Kerajaan Ayutthaya merupakan sebuah kota pentadbiran kerajaan awal di Thaland dan dipercayai wujud sekitar 650 tahun dahulu.
Ia dibuka oleh Raja Ramathibodi. Ia dinamakan Ayutthaya sempena epik Sri Rama atau Ramayana.
Ayutthaya terletak di lembah Sungai Chao Phraya kira-kira 80 kilometer ke utara Bangkok.
Kerajaan Ayutthaya mengamalkan sistem terbuka dan banyak mengamalkan sikap berkawan dengan semua pedagang-pedagang asing yang berniaga di Siam seperti pedagang dari China, Vietnam, India, Jepun dan Parsi.
Kerajaan Ayutthaya juga mengamalkan dasar buka pintu dengan berdagang dengan pedagang dari Portugis, Sepanyol, Belanda dan Perancis dengan membenarkan mereka membuka penempatan di luar kawasan kerajaan Ayutthaya.
Pada kurun ke-16, pedagang Barat menyifatkan kota ini adalah antara kota terbesar dan terkaya di Timur. Pemerintahnya ketika itu, Raja Narai (1656 - 1688) juga mempunyai pengaruh kuat dengan Raja Perancis ketika itu iaitu Raja Louis ke-14.
Memandangkan kekuatan pengaruh dan tentera yang ramai, kerajaan Ayutthaya memulakan program penaklukan ke atas beberapa wilayah berhampiran.
Ayutthaya pernah beberapa kali terlibat dalam peperangan dengan kerajaan Burma sebelum ini.
Wilayah itu pernah diserang oleh tentera Burma yang dikuasai Dinasti Toungoo pada 1548.
Pada tahun 1564, Raja Ayutthaya menyerah diri sebelum menakluk kota itu kembali.
Pada tahun 1765, dengan kekuatan 40,000 tentera, tentera Burma menyerang utara dan barat Ayutthaya serta beberapa kota di kawasan ini diserahkan kepada Burma.
Selepas 14 bulan dikepung, akhirnya Ayutthaya berjaya ditawan. Keseluruhan kota itu juga hampir musnah apabila dibakar tentera Burma pada tahun 1767.
Akibatnya semua peninggalan sejarah dan peninggalan arkib di perpustakaan kota Ayutthaya turut musnah.
Sehingga kini, nama Ayutthaya masih diingati bukan kerana sejarah silamnya tetapi binaan kuil-kuil purba yang unik.
Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 95 buah kuil purba di Ayutthaya yang sebahagian besarnya terletak di Ayutthaya Historical Park.
Terdapat enam kuil purba yang popular antaranya ialah Wat Phra Si Sanphet. Kuil tersebut dibina pada tahun 1350. Ia merupakan imej paling popular dalam brosur pelancongan Thailand.
Wat Chaiwatthanaram dibina pada tahun 1630 dan memiliki menara mengikut seni bina diraja Kemboja dan Wat Phra Mahathat dibina pada tahun 1374.
Kota purba ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1981.
Pada bulan Oktober 2011, kota purba tersebut berada dalam bahaya akibat banjir besar yang melanda Thailand pada ketika itu.
-Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan