Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Khamis, 30 Mei 2013

Seramik China

Seramik merupakan satu produk seni yang dimonopoli oleh masyarakat China yang terkenal sejak zaman berzaman.

Seramik China pernah mencapai zaman kegemilangan di dalam beberapa dinasti China seperti Han (100 - 200 Masihi) dan Tang (618 - 906 Masihi).


Selepas kedatangan Islam pada abad ke-7 Masihi, beberapa dinasti yang mempunyai rekaan seramik yang menarik ialah Song dan Yuan (960 - 1368 Masihi) serta Ming (1368 - 1644 Masihi).

Setiap dinasti mempunyai pusat pengeluaran seramik diraja dan juga ciri-ciri istimewa yang berlainan.

Dinasti Ming mempunyai satu jenis produk seramik putih yang dikenali dengan nama Perancis iaitu Blanc de Chine. Kumpulan seramik ini mempunyai warna putih gading atau putih susu dan kosong tanpa hiasan.

Famille rose merupakan salah satu seramik keluaran China yang mempunyai ciri-ciri istimewa terutamanya dari segi penggunaan warna. Kumpulan seramik ini dikatakan menggunakan hiasan warna bunga ros seperti merah jambu dan merah kesumba di atas glis legap.

Pilihan warna ini pada mulanya dikenali sebagai fencai yang bermaksud warna lembut dan kemudian dikenali sebagai yangcai yang bermaksud warna-warna asing. Ia dikatakan asing kerana diperkenalkan oleh orang asing yang datang ke China di akhir abad ke-17 Masihi sekitat tahun 1680-an.

Warna-warna ini mula digunakan sebagai hiasan di atas barangan logam seperti enamel dan cloisonné.

Jingdezhen merupakan tempat yang menjadi pusat pengeluaran seramik famille rose di bawah beberapa pemerintah Dinasti Qing seperti Tang Ying (1682 - 1756 Masihi), Qianlong (1735 - 1796 Masihi) dan Yongzheng (1722 - 1735 Masihi).

Selain famille rose terdapat beberapa kumpulan seramik yang dikenali dengan ciri warna seperti famille verte yang berasal daripada seramik lima warna yang menggunakan warna merah dan hijau, famille noire yang mengenakan latar berwarna hitam dan famille jaune yang menggunakan latar berwarna kuning.

sumber asal: Artikel Seramik China bermotif Islam disediakan oleh Ros Mahwati Ahmad Zakaria, MegaAgama, Utusan Malaysia 15 Februari 2013

Tiada ulasan: