Gula Melaka yang dikenali juga sebagai gula kabung atau gula nipah sememangnya sinonim dengan masakan tradisional masyarakat Melayu namun, ia juga boleh digunakan untuk tujuan lain.
Selain menjadi bahan utama digunakan untuk memasak pengat, sirap cendol, ais kacang dan inti kuih, gula Melaka boleh juga digunakan untuk tujuan perubatan.
Masyarakat Melayu menggunakannya untuk meredakan batuk iaitu mencampurkan gula Melaka dengan air asam jawa untuk diminum.
Bahan itu juga digunakan masyarakat dahulu untuk menurunkan suhu badan dengan meminum air yang direndam dengan gula Melaka.
Proses membuat gula Melaka memerlukan ketelitian dan masa yang panjang.
Ia dimulakan dengan memotong bahagian hujung mayang pokok kelapa untuk mendapatkan air nira.
Air nira yang berwarna putih bersih ini akan ditadah dengan tabung yang diperbuat daripada buluh dan diikat pada pokok berkenaan.
Air nira yang telah dikumpulkan hendaklah dimasak segera kerana jika terdedah pada suhu panas terlalu lama, nira akan mudah rosak dan rasanya bertukar masam.
Nira itu dimasak sehingga pekat dan proses itu memakan masa antara lima hingga enam jam.
Suhu api hendaklah sentiasa dikawal supaya nira yang dimasak itu tidak hangus.
Nira kelapa yang telah pekat akan berubah warna kepada coklat gelap dan mempunyai rasa lemak manis secara semula jadi.
Pada tahap inilah terhasilnya gula Melaka yang akan dituang ke dalam acuan buluh untuk dibentuk dan dibiarkan sehingga keras.
Gula Melaka yang telah siap dimasak hanya mengambil masa selama lima minit sahaja untuk keras.
Gula Melaka boleh dicairkan dengan memasaknya semula.
sumber: Kosmo!, Ideris Zainuddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan