Penerangan Blog
Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.
Jumaat, 6 September 2013
Jose Mujica, presiden paling miskin di dunia
Namanya mungkin kurang dikenali namun hakikatnya beliau ialah Presiden paling miskin di dunia ketika masih memegang jawatan tersebut.
Lari daripada kebiasaan kehidupan mewah golongan kenamaan, Presiden Uruguay ini memilih untuk hidup sederhana di sebuah rumah ladang malah mendermakan 90 peratus gajinya untuk orang yang lebih memerlukan.
Rumahnya dikelilingi tanaman jagung dan bunga yang diusahakan sendiri, hanya terdapat dua orang polis yang menjaga keselamatannya selain seekor anjing peliharaan yang diberi nama Manuela.
Bekalan air diperolehi dari telaga di belakang rumah dengan kain baju tersidai di ampaian menjadi pemandangan biasa di belakang rumahnya.
Gaji Mujica kira-kira RM40,000 namun hanya RM2,500 yang ditinggalkan untuknya. Selebihnya didermakan kepada orang miskin dan golongan usahawan kecil.
Aset yang diisytiharkan hanyalah sekitar RM675,000 termasuklah rumah dan tanah ladang, traktor dan sebuah kereta buruk Volkswagen Beetle keluaran 1967.
Mujica yang dilantik sebagai Presiden Uruguay pada 2009 kini menjadi sumber inspirasi bukan sahaja oleh rakyatnya bahkan masyarakat dunia yang begitu mengaguminya.
Namun kehidupan sederhana bukanlah asing bagi yang sebenarnya sudah terbiasa dengan corak hidup sedemikian sejak muda.
Beliau menganggotai kumpulan gerila Tupamaros yang dibayangi gerila Cuba. Mujica pernah dipenjara selama 16 tahun sebelum dibebaskan pada 1986.
Dikatakan beliau pernah ditembak sebanyak enam kali tetapi terselamat.
"Saya digelar sebagai Presiden paling miskin di dunia namun saya langsung tidak berasa miskin. Orang miskin ialah mereka yang berusaha untuk memenuhi kehendak hidup mereka yang serba mewah dan akhirnya sentiasa mahukan lebih dan lebih lagi," ujar Mujica dan kata-kata itu jugalah yang menjadi falsafah hidupnya.
sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan