Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 22 Februari 2013

Fenomena Laut Merah


Selain pencemaran yang dilakukan oleh manusia, kelangsungan hidup kima gergasi, terumbu karang dan hidupan marin juga boleh terjejas ekoran fenomena laut merah beracun atau red tide.

Red tide melanda laut Sabah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

Berdasarkan maklumat di dalam laman web Jabatan Perikanan Sabah, fenomena laut merah pertama kali dikesan pada tahun 1976 dan sejak itu ia seolah-olah menjadi acara tahunan.

"Fenomena tersebut biasa melanda perairan laut Pulau Gaya, Teluk Sepanggar, persisiran Pantai Likas, Yayasan Sabah dan lokasi-lokasi berhampiran. Jika ia berlaku, kami akan mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak memakan semua jenis kerang seperti tiram, dalus, remis dan lain-lain.

"Spesies ikan juga dilarang dimakan seperti tamban dan basung kerana bimbang ia beracun atau dicemari benda asing. Namun, hidupan laut dalam seperti udang, ketam dan sotong selamat dimakan tetapi mesti dibuang atau dicuci insang dan organ dalamannya," menurut satu kenyataan daripada laman web tersebut.

Fenomena laut merah berlaku pada musim kemarau selepas hujan lebat dan kesan daripada suhu rendah berpanjangan sepanjang musim hujan.

Semasa fenomena, air laut kelihatan berwarna merah kecoklatan akibat ledakan pertumbuhan sejenis plankton bakteria bertoksik kerana adanya pertambahan nutrien di dalam air laut.

Apabila bekteria tersebut berkumpul pada permukaan air laut dengan pekatan yang tinggi, warna air bertukar menjadi keruh dan warna.

Bagaimanapun, tidak semua tindakan bakteria itu akan menyebabkan air akan menjadi merah. Kadangkala warnanya seakan-akan ungu, merah jambu, hijau atau merah.

Pihak Jabatan Perikanan Sabah sentiasa menjalankan penyelidikan dan mengawasi fenomena tersebut untuk mengenal pasti jenis toksik atau bakteria yang menjadi penyebab berlakunya kejadian itu.

Sampel air akan diambil untuk dianalisis di makmal untuk menentukan jenis dan kandungannya.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka akan menggunakan tikus untuk menguji kehadiran benda asing atau toksik daripada sampel yang diambil.

Namun, fenomena itu lazimnya berlaku dalam tempoh antara 24 atau 48 jam dan ia akan beransur-ansur hilang.

-Kosmo!

Tiada ulasan: