Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 30 Mac 2012

Kereta api Bukit Bendera


Bukit Bendera di Pulau Pinang pernah dikenali sebagai Penang Hill. Ia mempunyai ketinggian 830 meter dari aras laut.

Bukit Bendera telah dibangunkan oleh Francis Light dengan menggunakan buruh yang terdiri daripada banduan dari India dan penduduk tempatan.

Ia bermula pada tahun 1897 apabila permohonan rasmi untuk menjalankan perkhidmatan kereta api tarik dengan kawat ke puncak Bukit Bendera telah dibuat kepada J.K. Birch Resident Counselor Pulau Pinang.

Permohonan itu dibuat berikutan kesulitan perhubungan untuk naik ke puncaknya pada ketika itu.

Selepas beberapa rundingan, satu rang undang-undang kereta api Bukit Bendera telah digubal dan selepas dibentangkan untuk pembacaan kali ketiga dalam Majlis Mesyuarat Jajahan Negeri Selat di Singapura seterusnya diluluskan pada 21 November 1899.

Pada awalnya terdapat dua buah kereta api yang menjalankan perkhidmatan di antara stesen bawah dan di kemuncak Bukit Bendera.

Jentera wap digunakan untuk menggerakkan kereta api tersebut yang memuatkan seramai 10 orang ketika itu.

Bagaimanapun, ia kemudian diganti dengan kuasa jentera Roda Pelton yang diputarkan oleh air melalui saluran dari empangan yang dibina di Sungai Air Itam.

Selepas Perang Dunia Pertama, Kerajaan Negeri-Negeri Selat telah bercadang untuk membangunkan semula kereta api Bukit Bendera memandangkan ia lebih menjimatkan berbanding pembinaan jalan raya.

Seorang jurutera tempatan, Arnold R. Johnson telah dihantar ke Switzerland untuk mempelajari teknik-teknik kereta api funikular yang digerakkan dengan kuasa elektrik.

Pada tahun 1921, Johnson telah membina empat buah gerabak. Kereta api rekaan Johnson itu telah digunakan hampir 55 tahun sebelum digantikan dengan gerabak buatan Switzerland dengan kos sebanyak RM2.3 juta pada tahun 1979.

Sehingga kini, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera telah dinaik taraf beberapa kali dan kali terakhir adalah pada tahun 2010 iaitu dengan memperkenalkan gerabak elektrik yang lebih canggih dan moden untuk memberi keselesaan kepada penumpang.

Sepanjang berada di puncaknya, pengunjung boleh melawat beberapa tarikan lain seperti muzium mini yang memaparkan gerabak asal serta banglo yang dibina oleh kerajaan British suatu ketika dahulu.

sumber: Basir Abu Bakar, Kosmo, 16 Februari 2012

Tiada ulasan: