Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Rabu, 26 September 2012

Ensiklopedia Britannica

Ensiklopedia bermaksud buku yang sarat keterangan ringkas dan tepat tentang pelbagai ilmu pengetahuan yang disusun mengikut abjad atau cabang ilmu.

Ensiklopedia Britannica mula diterbitkan pada tahun 1768 di Edinburgh, Scotland.

Cetakan pertamanya hadir dengan judul, A Dictionary of Arts and Sciences yang menghimpunkan maklumat tentang seni dan sains.

Ia diasaskan oleh Collin Macfarquhar dan Andrew Bell, warga Scotland yang memiliki kepakaran dalam bidang cetakan, ukiran dan penjualan buku. Maklumat mengenai kedua-dua pengasas itu sukar dikesan seolah-olah tiada rekod lengkap tentang mereka.

Sebelum tahun 1901, Britannica dimiliki firma penerbitan Scotland. Ia kemudian berpindah hak milik keada syarikat Amerika Syarikat, Horace E. Hooper dan Walter M. Jackson.

Walaupun pusat operasi ensiklopedia tersebut telah berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1901, sidang pengarangnya masih menggunakan ejen British. Kini ibu pejabat terbaharu Britannica Online terletak di Chicago, Amerika Syarikat.

Selama dua abad beroperasi dalam industri buku, Britannica mengekalkan konsep saiz, ketebalan dan isi kandungan yang sama. Setakat ini, dianggarkan Britannica sudah mencetak 40 juta perkataan dan setengah juta topik mengikut peredaran semasa.

Teks dan ilustrasi edisi ke-15 Britannica yang diterbitkan pada 1974 dimuat naik menggunakan sistem pengkomputeran kerana memudahkan proses suntingan.

Syarikat itu mula meneroka penerbitan digital pada 1970-an dan mengeluarkan CD-ROM pertama pada 1989 serta versi dalam talian pada 1994.

Sepanjang penerbitan, setiap kandungannya dikemas kini oleh 100 orang pengarang sepenuh masa dan 4,400 orang penyumbang artikel.

Kredibiliti dan kesahihan maklumat Britannica tidak dipertikaikan memandangkan ia turut melibatkan penyumbang profesional seperti ahli fizik tersohor, Albert Einstein; bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan bekas Ketua Biskop Cape Town, Desmond Tutu.

Dari segi pemilikan pula ia bersilih ganti. Pada era kedua cetakan, syarikat itu diambil alih oleh firma penerbitan Edinburgh, A&C Black, sebelum bertukar hak milik kepada Horace Everett Hooper, Sears Roebuck dan William Benton.

Pada tahun 1911 hingga kini, penerbitannya adalah di bawah syarikat Encyclopedia Britannica Inc. milik jutawan Switzerland, Jacqui Safra.

Setiausaha Negeri Amerika Syarikat, Madeleine Albright pernah bertugas di Britannica sebelum beliau aktif dalam karier diplomatik.

-Kosmo!

Tiada ulasan: