Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Selasa, 15 November 2011

Tugu Negara pernah diletupkan komunis


Sepanjang tahun terutama ketika musim cuti sekolah, ribuan rakyat dan pelancong asing menziarahi Tugu Peringatan Negara atau Tugu Negara yang menjadi lambang kedaulatan, kemegahan serta mercu tanda pejuang yang mempertahankan tanah air, Malaysia. Tugu yang dibina dengan kos RM1.5 juta itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 8 Februari 1966 dan setiap tahun, pasti diadakan pelbagai program sempena memperingati Hari Pahlawan bertujuan mengenang jasa pejuang negara.

Bagaimanapun, langkah kerajaan mengagungkan pejuang bangsa itu jelas merobek perasaan pengganas komunis yang kononnya mendakwa mereka juga pejuang negara.

Yang pasti komunis berasa begitu terhina dengan patung menyembah bumi manakala patung askar berdiri teguh memegang senjata dan bendera negara manakala satu patung lagi memangku rakan yang cedera.

Oleh kerana bencikan kerajaan, ingin melumpuhkan agenda mewujudkan keamanan dan cintakan negara di kalangan rakyat, komunis bertindak dengan mengebom Tugu Negara pada 26 Ogos 1975.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 pagi yang memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh daripada kedudukan asal. Pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya komunis merancang untuk meletupkan Tugu Negara pada jam 6 pagi iaitu ketika sesi tiupan bugel yang diadakan di situ. Mereka mensasarkan umtuk membunuh semua peserta yang mengambil bahagian dalam perbarisan, tetapi malangnya cubaan mereka gagal.

Mengikut perancangan awal, mereka merancang untuk meletupkan tiga bom yang diletakkan di situ, tetapi malangnya satu daripada tiga bom itu meletup lebih awal yang meruntuhkan satu patung besar yang beratnya dianggarkan satu tan.

Lantai marmar di keliling kawasan tugu retak sepanjang dua kaki disebabkan patung besar jatuh ke lantai. Letupan kuat itu menggegarkan kawasan perumahan di sekitar Taman Bunga dan sebahagian daripada tingkap rumah mereka pecah akibat gegaran letupan.

Antara penduduk yang mendengar letupan kuat itu ialah Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran Tugu Negara.

Beliau terdengar letupan kira-kira jam lima pagi ketika bangun untuk solat Subuh.

Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. Polis percaya empat pengganas terbabit dalam serangan itu termasuk seorang wanita.

Sebaik saja letupan berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Travers dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Mereka melepaskan tembakan ke arah polis yang cuba menahan mereka sebelum menghilang di sebalik kegelapan dan kabus tebal.

Di tempat letupan, polis menemui dua topi keledar dan dua helai bendera komunis yang ditinggalkan di situ. Berdasarkan penemuan kesan darah di tempat kejadian, polis percaya kemungkinan seorang penyerang Tugu Negara tercedera terkena letupan.

Berikutan itu, polis segera mengeluarkan arahan meminta kerjasama doktor di hospital atau klinik yang didatangi mana-mana individu yang cedera terkena letupan supaya segera menghubungi polis.

Polis melancarkan gerakan besar-besaran mengesan empat pengganas berkenaan dan tumpuan operasi ialah di semua kebanyakan penempatan yang disyaki terutama di sekitar Bangsar. Polis percaya, kumpulan pengganas itu mungkin menyamar sebagai pekerja buruh binaan.

Sehari selepas kejadian letupan itu, polis menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 100cc tersadai di tempat letak kereta berhampiran pasar Jalan Pudu kira-kira jam 1 tengah hari. Berdasarkan rekod, motosikal itu dipercayai dicuri di Flet Jalan Loke Yew pada 18 Ogos.

Walaupun tidak dapat disahkan motosikal itu digunakan pengganas, jenisnya dikatakan menyamai laporan awal kenderaan yang digunakan dua pengganas untuk melarikan diri ketika terserempak dengan polis.

Penolong Kurator Kajian dan Penyelidikan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Selamat Sainayune menjelaskan Tugu Negara itu adalah sebagai peringatan kepada perwira yang terkorban demi tanah air ketika peperangan dan darurat pada 1942 - 1960.

“Ia simbol kenangan, pengorbanan yang dilakukan dengan penuh taat setia oleh segenap lapisan pasukan keselamatan yang rela mengorbankan jiwa dan raga semata-mata untuk menyediakan sebuah negara yang merdeka di mana rakyat dapat hidup aman harmoni. Sebab itu ia wajar dihormati dan dipelihara bersama,” katanya.

Oleh Mohd Azis Ngah
Berita Minggu

Tiada ulasan: