Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Isnin, 22 Julai 2013

Pasir Gudang

Muzium Layang-Layang Pasir Gudang

Pasir Gudang ialah nama sebuah bandar yang terdapat dalam negeri Johor.

Dahulunya ia dikenali sebagai Kampung Pasir Udang yang telah diterokai oleh Long Abu, dipercayai berasal dari Riau, Indonesia pada tahun 1918.

Kampung Pasir Udang merupakan sebuah perkampungan nelayan dengan jumlah penduduk yang tidak begitu besar populasinya.

Bagaimanapun, kawasan itu terus berkembang termasuk pembukaan lebih banyak kampung dan penempatan baharu.

Nama Kampung Pasir Udang mengalami perubahan menjadi Kampung Pasir Gudang dipercayai akibat aktiviti perlombongan pasir dan terdapat timbunan pasir yang banyak di kawasan itu.

Pasir-pasir tersebut dieksport ke Singapura.

Kini, Pasir Gudang menjadi sebuah kawasan perindustrian termasuk dalam industri minyak dan gas.

Pasir Gudang juga menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Antara tarikan dan lokasi tumpuan pelancong di Pasir Gudang ialah seperti Muzium Layang-Layang Pasir Gudang, Sarang Buaya, Masjid Jamek Pasir Gudang, Litar Pasir Gudang, perkampungan nelayan Pasir Putih, Tanjung Langsat serta Perigi Acheh.

Pasir Gudang juga menjadi lokasi Festival Layang-Layang Sedunia yang diadakan setiap tahun.

Muzium Layang-Layang Pasir Gudang dibuka pada tahun 2002.

Ia mempunyai koleksi lebih 500 layang-layang tempatan dan luar negara dan turut memaparkan sejarah permainan tradisional rakyat.

Layang-layang yang dipamerkan dan ditempatkan di situ datang dari pelbagai negara seperti Jepun, China, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

sumber: Artikel Sinonim dengan festival layang-layang tulisan Nasri Jamaluddin, Kosmo! 1 November 2012.

Tiada ulasan: