Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Rabu, 16 Julai 2014

Serangan terhadap Gaza pada 8 Julai 2014


Gaza merupakan bandar terbesar di Palestin.

Populasi penduduk di Gaza seramai 450,000 orang (2013, kemungkinan berkurangan akibat daripada serangan Israel pada bulan Ramadan bersamaan bulan Julai 2014).

Sumber utama ekonomi penduduk Gaza berpunca daripada industri kecil seperti pertanian dan kerja buruh.

Pada tahun 1967 Gaza telah diserang tentera Israel pada peristiwa Perang Enam Hari.

Pada tahun 1993 Gaza berada di bawah pimpinan Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin.

Pada tahun 2006 telah berlaku konflik bersenjata antara puak politik Fatah dan Hamas yang akhirnya dimenangi oleh Hamas.

Pada 8 Julai 2014 Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza yang berpunca dengan penculikan dan pembunuhan tiga pemuda Israel yang didakwa dilakukan oleh anggota Hamas beberapa hari sebelumnya.

Sebagai balasan, ratusan anggota Hamas ditangkap di Tebing Barat dan seorang remaja Palestin berusia 16 tahun bernama Mohammed Abu Khdeir telah diculik dan dibunuh.

Pembunuhan remaja tersebut telah mencetuskan kemarahan masyarakat Palestin dan menyebabkan serangan roket dilancarkan oleh pejuang-pejuang Hamas.

Satu gencatan senjata telah diadakan pada 4 Julai 2014 dan pihak Palestin bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata ini jika pihak Israel juga menghentikan serangan udaranya terhadap Gaza.

Bagaimanapun, tentera Israel meneruskan serangan udara terhadap Gaza pada 5 dan 6 Julai yang telah mengorbankan 9 rakyat Palestin.

Pada 8 Julai 2014 pejuang-pejuang Palestin telah bertindak balas dengan melancarkan serangan roket terhadap Israel dan Israel telah melancarkan serangan balas bertubi-tubi kononnya untuk mempertahankan diri dengan operasi yang dikenali sebagai Operation Protective Edge.

- Kosmo!, wikipedia

Jumaat, 4 Julai 2014

Ikan Kelah Merah


Antara spesies ikan hiasan termahal dan popular.

Harganya berbeza mengikut saiz.

Ikan kelah merah hidup di sungai dan tasik.

Ikan kelah merah merupakan spesies ikan lasak dan lincah berenang.

Banyak terdapat di negara Asia seperti India, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

- BH

Khamis, 3 Julai 2014

Tasik Timah Tasoh


Tasik Timah Tasoh ialah nama yang tidak asing lagi bagi penduduk Perlis.

Ia bukan sahaja nadi pertanian di utara Semenanjung Malaysia, bahkan empangan saliran terbesar itu merupakan lokasi percutian pelancong yang cintakan alam semula jadi.

Tasik tersebut pada asalnya merupakan pertemuan dua buah sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh.

Ia juga merupakan lokasi sebuah kampung iaitu Tasoh yang telah ditenggelamkan bagi mewujudkan empangan tersebut.

Turut ditenggelamkan bersama kampung itu ialah masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan.

Selain nostalgianya yang semakin luput daripada ingatan penduduk setempat, kampung tersebut terpaksa ditenggelamkan untuk membentuk takungan air bagi menyediakan bekalan air domestik dan perindustrian.

Selain itu, ia bagi memenuhi keperluan untuk mengairi 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.

sumber: Artikel Panorama Tasik Timah Tasoh oleh Noraidah Abd Karim, Kosmo! 20 Jun 2013.

Rabu, 2 Julai 2014

Masyarakat Sidi


Masyarakat Sidi ialah keturunan pendatang dari Afrika yang berhijrah ke India pada abad kesembilan.

Masyarakat Sidi hidup dalam kemiskinan di India bagaimanapun masih berpegang teguh dengan budaya yang dibawa dari negara asal.

Dianggarkan kira-kira 60,000 hingga 70,000 daripada 1.2 juta masyarakat Sidi dari Afrika Timur berhijrah ke India.

Masyarakat Sidi kurang senang dengan kunjungan orang asing dan tidak menggalakkan perkahwinan campur.

Masyarakat Sidi dibawa oleh tentera Portugis dan orang Arab ke India.

Mereka tinggal di kawasan kampung dan bandar di pantai barat India dan ada dalam kalangan mereka tinggal bertebaran di negara itu.

Kebanyakan mereka berhijrah bukanlah untuk menjadi buruh tetapi bekerja sebagai askar.

Sesetengah adat masyarakat Sidi telah hilang manakala selebihnya seperti muzik, tarian dan penggunaan perkataan Swahili dalam dialek pertuturan Gujarati masih diamalkan oleh masyarakat Sidi.

Masyarakat Sidi Muslim masih mengamalkan ritual dan upacara melibatkan gendang dan tarian.

Ia dipanggil goma dalam bahasa Swahili yang bermaksud gendang, lagu dan tarian.

Antara keturunan Sidi yang terkenal di peringkat antarabangsa ialah pemain bolasepak India iaitu Juje Jackie Harnodkar.

sumber: Artikel Keturunan hamba Afrika di India, Kosmo! 20 Jun 2013


Jumaat, 27 Jun 2014

Bendalu


Bendalu atau benalu ialah tumbuhan yang menumpang dan memperoleh makanan daripada tumbuhan yang ditumpangnya.

Ia digolongkan dalam spesies mistletoe atau mistletoe eropaatau iaitu sejenis hemiparasit semak.

Beberapa penelitian dan fakta membuktikan bendalu memberi kesan positif terhadap kanser.

Di Jerman misalnya, pesakit kanser diubati dengan memberikan ubat tradisional berupa ekstrak bendalu yang dipercayai mampu menghalang dan memusnahkan sel tumor sekali gus meningkatkan kekebalan tubuh.

Bagaimanapun, tumbuhan bendalu hanya ditemui di tempat bertmusim dingin.

Keberkesanan bendalu merawat kanser ditemui sekitar 1920.

Jerman meneruskan kajian dan akhirnya bendalu dijadikan ubat sokongan kepada pesakit kanser.

Sehingga hari ini, para onkologi menggunakannya sebagai ubat utama dalam penyembuhan kanser.

Hasil penyelidikan mendedahkan bendalu memiliki zat lektin atau dikenali sebagai mistellektin.

Di Jerman, penggunaan mistellektin diterapkan dalam rawatan terapi kanser.

Malah, menurut statistik, pesakit yang diubati menggunakan mistellektin secara umumnya menunjukkan kualiti hidup semakin baik.

Bagi mereka yang menjalani rawatan kemoterapi, pemberian mistellektin mengurangkan kesan akibat rawatan itu seperti rasa mual, keguguran rambut, pening dan kehilangan nafsu makan.

Di Asia Tenggara, catatan pengkaji botani menunjukkan bendalu digunakan di Pulau Jawa sejak tahun 1968.

Ia digunakan sebagai ubat tradisional bagi merawat penyakit cacar air dan lembu, cirit-birit, ubat untuk cacing kait pada anjing, tumor dan kanser.

sumber: Artikel Kuasa perubatan dalam tumbuhan oleh Hemawathi Ramaya, Nathiya Loganathan dan Harpreet Kaur Pagneek Singh, Kosmo! 21 Jun 2013.

Khamis, 26 Jun 2014

Mengkudu


Buah mengkudu dikenali juga sebagai buah noni.

Selain dijadikan jus, daun dan pulpa mengkudu didapati mempunyai pelbagai manfaat penyembuhan.

Antaranya, mengatasi masalah darah tinggi, demam, rasa nyeri dan jangkitan.

Buah mengkudu merupakan sumber utama vitamin C, A, B kompleks, kalsium, sulfur, kalium, fosfor serta asid amino seperti fenilalanin dan tirosin.

Kebiasaannya, mengkudu digunakan sebagai sgen antiinflamasi bagi mengurangkan rasa sakit berkait dengan penyakit artritis dan ketidakselesaan sendi.

Mengkudu merupakan pelindung terbaik untuk ginjal, hati dan perut.

Ia membantu menyeimbangkan kandungan alkalin dalam tubuh.

Mengkudu juga membantu pankreas mengatur dan menstabilkan kadar gula dalam darah.

Ia bermanfaat bagi mereka yang menderita diabetes mahupun hipoglisemia.

Pengambilan jus mengkudu terbukti melindungi perkembangan sel kanser kerana ia bersifat antitumor di samping berkemampuan mencegah luka dalam usus, menurunkan kandungan asid di dalam perut dan meningkatkan lendir yang melindungi lapisan perut.

Sumber: Artikel Kuasa perubatan dalam tumbuhan oleh Hemawathi Ramaya, Nathiya Loganathan dan Harpreet Kaur Pagneek Singh, Kosmo! 21 Jun 2013.

Rabu, 25 Jun 2014

Bunga lawang


Bunga lawang dikenali juga sebagai buah pekak atau kembang lawang.

Ia merupakan sejenis rempah yang memiliki rasa seakan-akan jintan manis.

Biasanya bunga lawang ini dijadikan rempah penyedap makanan.

Bunga lawang banyak ditemui dalam masakan kaum India, Thailand, Vietnam dan Indonesia seperti kari atau sebagai penyedap rasa makanan.

Di Indonesia khususnya, rempah ini digunakan di beberapa daerah yang memiliki ciri khas masakan berperisa rempah yang kaya.

Antaranya ialah gulai Aceh, rendang Padang, masakan Jawa dan Bali.

Selain memberi rasa kepada makanan, bunga lawang mempunyai kesan perubatan yang sangat mujarab.

Secara amnya, bunga lawang dikenali sebagai agen penyembuh jangkitan respirasi dan radang, selsema (influenza), selsema babi dan burung.

Selain itu ia juga boleh dijadikan penawar kepada gangguan pencernaan, perut kembung, kehilangan nafsu makan, kolik bayi, batuk dan bronkitis.

Bunga lawang juga digunakan secara oral untuk meningkatkan penghasilan susu ibu, kesakitan haid, memudahkan kelahiran bayi, meningkatkan libido dan menangani gejala klimakterik lelaki.

Dalam industri pembuatan, minyak bunga lawang digunakan sebagai komponen utama dalam aroma sabun, kosmetik, pewangi dan ubat gigi.

Bunga lawang juga digunakan secara meluas dalam industri farmasi bagi mengawal bau ubat-ubatan.

sumber: Artikel Kuasa perubatan dalam tumbuhan oleh Hemawathi Ramaya, Nathiya Loganathan dan Harpreet Kaur Pagneek Singh, Kosmo! 21 Jun 2013