Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 16 Mac 2012

Taman Negara Chitwan


Taman Negara Chitwan terletak di dataran rendah atau lebih dikenali sebagai Inner Terai berkeluasan 932 kilometer persegi di Nepal dan bersempadan dengan India.

Ia terletak di kaki salah satu cabang Banjaran Himalaya iaitu Banjaran Siwalik.

Taman Negara Chitwan diisytiharkan sebagai taman negara pada tahun 1973 manakala undang-undang kecil Taman Negara Chitwan diperkenalkan pada 4 Mac 1974.

Kawasan selatan Sungai Rapti merupakan bahagian yang mula-mula dicadangkan sebagai sebuah santuari badak pada tahun 1958.

Ia kemudian disatukan dengan Taman Negara Chitwan selepas kawasan tersebut diisytihar sebagai taman negara pada tahun 1973 manakala pada tahun 1984, statusnya diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia.

Chitwan memiliki lebih 50 spesies mamalia berbeza, 400 spesies burung dan 65 jenis rama-rama berlainan yang tinggal di hutan pokok sal manakala lebih 70 jenis rumput yang berbeza untuk santapan gajah-gajah di situ.

Badak bertanduk satu adalah yang paling dikenali dalam katalog hidupan liar Chitwan. Dalam beberapa dekad lalu, bilangan haiwan tersebut semakin menyusut sehingga kurang daripada 100 ekor.

Tetapi, dalam pengiraan terbaharu binatang yang memiliki bahagian luar yang sangat keras itu, jumlahnya meningkat sehingga 400 ekor.

Selain itu, lebih kurang 150 ekor harimau Bengal masih mendiami Chitwan yang sebelum ini pernah menjadi habitat buat 3,000 ekor.

Ancaman terbesar yang menjadi penyebab utama pengurangan bilangan harimau itu adalah apabila habitatnya menyusut secara beransur-ansur.

Seekor harimau jantan memerlukan kawasan seluas 60 kilometer persegi manakala harimau betina pula perlu satu pertiga luas kawasan jantan.

Satu arahan telah dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Nepal pada 11 Januari 2012 untuk menghentikan projek pembinaan jalan raya serta merta.

Arahan tersebut dikeluarkan kerana pembinaan jalan raya yang bakal melalui kawasan dalam taman negara itu mampu menjejaskan kesan pada biodiversiti hutan di situ.

Antara haiwan yang hidup di Taman Negara Chitwan:
  • Rusa babi (Axis porcinus)
  • Bison India (Bos gaurus)
  • Burung enggang (Buceros bicornis)
  • Gajah Asia (Elephas maximus)
  • Harimau Bengal (Panthera tigris)
  • Ular sawa India (Python molurus)
  • Badak India (Rhinoceros unicornis)
  • Antelop bertanduk empat (Tetracerus quadricornis)
  • Harimau bintang India (Panthera pardus)

sumber: Kosmo!, whc.unesco.org

Tiada ulasan: