Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 18 Mei 2012

Tugu Monas

Tugu Monas ialah singkatan untuk Monumen Nasional.

Ia terletak di hadapan Istana Merdeka, di daerah Gambir, Jakarta Pusat, Indonesia.

Tugu Monas setinggi 132 meter.

Ia dibina untuk memperingati semangat kepahlawanan dan perjuangan bangsa Indonesia semasa Revolusi Kemerdekaan 1945.

Pembinaannya dimulakan pada tahun 1955 dengan tanggungjawab itu diberikan kepada arkitek R.M. Soedarsono dan Frederich Silaban dan dibantu oleh konsultan Ir. Roesono.

Reka bentuk Tugu Monas mengambil konsep lingga (alu atau penumbuk beras) dan yoni (lesung), ia merupakan cerminan kesuburan berdasarkan konsep Hindu.

Konsep itu juga melambangkan simbol kesuburan muka bumi dan kemakmuran bangsa Indonesia.

Bentuknya juga dikatakan mirip oblisks yang mendasari kebudayaan Mesir kuno.

Seluruh tugu ini diselaputi oleh marmar.

Sejurus siap dibina pada 12 Julai 1975, ia seterusnya dirasmikan dan dibuka kepada orang awam.

Tarikan utama terletak di bahagian atasnya yang dilengkapi sebuah pelantar dengan keluasan 55 meter persegi. Ruang itu dapat menampung kira-kira 50 pengunjung pada satu masa.

Dari pelantar itu, pengunjung berpeluang melihat seluruh penjuru kota Jakarta dengan lebih dekat - kepelbagaian bentuk muka bumi seperti Gunung Salak di Jawa Barat atau Laut Jawa dan Pulau Seribu.

Di puncak tugu tersebut terdapat simbol api yang dilapisi lembaran emas. Ia melambangkan semangat perjuangan rakyat Indonesia yang tidak pernah padam dalam meraih status kemerdekaan.

Sementara itu, di bahagian bawah tugu pula menempatkan ruang pameran yang dikenali sebagai Dewan Kemerdekaan.

Dewan tersebut mampu memuatkan lebih 500 pengunjung. Ruang itu boleh diakses melalui pintu masuk di bahagian utara dan selatan. Ia memaparkan simbol-simbol kemerdekaan Indonesia termasuk naskhah asal Proklamasi Kemerdekaan, senjata tradisional dan peta kepulauan republik itu.

Pada dinding sebelah selatan terdapat sebuah patung besar Garuda Pancasila yang bersalut gangsa dengan emas yang menjadi lambang negara.

Jika melangkah ke sebelah timur pula, pengunjung berpeluang melihat teks pengisytiharan kemerdekaan dalam tulisan gangsa dan menghayati makna bendera kebangsaan Indonesia, Sang Saka Merah.

Pengunjung juga pasti terpesona melihat kolam air pancut dan patung Pangeran Diponegoro yang sedang menunggang kuda di permukaan kolam itu.

sumber: Kosmo!

Tiada ulasan: