Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Rabu, 14 Ogos 2013

Kain felt


Kain flanel atau kain felt agak kuat kerana diperbuat daripada bulu biri-biri yang dimampatkan.

Proses pembuatan kain felt dibezakan dengan peringkat wet felting iaitu proses pemanasan dan penguapan dengan campuran bahan-bahan tertentu.

Terdapat dua jenis bahan campuran dalam kain tersebut iaitu akrilik dan polyester.

Kain felt daripada akrilik biasanya lebih lembut.

Ia amat sesuai untuk membuat bantal atau rantai kunci kerana mudah dibentuk.

Kain felt jenis polyester pula lebih keras tetapi mempunyai variasi ketebalan.

Lebih tebal felt polyester itu lebih mahal harganya kerana ia lebih berkualiti.

Kain felt jenis itu sesuai dibuat huruf atau sarung telefon bimbit.

Kain felt yang kebanyakannya diimport dari Korea dan Taiwan itu juga tampil dengan kain berwarna polos atau dengan sedikit corak.

Kain felt dikatakan antara kain yang tertua di dunia jauh lebih awal daripada fabrik tenunan.

Di Turki, bekas-bekas penggunaan kain felt telah ditemui oleh ahli arkeologi dengan jangkaan usianya dikatakan 6500 Sebelum Masihi.

Jenis kain flanel yang sangat rumit juga ditemukan dalam kondisi diawetkan di sebuah makam di Siberia yang berasal dari tahun 600 Masihi.

Legenda daripada masyarakat Sumeria mendakwa bahawa rahsia pembuatan kain itu ditemui oleh seorang pahlawan bernama Urnamman.

Sejarah kain felt juga dikaitkan berlaku semasa St. Clement dan St. Christopher melarikan diri daripada penindasan suatu ketika dahulu.

Mereka membungkus selipar menggunakan sejenis bulu haiwan untuk mencegahnya daripada rosak.

Pada akhir perjalanan mereka, akibat geseran daripada pergerakan dan peluh telah membuatkan bulu itu bertukar menjadi lembut.

Ia kemudiannya boleh dijadikan sarung kaki.

Pembuatan kain felt masih diamalkan oleh orang nomad (orang Altaic) di Asia Tengah dan bahagian utara Asia Timur (Mongol).

Mereka masih menghasilkan permaidani, khemah dan pakaian tebal.

Sebahagian yang lain pula direka sebagai barang tradisional dan pasaran pelancong, seperti selipar yang dihiasi.

Masyarakat barat pula menggunakan kain felt secara meluas sebagai medium untuk bersuara dalam seni tekstil serta reka bentuk yang mempunyai kepentingan sebagai tekstil ekologi.

Sejak kurun ke-17, topi yang diperbuat daripada kain felt seperti fedoras, trilbies dan homburgs dipakai ramai lelaki di barat.

sumber: Artikel Ceria dan comel dengan kain felt oleh Diyanatul Atiqah Zakaria, Kosmo! 22 November 2012.

Tiada ulasan: