Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Selasa, 26 Jun 2012

Papua

Papua terletak di bahagian barat New Guinea termasuk pulau-pulau kecil yang berdekatan. Kota utama di wilayah Indonesia yang paling timur itu ialah Jayapura.

Wilayah itu asalnya merangkumi keseluruhan bahagian barat New Guinea. Pada tahun 2003 pemerintah Indonesia mengisytihar bahagian paling barat pulau tersebut sebagai wilayah berbeza dan dinamakan Papua Barat (dahulunya Irian Jaya Barat).

Pentadbiran Indonesia ke atas Papua disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa. Sama seperti banyak wilayah lain di Indonesia, pemerintah Pusat di Jakarta mempunyai pengaruh yang kuat di Papua. Papua sendiri merupakan penerima besar daripada proses desentralisasi seluruh negara yang bermula pada tahun 1999.

Lanskap pergunungan yang merentangi zon Timur dan Barat pulau itu menjadi elemen geografi utama Papua dan New Guinea. Ia meliputi kawasan sepanjang 1,600 km dengan 600 km berada di bahagian barat dan 100 km lebar.

Populasi Papua adalah seramai 2.9 juta orang (perangkaan tahun 2010). Kira-kira 80 peratus orang Papua hidup di kawasan luar bandar dengan beberapa atau tiada langsung kemudahan kehidupan moden.

78 peratus penduduk Papua beragama Kristian (54 peratus Protestant dan 24 peratus Roman Katolik) sementara 21 peratus beragama Islam dan kurang daripada 1 peratus beragama Buddha atau Hindu. Amalan aminisme juga masih popular di sesetengah tempat.

Antara kumpulan etnik popular di Papua ialah Amungme, Asmat, Bauzi, Dani, Kamoro, Kombai, Korowai, Mee, Sentani, Yali dan Yei.

Banyak puak di kawasan pedalaman dan pergunungan hidup terasing dan tidak berhubung dengan dunia luar. Majoriti daripada mereka menjalankan ekonomi sara diri melalui aktiviti pertanian skala kecil.

-Kosmo!

Tiada ulasan: