Penerangan Blog

Blog ini adalah koleksi copy and paste fakta-fakta menarik daripada e-mail, majalah dan website.

Jumaat, 14 Februari 2014

Funfair


Funfair mula diperkenalkan di Malaysia akhir 1970-an sehingga menjadi fenomena hiburan yang digemari oleh segenap lapisan masyarakat.

Evolusi funfair boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu era alat permainan buai, persembahan konsert dan sarkas.

Era permainan buai bermula seawal kemasukan funfair. Ia merupakan antara tarikan utama dan masih bertahan sehingga hari ini.

Di peringkat awal beberapa buah permainan buai sudah cukup untuk menarik ribuan pengunjung.

Di antara 1992 hingga 1995, funfair menambah lebih banyak permainan seperti bingo serta baling dan tuju yang menawarkan hadiah-hadiah menarik kepada pengunjung.

Selain buai, pengalaman seram di rumah hantu turut menjadi tarikan sebelum permainan lebih canggih seperti senapang angin, dekorasi dinding dan lampu neon diperkenalkan.

Era alat permainan funfair mencapai kemuncaknya apabila buai ferris wheel dibawa masuk bagi menggantikan permainan buai berpusing.

Bagaimanapun kos yang mahal untuk mendapatkan alat permainan itu menyebabkan sebahagian daripada pengusaha funfair 'tewas' kepada pesaing yang bermodal besar.

Kos pembelian ferris wheel yang dilengkapi fungsi kawalan hidraulik dan elektronik ketika itu mencecah harga jutaan ringgit.

Beberapa tahun kemudian selepas kumpulan funfair berulang kali menjelajah pelosok pekan dan desa, permainan tersebut mula menjadi kebiasaan dan semakin kurang sambutan.

Sebagai alternatif, pengusaha funfair kemudian memperkenalkan artis sebagai penghibur pentas hiburan sekali gus menandakan bermula era konsert.

Penampilan artis seperti Ella, Wings, May dan XPDC berjaya menghidupkan semula kegemilangan funfair yang ketika itu hanya mempunyai tujuh pengusaha di seluruh negara.

Sambutan yang tinggi terhadap persembahan konsert bertahan selama beberapa tahun sehingga ada di antara pengusaha berani menganjurkan funfair pada skala lebih besar seperti di Pesta Pulau Pinang dan Port Dickson.

Sebelum kejatuhan era konsert, pertunjukan sarkas yang diperkenalkan turut menghidupkan semula sambutan funfair yang semakin malap.

Russian Imperial Circus merupakan kumpulan sarkas pertama membuat persembahan di funfair negara ini dengan tiket berharga RM10.

Pada 1996, industri funfair negara berdepan cabaran baharu iaitu saingan daripada kumpulan funfair dari United Kingdom.

Kemasukan funfair antarabangsa yang dilengkapi permainan seperti kereta bumper dan buaian berkelajuan tinggi menyebabkan pengusaha funfair tempatan semakin tersepit sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.

- Utusan Malaysia

Tiada ulasan: