Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Khamis, 20 Disember 2012

Korea Selatan

Korea Selatan ataupun nama rasminya Republik Korea adalah sebuah negara maju yang paling pesat membangun pada tahun 2000 di samping menjadi salah satu daripada tiga Harimau Asia.

Ia terletak dalam kawasan beriklim kebenuaan lembap dan subtropika lembap dengan rupa bumi yang banyak bergunung-ganang.

Bahasa rasmi Korea Selatan adalah bahasa Korea manakala tulisan rasminya ialah Hangul.

Sistem pentadbiran Korea Selatan adalah republik berpresiden.

Keluasan Korea Selatan adalah 100,210 km persegi manakala populasinya mengikut anggaran pada tahun 2010 adalah seramai 49 juta orang.

Mata wang yang digunakan di Korea Selatan ialah Won Korea Selatan (KRW).

Seoul, ibu negara Korea Selatan merupakan sebuah bandar yang istimewa dan ia diangkat sebagai bandar raya terbesar di Korea Selatan.

Bandar mega dengan populasi melebihi 10 juta itu merupakan kawasan metropolitan kedua terbesar di dunia.

Seoul menjadi salah satu destinasi pilihan utama pelancong kerana ia mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi.

Antaranya ialah MyeongDong NANTA Theatre, The War Memorial of Korea, Leeum Samsung Museum of Art, National Museum of Korea, Namsan Park dan N Seoul Tower.

Pasar terbesar di Korea Selatan iaitu Dongdaemun Market dan Myeongdong mempunyai pelbagai pilihan untuk membeli-belah selain mempunyai butik-butik fesyen jenama antarabangsa.

Selain Seoul, Pulau Jeju menjadi lokasi tumpuan pelancong kerana mempunyai tempat-tempat menarik yang unik termasuk Loveland yang dicipta oleh graduan Universiti Hongik.

Jeju juga merupakan destinasi bulan madu popular kerana ia menghadirkan mood romantik ketika menyaksikan matahari terbit dan terbenam, iklim sederhana dan pantai berpasir yang indah.

Tasik Baeknok di atas Gunung Halla yang merupakan puncak tertinggi di Korea Selatan adalah lokasi yang dikunjungi oleh mereka yang gemarkan aktiviti lasak.

Kimchi ialah sejenis makanan tradisional Korea Selatan iaitu sayur jeruk dengan pelbagai perasa. Ia merupakan hidangan kebangsaan Korea Selatan dan mempunyai ratusan jenis yang diperbuat daripada kubis, lobak putih dan timun.

-Kosmo!

Tiada ulasan: