Mitologi Greek dan Roman sering merujuk buah epal sebagai simbol kecantikan, kasih sayang dan kesihatan. Bahkan, pepatah juga ada mengatakan, sebiji epal sehari mampu menjauhkan kita daripada doktor.
Kandungan antioksidan yang tinggi, pektin, asid malik, beta karoten, potasium dan zat besi membuatkan epal dilabel sebagai buah yang cukup sempurna.
Hari ini, epal diketahui mempunyai satu lagi kelebihan iaitu melambatkan proses penuaan dan membantu mengatasi masalah kulit muka.
Ekstrak sel stem daripada spesies epal yang jarang ditemui di Switzerland itu dianggap sebagai pencapaian yang mengujakan dunia.
Dikenali sebagai Uttwiler Spatlauber, khasiat epal itu cukup luar biasa jika dibandingkan dengan buah epal biasa.
Penyelidikan oleh sebuah syarikat Switzerland, Mibelle Biochemistry sejak tiga tahun lalu mendapati ekstrak sel stem epal atau nama saintifiknya PhytoCellTec Malus Domestica memberi kesan yang luar biasa terhadap sel-sel kulit dan rambut.
Ia berfungsi merangsang sel stem kulit dengan mengaktif serta meningkatkan kemampuan kulit untuk melindung dan memperbaiki sel-sel kulit dari dalam.
Pokok epal yang ditanam pada pertengahan abad ke-18 itu menarik perhatian saintis untuk mengkajinya kerana ciri-ciri istimewanya.
"Buahnya masih kekal segar dan langsung tidak rosak dalam tempoh antara enam hingga lapan bulan selepas dipetik walaupun disimpan pada suhu bilik.
"Namun, epal ini tidak boleh dimakan seperti buah epal komersial lain kerana rasanya yang terlalu masam," kata saintis dan Pengurus Unit Perniagaan, Mibelle AG Cosmetics, Dr. Fred Zulli.
Seperti manusia, tumbuh-tumbuhan juga mempunyai sel stem dikenali sebagai plasenta tumbuhan iaitu sel utama yang mengekalkan sedikit tabungan sel stem untuk membekal secara berterusan dan mengekalkan pertumbuhan atau menggantikan tisu baharu.
Bagi membolehkan sel-sel itu membiak di dalam makmal, satu teknologi yang dikenali sebagai PhytoCellTec digunakan.
Ekstrak sel stem ini kaya dengan faktor epigenetik dan metabolik yang penting untuk membekalkan nutrien agar sel-sel stem kulit dapat melindungi, menghasilkan semula dan menumbuhkan sel-sel kulit yang baru.
-Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan