Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 25 Mac 2013

Larangan lawat Israel dalam pasport Malaysia

Jika diteliti pasport Malaysia pada muka surat satu, ia jelas menyatakan bahawa dokumen berwarna merah itu sah digunakan di semua negara kecuali Israel.

Ia bukan suatu larangan yang dikenakan tanpa sebab kerana menurut Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, 51, pengecualian itu sebagai tanda Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel.

"Perkara tersebut dilakukan berikutan insiden rejim Israel merampas tanah Palestin pada tahun 1948.

"Ia menunjukkan Malaysia tidak mengadakan sebarang hubungan diplomasi dengan Israel," terang Mohamed Mustafa.

Mengulas mengenai ramai rakyat Malaysia yang melawat negara tersebut, Mohamed Mustafa berkata, risiko akibat tindakan itu perlu ditanggung individu terbabit.

Namun begitu, rakyat Malaysia masih boleh mendapatkan bantuan daripada kedutaan negara yang mempunyai hubungan dengan Israel seperti Mesir, Jordan dan Singapura.

Melalui kedutaan tersebut, bantuan daripada Malaysia turut boleh disampaikan.

Sebelum ini, kerajaan pernah mengenakan larangan kepada pemegang pasport Malaysia daripada melawat negara dari blok komunis seperti China, Cuba dan Vietnam.

Negara Kesatuan Soviet juga pernah tidak diiktiraf oleh Malaysia. Bagaimanapun, ia ditarik ketika zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

-Kosmo!

Tiada ulasan: