Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 27 Mei 2013

Segalanya tentang dinosaur

Spinosaurus

Dinosaur ialah makhluk yang sangat besar pernah hidup di Bumi.

Dinosaur dianggarkan hidup di Bumi kira-kira 165 juta tahun yang lepas dan hilang kira-kira 65 juta tahun lalu.

Ahli paleontologi masih mengesan dan mencari fosil (rangka) dinosaur ini untuk mengkajinya. Fosil makhluk-makhluk rasaksa ini masih kekal hingga ke hari ini dan ditemui pada setiap benua kecuali Antartika. Setiap fosil yang ditemui akan memberikan informasi tentang dinosaur yang pernah wujud ini.

Ahli paleontologi menganggarkan saiz dan berat seekor dinosaur dengan mengkaji kesan tapak kakinya dan juga tulang rangkanya. Dalam sesetengah kes, ada ahli paleontologi yang terpaksa mengkaji tengkorak ataupun cebisan tulang dinosaur sahaja kerana hanya bahagian itu yang berjaya ditemui.

Tyrannosaurus Rex

Menurut ahli paleontologi, Spinosaurus adalah dua tan lebih berat daripada Tyrannosaurus Rex atau lebih dikenali sebagai T-Rex.

Spinosaurus mendapat namanya kerana duri-duri bergerigi di belakang badan mereka.

Spinosaurus mampu membesar sehingga 17 meter panjang dan mempunyai lengan yang berotot serta kuku setajam pisau yang digunakan untuk meragut mangsa mereka.

Di dalam filem Jurassic Park III yang dikeluarkan pada tahun 2001, Spinosaurus telah membunuh T-Rex dalam satu pertarungan. Bagaimanapun, menurut ahli paleontologi, perkara ini adalah mustahil kerana Spinosaurus dan T-Rex hidup di kawasan yang berlainan sewaktu zaman pra-sejarah.

Deinonychus

Dinosaur bernama Deinonychus yang bersaiz lima kaki tinggi dan sepuluh kaki panjang juga bukan tandingan Spinosaurus. Bagaimanapun, ia juga adalah makhluk yang merbahaya dan mampu membunuh serta bergerak sepantas kilat dengan dua kaki seperti burung. Rongga otaknya yang besar juga menunjukkan bahawa ia adalah sejenis makhluk yang pintar dan mampu memperdaya mangsa-mangsanya.

5 jenis dinosaur terbesar:
  1. Sauropod terbesar: Argentinosaurus sepanjang 36 meter dan seberat 89 tan metrik.
  2. Karnivor terbesar: Spinosaurus sepanjang 16.5 meter dan seberat 7 tan metrik.
  3. Pliosaur terbesar: Liopleurodon sepanjang 15 meter dan seberat 27 tan metrik.
  4. Hadrosaur terbesar: Shantungosaurus sepanjang 15 meter dan seberat 44.5 tan metrik.
  5. Raptor terbesar: Utahraptor sepanjang 6 meter dan seberat 0.9 tan metrik.

Sehingga ke hari ini, orang ramai masih menganggap bahawa dinosaur berwarna kelabu ataupun keperang-perangan.

Fosil Sinosaurepteryx

Sepasukan ahli paleontologi yang diketuai oleh Michael Benton telah membuat penyelidikan tentang warna dinosaur daripada fosil Sinosaurepteryx, sejenis dinosaur yang hidup 125 juta tahun yang lalu.

Fosil yang ditemui di negeri China ini didapati mengandungi beberapa helai bulu pelepah yang membuktikan terdapat kaitan antara dinosaur dan burung.

Dengan meneliti ekor dinosaur tersebut yang dipenuhi bulu pelepah, Benton dan pasukannya mendapati terdapat jalur berwarna putih dan rona warna lain yang telah pudar ditelan masa. Setelah meletakkannya di bawah sejenis mikroskop yang berkuasa tinggi, mereka melihat terdapat sejenis kapsul kecil yang dipanggil melanosome pada fosil tersebut.

Melanosome mengandungi sejenis pigmen yang mewarnakan bulu pelepah tersebut. Melanosome dengan bentuk yang berlainan akan berpadanan dengan warna yang berlainan.

Melanosome yang berbentuk seperti sosej akan menghasilkan warna coklat gelap. Melanosome yang berbentuk bola pula menghasilkan warna jingga. Michael Benton hanya menemui melanosome yang berbentuk jingga dan oleh itu mereka mengetahui bahawa bulu pelepah tersebut berwarna jingga.

Dengan terungkainya misteri warna bulu pelepah Sinosaurepteryx ini, maka ahli paleontologi dan para saintis akan dapat menentukan warna dinosaur yang pernah hidup di Bumi berjuta-juta tahun yang lalu.


sumber: Majalah Time 2011

Tiada ulasan: