Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 28 Mei 2012

Yangon


Yangon ialah bekas ibu negara dan bandar terbesar di Myanmar.

Yangon dikenali dengan nama Dagon pada kurun ke-11 oleh Mon yang menguasai kawasan berkenaan pada tempoh itu.

Nama Dagon berasal dari sebuah perkampungan nelayan kecil yang terletak di tengah-tengah Pagoda Shwedagon.

Pada tahun 1755, Raja Alaungpaya yang memerintah Dagon menukar nama kepada Yangon.

Pada tahun 2010 dianggarkan populasi di Yangon mencecah 4,348,000 orang.

Etnik di Yangon terdiri daripada Bamar, Rakhine, Mon, Kayin, Burma Cina, Burma India dan Burma Anglo.

Selain Buddha, penduduk Yangon turut menganut agama Islam dan Kristian.

Ibu kota Myanmar telah dipindahkan dari Yangon ke Naypyidaw pada bulan November 2005.  Ia adalah sebuah kota di tengah-tengah belantara kira-kira 320 kilometer di sebelah utara Yangon.

Mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pernah menyelar tindakan kerajaan Myanmar memindahkan pentadbirannya ke Naypyidaw kerana perpindahan tersebut menyukarkan pembangunan ekonomi dan mengganggu usaha penyelesaian masalah kestabilan politik.

Ketika Myanmar mencapai kemerdekaan pada tahun 1948, Yangon mewah dengan sumber asli dan lebih kaya berbanding Singapura.

Pada abad ke-20, Myanmar atau nama asalnya Burma merupakan salah satu negara terkaya di Asia dan menjadi pilihan pihak British membuka empayar.

Selepas menakluk Yangon pada tahun 1852 dan menukar nama kepada Rangoon, pihak British mula membangunkan bandar berkenaan menjadi tapak asas pentadbiran mereka dengan membina bangunan-bangunan mahkamah, Parlimen, taman untuk bersantai dan taman botani.

British telah membina Universiti Rangoon pada tahun 1878 sehingga ia menjadi sebuah universiti terkemuka di Asia.

Kegemilangan bandar Rangoon cukup menyerlah kerana ia menggabungkan idea dan kreativiti sejumlah perancang bandar British.

Malangnya, sebahagian besar bangunan di Rangoon telah rosak dan binasa semasa kedatangan Jepun pada Perang Dunia Kedua tetapi Myanmar berusaha mengekalkan empayar British selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.

Pada 8 Ogos 1988 telah berlaku mogok dan tunjuk perasaan besar-besaran di Myanmar bagi menuntut hak asasi dan demokrasi.

Demonstrasi tersebut bertujuan untuk menentang pemerintahan tentera yang menguasai Myanmar selama 25 tahun.

Pemimpin junta tentera, Jeneral Ne Win yang memegang kuasa sejak tahun 1958 mengarahkan tentera menembak rakyat yang sedang berhimpun itu, akibatnya dianggarkan kira-kira 10,000 orang telah terbunuh.

Dasar demokrasi dan hak asasi manusia yang tidak dipedulikan oleh kerajaan tentera mendatangkan kemarahan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).  Ini disusuli dengan tindakan junta tentera yang tegar membunuh dan memenjara beribu-ribu aktivis demokrasi gara-gara kalah pada pilihan raya tahun 1990.

Sebagai tanda protes dan memboikot sikap kejam junta tentera Myanmar, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah menghentikan segala bentuk bantuan termasuklah bantuan daripada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Namun pemboikotan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tidak sedikitpun membimbangkan pemimpin junta, Jeneral Kanan Than Shwe sebaliknya menyelar negara seperti Amerika Syarikat yang sering mengkritik rekod hak asasi manusia di Myanmar.

Selepas 55 tahun mengamalkan dasar tutup pintu terhadap Myanmar. akhirnya Amerika Syarikat mengambil keputusan untuk menjalinkan semula hubungan dengan Myanmar.

Pada 30 November 2011, setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton telah menemui Presiden Myanmar, Thein Sein, Menteri Luar Negara, Wunna Maung Lwin dan Ahli Tertinggi Parlimen di ibu negara, Naypyidaw.

Petikan dari artikel asal Kemuraman Politik Myanmar tulisan Izyan Liyana Mohd Darif, Kosmo! 6 Disember 2011

Tiada ulasan: