Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Selasa, 10 September 2013

Kim Jong-Il, Presiden yang cintakan bidang perfileman


Pemimpin Korea Utara ini sering sahaja menimbulkan kontroversi sepanjang pemerintahannya.

Walaupun kini anaknya, Kim Jong-Un mengambil alih pemerintahan negara komunis itu tetapi masih tiada sebarang perubahan yang dilakukan sebaliknya tidak ubah seperti mendiang bapanya.

Sikap pelik bapanya ketika memerintah masih lagi diperkatakan sehingga kini.

Jong-Il sering sahaja menjadi perhatian kerana sentiasa mengeluarkan kenyataan yang adakalanya tidak masuk akal. Antaranya beliau mendakwa ketika kelahirannya dua bentuk pelangi dan sebuah bintang baru terpancar dari angkasa.

Beliau juga mendakwa boleh mengawal cuaca, mendakwa bapanya masih lagi mengeluarkan arahan walaupun telah lama mati serta mendakwa beliaulah yang mencipta hamburger.

Malah apabila doktor menasihatkannya supaya berhenti merokok, Jong-Il turut mengheret rakyatnya supaya menghentikan tabiat itu. Beliau turut mengharamkan akhbar dan buku yang tidak sealiran dengan pendiriannya selain telefon bimbit dan internet.

Namun satu perkara yang senantiasa menjadi perhatian adalah bagaimana beliau menculik pengarah dan pelakon Korea Selatan, Shin Sang-ok untuk memenuhi hajatnya yang paling besar.

Sang-ok dan isterinya, pelakon filem Choi Eun-hee diculik pada 1978.


Beliau mengarahkan Sang-ok membikin semula filem Godzilla yang diberi tajuk Pulgasari selain beberapa filem propaganda lain. Jong-Il turut merancang untuk memasarkan filem tersebut ke pasaran antarabangsa.

Beliau juga meminta Sang-ok berunding dengan penerbit luar di Vienna, namun peluang itu digunakan pengarah terbabit untuk melarikan diri bersama isterinya ke kedutaan Amerika Syarikat.

Filem Pulgasari diharamkan daripada tayangan di luar negara namun setelah sekian lama diperam akhirnya ditayangkan di Seoul pada 1998 dan menerima sambutan memberangsangkan.

Difahamkan Jong-Il sememangnya mencintai bidang perfileman dan mempunyai koleksi filem melebihi 20,000 judul. Malah beliau pernah menulis buku mengenai filem bertajuk, On the Art of Cinema yang kemudiannya menjadi panduan untuk pengarah filem negara itu.

sumber: Artikel Gelagat kaya dan miskin oleh Hafizahril Hamid, Mingguan Malaysia 2 Disember 2012.

Tiada ulasan: