Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Selasa, 23 April 2013

Norodom Sihanouk


Norodom Sihanouk dilahirkan pada 31 Oktober 1922. Sihanouk melalui zaman kanak-kanak ketika era kolonial Perancis Indochina.

Pada tahun 1941, Perancis menabalkan beliau sebagai Raja Kemboja walaupun baharu berusia 18 tahun.

Perancis menganggap Sihanouk sebagai seorang putera yang tidak serius dan mudah dikawal. Mereka memandang rendah kebolehan Sihanouk, namun pada tahun 1953, Perancis akhirnya berundur.

Pada tahun 1955, Sihanouk turun takhta dan memberi laluan kepada ayahandanya, Norodom Suramarit untuk menaiki takhta.

Beliau menceburi dunia politik dan membentuk parti sendiri serta memegang beberapa posisi penting seperti perdana menteri dan ketua negara.

Sepanjang hidupnya, beliau cuba menjadikan Kemboja sebagai negara berkecuali ketika Perang Dingin memuncak dan menjadi pengasas kepada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.

Pada tahun 1965, beliau memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat yang kemudiannya menggandakan asakan dalam Perang Vietnam.

Namun, pada tahun 1969, beliau mencipta perhubungan baharu bersama Amerika Syarikat dan mengetepikan China kerana bimbang bahan mentah negaranya dikuasai komunis Vietnam.

Keutamaan Sihanouk adalah bagi mengelakkan Kemboja daripada terlibat dengan perang, tanpa mengira musuh atau kawan, tetapi beliau gagal.

Tentera udara Amerika Syarikat mengebom markas komunis Vietnam di Kemboja yang disangka telah dipersetujui Sihanouk menerusi persefahaman tidak bertulis.

Bagi merebut kembali takhtanya selepas dirampas Jeneral Lon Nol yang mendapat sokongan Amerika Syarikat pada tahun 1970, beliau membuat pakatan bersama Khmer Rouge. Ketika itu beliau melalui tempoh buangan di China.

Apabila Khmer Rouge berjaya merampas kuasa pada tahun 1975, Sihanouk kembali ke Kemboja.

Namun, beliau meletakkan jawatan sebagai ketua negara selepas beberapa bulan dan diarahkan menjalani hukuman mati. Campur tangan pemimpin China, Zhou Enlai menyelamatkan beliau.

Sihanouk kemudiannya ditahan di istananya sendiri sambil menyaksikan Khmer Rouge menubuhkan rejim fahaman Mao Zedang yang bersifat ultra radikal bermula tahun 1975 sehingga tahun 1979.

Sepanjang tempoh itu, kira-kira 1.7 juta rakyat terbunuh termasuk lima anaknya iaitu Putera Ravivong, Putera Khemanourak, Puteri Soriyaraingsey, Puteri Botumbopha dan Puteri Sucheatvateya. Anak angkat beliau iaitu Putera Naradipo turut terkorban.

Vietnam kemudiannya menawan Khmer Rouge pada tahun 1978 manakala Sihanouk dibuang negeri ke Beijing dan Korea Selatan.

Walaupun kurang menyukai Khmer Rouge, Sihanouk terpaksa bersama tentera itu untuk membentuk Kerajaan Campuran Demokratik Kampuchea dan menghalau tentera Vietnam.

Selepas 10 tahun, Sihanouk kembali menaiki takhta pada tahun 1993 dan membina semula reputasi sebagai pemerintah negara mengikut sistem raja berperlembagaan.

Keamanan negara bagaimanapun masih belum dapat dikembalikan ekoran trauma rakyat terhadap Pol Pot sehinggalah pemimpin Khmer Rouge itu mati pada tahun 1998.

Pada tahun 2004, atas faktor kesihatan Sihanouk akhirnya menyerahkan takhta kepada anak lelakinya, Norodom Sihamoni untuk menjadi Raja Kemboja.

Norodom Sihanouk meninggal dunia pada 15 Oktober 2012 di Beijing, China akibat serangan jantung.

sumber: Artikel Sihanouk kesayangan rakyat Kemboja susunan Alif Abu Bakar, Kosmo! 19 Oktober 2012

Tiada ulasan: