Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Selasa, 12 Jun 2012

Diesel Petroleum dan Biodiesel


Nama diesel diambil sempena nama seorang jurutera mekanikal warga Jerman iaitu Rudolph Diesel.

Rudolph Diesel telah membuat kajian tentang enjin berdasarkan idea Kitaran Carnot oleh saintis Perancis bernama Nicolas LĂ©onard Sadi Carnot.

Rudolph Diesel telah mencipta sebuah enjin yang boleh menggunakan minyak untuk menggerakkan jentera.

Minyak yang digunakan untuk menggerakkan jentera itu kemudiannya dikenali sebagai minyak diesel manakala enjin yang diciptanya dikenali sebagai enjin diesel.


Diesel Petroleum

Diesel petroleum ataupun diesel fosil merupakan jenis minyak bahan api yang digunakan pada enjin diesel.

Ia dihasilkan daripada petroleum dan campuran hidrokarbon yang diperolehi daripada pecahan penapisan petroleum.

Ketumpatan diesel petroleum adalah lebih tinggi daripada petrol.

Diesel petroleum mempunyai sifat yang tidak mudah terbakar menyebabkan ia digunakan dalam kenderaan dan jentera tentera seperti kereta kebal.


Biodiesel

Pada kebiasaan, bahan api biodiesel dihasilkan melalui tindak balas kimia lipid.

Pengeluaran bahan api biodiesel adalah berasaskan minyak sayuran ataupun produk pertanian.

Di Amerika Syarikat industri biodiesel tertumpu kepada penggunaan minyak kacang soya.

Kebanyakan negara-negara Kesatuan Eropah pula menggunakan minyak biji sesawi yang diadun diesel petroleum.

Biodiesel mengandungi cetane number yang boleh meningkatkan prestasi enjin dan mengeluarkan asap lebih bersih.


Program B5

Enam tahun lalu, kerajaan Malaysia telah melancarkan Dasar Biobahan Api Negara di bawah Strategi Kepelbagaian Lima Bahan Api dengan menyediakan kerangka bagi membangunkan biobahan api terutamanya berasaskan minyak sawit.

Melalui Program B5, dua agensi kerajaan telah dipilih menjadi perintis dalam langkah percubaan pada tahun 2009 apabila kenderaan diesel mereka menggunakan adunan lima peratus bahan api berasaskan sawit dan 95 peratus diesel petroleum.

Bagi memperkenalkan Program B5, kerajaan telah mengambil pendekatan melaksanakan penggunaan biodiesel terbaharu itu secara berperingkat-peringkat bermula di Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia sebelum diperluaskan seluruh negara.

Buat masa ini, ia hanya dilaksanakan ke atas sektor pengangkutan darat bersubsidi kenderaan persendirian sahaja.

Sejak bulan Jun 2011, penjualannya melibatkan Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran 1,150 stesen minyak.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Hamzah Zainuddin, penggunaan B5 akan memberi kesan baik kepada industri minyak sawit terutama dalam menstabilkan permintaan dan harga minyak sawit selain meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Program B5 turut menggalakkan penggunaan biobahan api yang dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui sekaligus mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) bagi menjamin persekitaran mesra alam.

-Kosmo!, Kamus Etimologi Bahasa Melayu Fajar Bakti.

Tiada ulasan: