Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 12 Mei 2014

Bunga sebagai agen penyembuh


Beberapa kajian menunjukkan bunga-bunga pernah digunakan sebagai agen penyembuh dan magis.

Ketua Bahagian Psikologi Tumbuhan di sebuah institut botani di Rusia, Prof. Ivan Isidogovich Gunar menyimpulkan, dalam sekuntum bunga terdapat beratus-ratus ekspresi.

Ia dibuktikan melalui kewujudan impuls elektrik yang berfungsi sama seperti saraf manusia.

Beliau yang mempunyai kemahiran berhubung tumbuhan mengakui bunga mempunyai pelbagai sikap seperti berharap, bertindak balas dan menunjukkan ekspresi termasuk kesakitan.

Pembantu Gunar, Leonid A. Panishkin memberitahu bunga-bungaan juga mempunyai memori ingatan yang pendek.

Ada kepercayaan mendakwa jika anda menanam bunga pada waktu petang bulan baharu, ia membawa tuah.

Kepercayaan Mesir pula mempercayai amalan memberikan bunga kepada seseorang turut membawa tuah tetapi jika bunga dialih dari kubur dan dibuang, lokasi yang dibuang itu akan dihantui selama-lamanya.

Kaum India antara pengguna bunga segar yang paling banyak dan paling kerap menggunakan bunga dalam hampir semua upacara.

Peranan bunga segar dalam adat dan upacara Hindu tidak boleh dipisahkan.

Daripada kelahiran seorang bayi, akil baligh, berkahwin, majlis melenggang perut sewaktu hamil, masuk rumah baharu, sambutan perayaan hingga kematian semuanya memerlukan bunga segar.

Sama seperti kaum Melayu yang menggunakan bunga segar untuk mandi bunga bagi menaikkan seri wajah, kaum India turut mempercayai adat itu tetapi kurang diamalkan.

Ia hanya dilakukan apabila seorang anak perempuan mencapai akil baligh dan bunga akan digunakan sebagai aksesori hiasan diri.

Bunga melur misalnya, mempunyai bau wangi yang kuat meningkatkan ciri-ciri kewanitaan.

Atas sebab itulah ramai dalam kalangan wanita India menggunakan melur selain mawar sebagai aksesori hiasan kepala.

sumber: Artikel Potensi bisnes bunga segar oleh Nizha Periaswamy, Kosmo! 17 Julai 2013

Tiada ulasan: