Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Rabu, 28 Mei 2014

Al-Quran Braille di Malaysia


Tidak diketahui bilakah orang Islam mula menggunakan al-Quran Braille.

Namun menurut kajian, dipercayai sekitar awal 1950-an.

Antara negara Islam yang terawal menghasil dan menggunakan al-Quran Braille adalah Jordan (sekitar 1952), Mesir (awal 1960-an), Tunisia (1976) dan diikuti banyak negara lain termasuk Arab Saudi, Indonesia, Maghribi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Uzbekistan, Nigeria, Pakistan dan Iran.

Di Masjidil Haram, al-Quran Braille disediakan kepada jemaah haji yang cacat penglihatan sejak 2004 lagi.

Kini, al-Quran Braille juga terdapat di banyak negara, khususnya di masjid dan madrasah di negara-negara bukan Islam termasuk Amerika Syarikat dan Britain, yang disedekahkan oleh pihak yang prihatin.

Al-Quran Braille pertama di Malaysia ialah pada 1952.

Ia dibawa masuk dari Jordan, mempunyai 30 juzuk dan dibahagi kepada 6 jilid.

Usaha pertama dibuat oleh seorang guru di Sekolah Princess Elizabeth, Johor Bahru yang mempelajari al-Quran Braille walaupun dia tidak buta.

Akhirnya, guru itu, Ustaz Sulaiman Shafie, menguasai kod dalam al-Quran Braille dan mampu mengajar pelajarnya sehingga tahun 1991.

Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia (MAB) telah melancarkan Projek Quran Braille pada 1979 dengan dibiayai oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Projek ini mengambil masa 5 tahun antara tahun 1980 dan 1985.

Akhirnya, dua salinan master telah dihasilkan, satu dalam Bahasa Arab dan satu lagi terjemahan dalam Bahasa Melayu.

Pada 1983, Kementerian Pelajaran menubuhkan Jawatankuasa Kod Braille al-Quran al-Karim, dianggotai lebih 20 pakar pelbagai bidang berkaitan, bertujuan mencadangkan kepada kerajaan satu kod yang selaras dan sistematik bagi menghasil dan mempelajari al-Quran Braille di Malaysia.

Jawatankuasa ini mengambil masa 15 tahun untuk menyempurnakan tugasnya.

Akhirnya, Kod Braille Wasilah Bacaan al-Quran terhasil dan dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1998.

Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), NGO Islam yang aktif menghasil dan mengajar al-Quran Braille kepada umat Islam, selain ahli-ahlinya sekitar 1,000 orang.

- BH

Tiada ulasan: