkhidmatan kereta api tarik dengan kawat ke puncak Bukit Bendera telah dibuat kepada J.K. Birch Resident Counselor Pulau Pinang.

Permohonan itu dibuat berikutan kesulitan perhubungan untuk naik ke puncaknya pada ketika itu.

Selepas beberapa rundingan, satu rang undang-undang kereta api Bukit Bendera telah digubal dan selepas dibentangkan untuk pembacaan kali ketiga dalam Majlis Mesyuarat Jajahan Negeri Selat di Singapura seterusnya diluluskan pada 21 November 1899.

Pada awalnya terdapat dua buah kereta api yang menjalankan perkhidmatan di antara stesen bawah dan di kemuncak Bukit Bendera.

Jentera wap digunakan untuk menggerakkan kereta api tersebut yang memuatkan seramai 10 orang ketika itu.

Bagaimanapun, ia kemudian diganti dengan kuasa jentera Roda Pelton yang diputarkan oleh air melalui saluran dari empangan yang dibina di Sungai Air Itam.

Selepas Perang Dunia Pertama, Kerajaan Negeri-Negeri Selat telah bercadang untuk membangunkan semula kereta api Bukit Bendera memandangkan ia lebih menjimatkan berbanding pembinaan jalan raya.

Seorang jurutera tempatan, Arnold R. Johnson telah dihantar ke Switzerland untuk mempelajari teknik-teknik kereta api funikular yang digerakkan dengan kuasa elektrik.

Pada tahun 1921, Johnson telah membina empat buah gerabak. Kereta api rekaan Johnson itu telah digunakan hampir 55 tahun sebelum digantikan dengan gerabak buatan Switzerland dengan kos sebanyak RM2.3 juta pada tahun 1979.

Sehingga kini, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera telah dinaik taraf beberapa kali dan kali terakhir adalah pada tahun 2010 iaitu dengan memperkenalkan gerabak elektrik yang lebih canggih dan moden untuk memberi keselesaan kepada penumpang.

Sepanjang berada di puncaknya, pengunjung boleh melawat beberapa tarikan lain seperti muzium mini yang memaparkan gerabak asal serta banglo yang dibina oleh kerajaan British suatu ketika dahulu.

sumber: Basir Abu Bakar, Kosmo, 16 Februari 2012

Khamis, 29 Mac 2012

Kota Lukut

Kuala Lukut terletak kira-kira tujuh kilometer dari pantai Port Dickson berdekatan dengan Kota Lukut iaitu sebuah tapak bersejarah yang terletak dalam bandar Lukut, Negeri Sembilan.

Ia dibina pada tahun 1847 untuk mengawal perdagangan timah di kawasan berkenaan pada waktu itu. Kini, kesan peninggalan sejarah masih dapat dilihat pada asas pembinaan istana lama yang masih kekal serta tanah perkuburan diraja.

Lukut turut terkenal sebagai industri sarang burung yang menjadi makanan tradisional yang diperkenalkan orang Cina. Jenama terkenal yang dihasilkan di sini ialah Hutanis Bird's Nest.

Sebuah muzium yang menyimpan galeri sejarah Lukut turut dibina di sini pada tahun 1999 sebagai satu tanggungjawab menyebarkan maklumat sejarah dan budaya Negeri Sembilan untuk ditatapi oleh masyarakat tempatan, para pelancong luar negara, para pelajar dan penyelidik sejarah.

Muzium itu memaparkan sejarah Lukut bermula dari awal kurun ke-19 Masihi sehinggalah Lukut dimasukkan ke dalam daerah Sungai Ujung pada tahun 1880.

Terdapat empat galeri utama iaitu Galeri Sejarah Lukut, Galeri Nassau, Galeri Negeri Sembilan Negeri Beradat dan Galeri Teknologi Pembuatan Masyarakat Tradisional.

Pelbagai koleksi dan bahan pameran yang berkaitan dengan sejarah kegemilangan Lukut telah dijelmakan kembali dalam bentuk ilustrasi, gambar, artifak dan sebagainya untuk dipamerkan kepada pengunjung.

sumber: Kosmo!

Rabu, 28 Mac 2012

Sistem Beeline


Sistem Beeline bermaksud sistem beratur yang dikhaskan untuk penumpang yang baru tiba di lapangan terbang negara ini untuk pemeriksaan keluar.

Sistem ini telah diguna pakai di beberapa lapangan terbang negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat.

Laluan atau lorong khas disediakan dan masa beratur dipanjangkan kepada 30 minit berbanding 10 minit sebelum ini.

Ia memberi masa lebih lama kepada anggota penguat kuasa kastam memerhati gerak-geri setiap penumpang yang mendaftar keluar.

sumber: Kosmo!

Selasa, 27 Mac 2012

Deria bau

Anosmia ialah keadaan hilang keupayaan fungsi deria bau.

Hiposmia ialah keadaan deria bau masih ada tetapi memerlukan lebih banyak rangsangan bau.

Parosmia ialah keadaan seseorang itu menterjemahkan bau secara tidak kena dengan rangsangan yang diberikan.

sumber: Kosmo!

Jumaat, 23 Mac 2012

Burung hantu


Burung hantu sebenarnya pemalu dan penakut terutama apabila terserempak dengan manusia.

Di Zoo Negara, burung hantu memerlukan kawasan kurungan yang besar serta suhunya tidak terlalu panas dan sejuk.

Terdapat 216 spesies burung hantu di seluruh dunia tetapi hanya terdapat 17 jenis sahaja di Malaysia seperti burung hantu jalur, ketampi rimba, ketampi kelabu, berbintik dan pungguk kerdil.

Makanan burung hantu ialah katak, serangga, ulat dan haiwan kecil seperti tikus, ikan, cicak dan tupai.

Burung hantu mencari makanan pada waktu malam dan siang adalah daripada jenis burrowing yang kebiasaannya banyak menetap di kawasan padang pasir di Kanada.

Burung hantu itu membuat sarang dalam lubang bawah tanah yang ditinggalkan oleh haiwan lain. Anak burung hantu sering ditinggalkan di dalam sarang membuatkan haiwan itu terdedah kepada pemangsa seperti musang.

Mereka diajar satu bentuk penyamaran yang unik dengan menghasilkan bunyi desiran seperti bunyi ular berbisa membuatkan pemangsa melarikan diri sebaik sahaja mendengar bunyi tersebut.

Burung hantu meniru bunyi ular kapak tetapi tidak berguna sekiranya ular kapak sendiri yang menceroboh sarang haiwan itu.

Hakikatnya, burung hantu adalah pekak malah tidak boleh mendengar bunyi sendiri.

sumber: Doreen Khoo, Kurator Zoo Negara, Kosmo!

Khamis, 22 Mac 2012

Burung hantu penyelamat hasil pertanian


Burung hantu banyak memberikan manfaat kepada petani di daerah pertanian Pune, India kerana haiwan itu berperanan menghapuskan serangga dan haiwan perosak yang memusnahkan hasil tanaman padi mereka.

Menurut Satish Pande, seorang penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Sains India, spesies burung hantu jenis Buboo bengalensis berperanan menghapuskan tikus yang memakan padi.

Katanya, hasil padi meningkat sebanyak 15 peratus setiap tahun kerana peranan yang dimainkan haiwan tersebut.

Kehadiran burung hantu turut mengurangkan penggunaan racun pertanian yang lebih menjejaskan alam sekitar serta kesihatan manusia.

sumber: Kosmo!

Rabu, 21 Mac 2012

Pulau Besar, Melaka


Pulau Besar di Melaka dikenali juga sebagai Pulau Keramat atau Pulau Misteri.

Ia terletak di Selat Melaka, kira-kira 3 batu nautika dari Bandar Hilir, Melaka.

Pulau Besar merupakan sebuah tempat yang banyak dikaitkan dengan kisah mistik dan legenda serta bersejarah khususnya dengan kisah awal penyebaran Islam di Nusantara.


Selain Makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail, terdapat juga Keramat Masin Tawar, Tasik Bunian, Perigi Nenek Musallimah dan Batu Lesung.

Kerajaan Negeri Melaka turut membina sebuah muzium yang memaparkan kisah-kisah awal dan legenda bagi Pulau Besar.

sumber: Kosmo!, Keris Warisan

Isnin, 19 Mac 2012

Amerika

Amerika ditemui oleh seorang ahli pelayaran Itali yang bernama Amerigo Vespucci (1451-1512).

Amerigo Vespucci merupakan seorang ahli perniagaan dan juga mubaligh Kristian. Pelayarannya telah dinaungi oleh Raja Sepanyol.

Pelayaran Amerigo Vespucci yang pertama pada tahun 1499. Dalam pelayaran tersebut, beliau telah menemui muara sungai Amazon, Trinidad dan Haiti.

Beliau menyambung pelayarannya yang kedua pada tahun 1500 dengan perlindungan daripada kerajaan Portugal. Dalam perlayaran ini Amerigo Vespucci telah sampai di Brazil dan Sungai Plate di sempadan Argentina dan Uruguay.

Amerigo Vespucci


Beliau telah menamakan benua yang ditemuinya sebagai 'Dunia Baru'.

Pada tahun 1507, seorang pembuat peta bernama Martin Waldseemüller telah membuat peta dunia yang dinamakan sebagai Universalis Cosmographia. Di dalam peta tersebut Waldseemüller menamakan 'Dunia Baru' sebagai America sebagai penghormatan kepada Amerigo Vespucci.

sumber: Kamus Etimologi Bahasa Melayu, wikipedia.

Jumaat, 16 Mac 2012

Taman Negara Chitwan


Taman Negara Chitwan terletak di dataran rendah atau lebih dikenali sebagai Inner Terai berkeluasan 932 kilometer persegi di Nepal dan bersempadan dengan India.

Ia terletak di kaki salah satu cabang Banjaran Himalaya iaitu Banjaran Siwalik.

Taman Negara Chitwan diisytiharkan sebagai taman negara pada tahun 1973 manakala undang-undang kecil Taman Negara Chitwan diperkenalkan pada 4 Mac 1974.

Kawasan selatan Sungai Rapti merupakan bahagian yang mula-mula dicadangkan sebagai sebuah santuari badak pada tahun 1958.

Ia kemudian disatukan dengan Taman Negara Chitwan selepas kawasan tersebut diisytihar sebagai taman negara pada tahun 1973 manakala pada tahun 1984, statusnya diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia.

Chitwan memiliki lebih 50 spesies mamalia berbeza, 400 spesies burung dan 65 jenis rama-rama berlainan yang tinggal di hutan pokok sal manakala lebih 70 jenis rumput yang berbeza untuk santapan gajah-gajah di situ.

Badak bertanduk satu adalah yang paling dikenali dalam katalog hidupan liar Chitwan. Dalam beberapa dekad lalu, bilangan haiwan tersebut semakin menyusut sehingga kurang daripada 100 ekor.

Tetapi, dalam pengiraan terbaharu binatang yang memiliki bahagian luar yang sangat keras itu, jumlahnya meningkat sehingga 400 ekor.

Selain itu, lebih kurang 150 ekor harimau Bengal masih mendiami Chitwan yang sebelum ini pernah menjadi habitat buat 3,000 ekor.

Ancaman terbesar yang menjadi penyebab utama pengurangan bilangan harimau itu adalah apabila habitatnya menyusut secara beransur-ansur.

Seekor harimau jantan memerlukan kawasan seluas 60 kilometer persegi manakala harimau betina pula perlu satu pertiga luas kawasan jantan.

Satu arahan telah dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Nepal pada 11 Januari 2012 untuk menghentikan projek pembinaan jalan raya serta merta.

Arahan tersebut dikeluarkan kerana pembinaan jalan raya yang bakal melalui kawasan dalam taman negara itu mampu menjejaskan kesan pada biodiversiti hutan di situ.

Antara haiwan yang hidup di Taman Negara Chitwan:
  • Rusa babi (Axis porcinus)
  • Bison India (Bos gaurus)
  • Burung enggang (Buceros bicornis)
  • Gajah Asia (Elephas maximus)
  • Harimau Bengal (Panthera tigris)
  • Ular sawa India (Python molurus)
  • Badak India (Rhinoceros unicornis)
  • Antelop bertanduk empat (Tetracerus quadricornis)
  • Harimau bintang India (Panthera pardus)

sumber: Kosmo!, whc.unesco.org

Khamis, 15 Mac 2012

Nyahkod perkataan dari otak

Ahli-ahli sains Amerika Syarikat telah menemui satu cara bagaimana menyahkod mesej dari otak menerusi perkataan yang dilontarkan oleh manusia tanpa perlu mendengarnya.

Mereka menyifatkan penemuan tersebut sebagai salah satu langkah positif pada masa hadapan dalam membantu pesakit yang mengalami strok atau pun lumpuh berkomunikasi.

Melalui kaedah meletakkan elektrod pada otak subjek penyelidikan dan mendengar perbualan mereka, saintis dapat menganalisis frekuensi yang didaftarkan sekaligus dapat mengetahui perkataan didengari subjek.

"Kami sedang menumpukan bagaimana otak memproses bunyi ungkapan," kata penyelidik Institut Sains Neuro Helen Willis, Universiti California Berkeley, Brian Pasley.

Sumber: Kosmo!

Rabu, 14 Mac 2012

Planet alternatif Bumi


Ahli-ahli astronomi mengumumkan penemuan planet keempat yang berpotensi untuk dijadikan tempat tinggal di luar sistem solar dengan suhu yang boleh memberi kita air dan kehidupan.

Dikenali sebagai GJ 667C dan terletak pada jarak 22 tahun kelajuan cahaya dari Bumi, ia kurang panas berbanding Bumi selain jangka waktu setahun bersamaan sebulan di bumi atau lebih tepat 28.15 hari.

"Planet itu adalah calon terbaik untuk memberi air dan mungkin hidupan," kata Guillem Anglada-Escudé daripada Universiti Gottingen, Jerman yang mengarahkan kajian tersebut.

Menurut hasil kajian yang diterbitkan dalam Astrophysical Journal Letters, jisim GJ 667C adalah 4.5 kali ganda jisim Bumi.

sumber: Kosmo!

Greece


Greece dikenali sebagai Hellas dalam bahasa kuno Greek.

Greece terletak di tenggara Eropah.

Ibu negara Greece ialah Athens.

Keluasan negara Greece ialah 131,990 kilometer persegi.

Negara ini dikelilingi tiga lautan iaitu Laut Aegean terletak di timur tanah besar Greece, Laut Ionia di barat dan Laut Mediterranean di selatan.

Greece mempunyai pesisir pantai ke-12 terpanjang di dunia iaitu 13,676 kilometer.

80 peratus daripada permukaan Greece terdiri daripada gunung-ganang. Gunung Olympus merupakan gunung yang tertinggi dengan ketinggian 2,917 meter.

Negara moden Greece mula ditubuhkan pada tahun 1830 berikutan Perang Kemerdekaan Yunani.

Ia merupakan sebuah negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi dengan taraf hidup yang sangat tinggi hingga tersenarai sebagai antara 22 negara tertinggi dalam Indeks Pembangunan Manusia di dunia pada tahun 2010.

Greece telah menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU) sejak tahun 1981, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sejak 1952 dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) bermula tahun 2005.

Penduduk dianggarkan 11,306 juta pada 2010. Populasi Greece 98 peratus berbangsa Greek manakala penduduk Muslim menjadi minoriti.

Greece hampir bankrap kerana masalah hutang. Hutang negara Greece lebih AS$455.70 bilion (RM1.41 trilion).

Greece bergantung dengan pinjaman penyelamatan AS$142.02 bilion (RM440.97 bilion) dari negara-negara Eropah dan Dana Kewangan Antarabangsa sejak 2010.



sumber: Kosmo!, AP, AFP, Pejabat Komanwel dan Luar.

Isnin, 12 Mac 2012

Tragedi bola sepak di seluruh dunia


23 Jun 1968 - Buenos Aires, Argentina: 74 peminat maut dan lebih 150 orang cedera apabila penonton meluru ke arah pintu keluar stadium yang ditutup setelah tamat perlawanan antara kelab River Plate dan Boca Juniors.

7 Februari 1974 - Mesir: 49 orang terbunuh dan 50 lagi cedera setelah penonton cuba memasuki Stadium Zamalek yang menyebabkan sebuah dinding runtuh.

20 Oktober 1982 - Moscow, Rusia: 340 orang maut ekoran rempuhan di tangga keluar stadium beberapa minit sebelum tamat perlawanan Piala Eropah antara Spartak Moscow dan Haarlem.

29 Mei 1985 - Brussels, Belgium: 39 peminat maut apabila sebuah dinding runtuh ekoran pertengkaran antara peminat Liverpool dan Juventus ketika perlawanan akhir Piala Eropah di Stadium Heysel. Lebih 400 penonton cedera.

12 Mac 1988 - Kathmandu, Nepal: Sekurang-kurangnya 93 orang terbunuh dan lebih 100 cedera apabila peminat cuba melarikan diri daripada hujan batu dengan meluru ke arah pintu keluar stadium yang tertutup.

15 April 1989 - Sheffield, England: 96 orang terbunuh di Hillsborough ketika perlawanan separuh akhir FA antara Liverpool dan Nottingham Forest setelah polis membuka salah satu daripada pagar utama stadium menyebabkan ramai peminat meluru masuk.

30 Mac 2009 - Abijdan, Ivory Coast: Seramai 22 orang maut setelah sebuah dinding stadium runtuh ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia antara tuan rumah, Ivory Coast dan Malawi di Stadium Houphouet-Boigny.

1 Februari 2012 - Port Said, Mesir: Sekurang-kurangnya 74 orang mati manakala 1,000 lagi cedera selepas satu rusuhan berlaku ekoran kemenangan mengejut 3 - 1 kelab bola sepak tempatan, Al-Masry ke atas kelab terkenal dari Kaherah, Al-Ahly.

sumber: Kosmo!

Rabu, 7 Mac 2012

Tanglung Kong Ming


Tanglung Kong Ming diperkenalkan oleh strategis ketenteraan Cina kuno, Zhuge Linang atau Kong Ming sekitar 1,700 tahun lalu sebagai cara berkomunikasi dalam peperangan.

Tanglung berbentuk bujur diperbuat daripada kerangka buluh dan kertas minyak ini boleh terbang sehingga ketinggian 1,800 meter menggunakan haba api lilin atau minyak tanah.

Tanglung ini boleh mengakibatkan kebakaran pada bangunan dan membahayakan pesawat di udara jika berlanggar.

Tanglung ini telah diharamkan di Malaysia, Hong Kong, Singapura dan beberapa negeri di China.

sumber: Kosmo!

Selasa, 6 Mac 2012

Sejarah Nasi Kandar


Nasi Kandar dipercayai berasal dari selatan India.

Ia mula menular di Tanah Melayu kerana kekerapan para pedagang India Muslim yang berulang-alik antara India dan Tanah Melayu.

Sebelum popular di Pahang, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak, nasi kandar terlebih dahulu tertumpu di Pulau Pinang, Kangar, Perlis dan Sungai Petani serta Alor Setar, Kedah.

Dipercayai makanan ini bertapak di Pulau Pinang sekitar tahun 1920 hingga 1930 yang dinikmati pada waktu pagi.

Nama nasi kandar diambil sempena kaedah si penjual yang mengandar dua buah bakul nasi dan lauk dengan sebatang kayu.

Pada awal penjualan nasi kandar, nasi hanya dimakan bersama daging masak kicap, telur rebus dan bendi rebus.

Kini orang ramai berpeluang menikmati nasi kandar bersama ayam goreng, ikan goreng, telur sotong, udang galah goreng, kurma ayam dan kari kambing.

sumber: Kosmo!

Ulat ratus

Nama saintifiknya spodoptera mauritia.

Juga dikenali sebagai ulat kerbau.

Merupakan sejenis kupu-kupu dan mampu bertelur sehingga 300 biji.

Apabila telur menetas, ia akan bertukar menjadi larva dan memakan daun serta tangkai pokok padi.

sumber: Kosmo!, ozanimals.com, knowledgebank.irri.org

Isnin, 5 Mac 2012

Muar


Muar merupakan bandar pentadbiran kedua terpenting di Johor Bahru dengan keluasan 2,346.12 kilometer persegi.

Populasi penduduk di Muar seramai 375,000 (2008).

Nama lama bagi Muar ialah Bentayan.

Nama Muar dipercayai berasal daripada perkataan muara. Kemungkinan lain ialah ia berasal daripada perkataan Hindu iaitu Muna dan Ar yang masing-masing bermaksud Tiga dan Sungai, menggambarkan kewujudan Sungai Muar yang mengalir melalui bandar ini dan juga merupakan sungai terpanjang di Johor.

Ia dibuka oleh Sultan Abu Bakar dan Sultanah Fatimah pada 12 Ogos 1887.

Muar dikatakan wujud pada zaman Empayar Funan (240-627 Masihi), zaman Empayar Seri Wijaya (686-1270 Masihi) dan pada zaman Empayar Majapahit (1293-1364 Masihi).

Sejarah Muar dipercayai bermula lebih awal daripada Empayar Melaka. Pada tahun 1361, terdapat catatan yang menyatakan Muar adalah sebahagian daripada Empayar Majapahit.

Muar juga adalah tempat terletak satu-satunya makam Kesultanan Melaka iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah I (1477 - 1488).

Muar pernah menjadi sebuah kerajaan merdeka dan berdaulat yang diperintah oleh Sultan Ali antara 1855 dan 1877.

Muar turut dikenali sebagai Bandar Maharani, nama yang diberikan oleh Maharaja Abu Bakar pada 1884.

Muar diisytihar sebagai Bandar Maharani yang membawa maksud Bandar Permaisuri Sultan.

Muar merupakan sebuah daerah yang unik kerana tidak banyak bandar di dunia terletak di tepi kuala sungai.

sumber: Kosmo!, mpmuar.gov.my

Jumaat, 2 Mac 2012

Wilayah Persekutuan

Bendera Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur mendapat nama daripada Sungai Gombak yang dahulunya dikenali sebagai Pengkalan Lumpur.

Kuala Lumpur ditemui pelombong bijih timah berketurunan Bugis, Raja Abdullah.

Hasil bijih timah yang ditemui di Sungai Gombak dan Klang telah mengundang Kapitan Cina, Yap Ah Loy untuk membuka lombong bijih timah yang lebih besar sekitar tahun 1870-an.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari di tiga wilayah iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Kuala Lumpur pada mulanya dimiliki Kerajaan Negeri Selangor sebelum diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.

Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan pada 16 April 1984.

Putrajaya mengambil alih peranan Kuala Lumpur sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 1999.

Kuala Lumpur menjadi ibu negara Malaysia, Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sementara Labuan menjadi pusat perniagaan, hab minyak dan gas, pusat kewangan antarabangsa dan destinasi pelancongan.

sumber: Kosmo!

Khamis, 1 Mac 2012

Badak Sumbu Sumatera


Nama saintifiknya Dicerorhinus sumatrensis merupakan spesies terkecil daripada lima badak sumbu.

Ia dikategorikan antara spesies haiwan paling terancam di dunia dan dipercayai terdapat kurang daripada 200 ekor badak sumbu Sumatera di seluruh dunia.

Terdapat kira-kira 150 ekor di Sumatera, Indonesia dan kurang daripada 40 ekor di Borneo.

Hanya Zoo Cincinnati di Amerika Syarikat berjaya menghasilkan anak badak sumbu Sumatera dalam kurungan iaitu pada 30 Julai 2004.

Sumbu badak Sumatera dipercayai mempunyai khasiat yang dapat digunakan untuk menyembuhkan pelbagai penyakit sehingga dijadikan sebagai ubat tradisional.

sumber: Kosmo!

Can-am Spyder Roadster


Kenderaan ini merupakan jentera roadster tiga roda yang pertama di dunia.

Spyder dilengkapi enjin berkuasa 98cc yang menghasilkan sehingga 106 kuasa kuda.

Ia ditawarkan dalam transmisi manual dan semi automatik.

Didatangkan dalam dua varian iaitu Spyder Roadster Sports yang dijual antara RM103,860 hingga RM129,250 dan Spyder Roadster Touring berharga RM134,860 hingga RM159,350.

Ia dipasang di Fasiliti Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) di Gurun, Kedah.

Model tersebut dikeluarkan di Kanada dan akan diceraikan sepenuhnya di Australia sebelum dibawa masuk ke Malaysia untuk dipasang di Gurun bagi memenuhi keperluan taraf kenderaan CKD.


Spyder mempunyai rangka berbentuk Y, dengan dua roda di bahagian hadapan dan satu roda di bahagian belakang yang memberikan lebih kestabilan berbanding motosikal biasa.

Spyder turut dilengkapi dengan teknologi keselamatan yang setanding seperti kereta moden masa kini seperti Anti Lock Braking System (ABS), Stability Control System (SCS) dan Traction Control System (TCS).

Penggunaanya juga telah mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan penunggang hanya perlu memiliki lesen B penuh.

sumber: Kosmo!