Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 2 April 2012

Plastinasi

Plastinasi merupakan kaedah pengawetan tisu biologi iaitu menggantikan cecair dan lemak di dalam tisu badan dengan menggunakan polimer atau dikenali sebagai cecair plastik.

Melalui kaedah ini, ia membolehkan pengawetan dilakukan ke atas tisu dan organ yang telah dikeluarkan daripada badan manusia.


Dr. Gunther von Hagens (gambar) memperkenalkan teknik plastinasi dalam mengawet tubuh manusia semasa bekerja di Institut Anatomi Universiti Heidelberg, Jerman pada lewat tahun 70-an.

Spesimen plastinasi yang diperkenalkan oleh Dr. Gunther von Hagens melalui syarikat Gubener Plastinate GmbH mendapat perhatian dunia terutamanya universiti-universiti dan institusi-institusi perubatan.

Dr. Gunther von Hagens dianggap sebagai Bapa Plastinasi.

Hasil karya plastination beliau dalam pameran Body Worlds di beberapa buah negara di dunia berjaya menarik minat ramai pengunjung.

Beliau telah menubuhkan Institut Plastination di Heidelberg, Jerman pada tahun 1993.

Terdapat lebih 40 makmal plastinan di 40 buah negara di seluruh dunia.

Dr. Gunther von Hagens dilahirkan di Skalmierzyce, Kalisch, Poland. Beliau merupakan ahli anatomi Jerman yang telah mempatenkan teknik plastinasi antara tahun 1977 hingga 1982.

Semasa zaman kanak-kanaknya, Dr. Gunther pernah tinggal di hospital selama enam bulan kerana tercedera. Sepanjang duduk di wad beliau telah meminati sains perubatan. Beliau memulakan pengajian perubatan di University of Jena pada tahun 1965.

Menurut pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah menjelaskan dari perspektif Islam mayat orang Islam tidak boleh digunakan untuk diuji kaji biarpun untuk tujuan perubatan kerana perbuatan itu dianggap seperti menyeksa dan menyakiti mayat.

Mayat orang Islam juga tidak boleh diawet kerana hukumnya adalah haram di sisi Islam bagaimanapun pendermaan organ adalah diharuskan dengan syarat si mati mewasiatkannya.

sumber: Kosmo!

Tiada ulasan: