Penerangan Blog
Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.
Jumaat, 8 November 2013
Cape Coast
Cape Coast terletak di utara Teluk Guinea.
Ia merupakan sebuah bandar di Ghana dan mula diteroka oleh Portugis pada kurun ke-15.
Pada masa tersebut, pembangunan atau sejarah bandar berkenaan tidak dapat dipisahkan dengan Istana Cape Coast yang kini merupakan Tapak Warisan Dunia.
Ia dibangunkan oleh Belanda pada tahun 1650 sebelum pedagang Sweden membesarkan istana itu dua tahun kemudian.
Pedagang-pedagang Sweden menjadikan bangunan tersebut sebagai pusat perniagaan kayu dan emas.
Kilang papan pertama dibina di kawasan tersebut ialah pada tahun 1653 oleh Syarikat Swedish Africa. Bagaimanapun, 10 tahun kemudian, orang Denmark mengambil alih keseluruhan kawasan tersebut dan menumpukan dengan perdagangan emas.
Perusahaan itu cuma bertahan setahun sahaja apabila British menjajah negara berkenaan pada tahun 1664, sekali gus menukar landskap istana berkenaan.
British turut menaik taraf bangunan istana secara besar-besaran.
Sepanjang zaman penjajahan, perdagangan hamba menjadi salah satu komoditi yang menguntungkan di negara berkenaan.
Istana Cape Coast juga pernah menyaksikan beratus-ratus hamba ditempatkan di dalam bilik dalam keadaan bersesak-sesak sebelum dipindahkan ke bot-bot milik orang Barat.
Kebanyakan orang menyifatkan Cape Coast sebagai 'pintu tanpa kepulangan' kerana ia merupakan lokasi terakhir perhentian kapal-kapal dagang sebelum mereka memasuki Lautan Atlantik.
Bandar Cape Town menjadi tumpuan pedagang Eropah kerana pada masa tersebut banyak emas ditemui di Ghana.
Penduduk tempatan menjadikan emas, mahogani dan orang mereka sendiri sebagai produk perniagaan.
Komoditi berkenaan ditukarkan dengan pakaian, selimut, rempah ratus, gula, sutera dan lain-lain.
Istana tersebut menjadi pasar bagi urusan jual beli.
Ghana akhirnya mencapai kemerdekaan pada 1957.
Pada tahun 2010 terdapat seramai 169,894 orang penduduk.
Istana Cape Coast dijadikan muzium pada tahun 1957 iaitu selepas Ghana mencapai kemerdekaan.
Antara koleksi di muzium berkenaan merangkumi arkeologi, sejarah bangunan dan gambar-gambar.
sumber: Artikel 1,001 kisah Cape Coast oleh Nasri Jamaluddin, Kosmo! 13 Disember 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan